Artikel

Menerima dan Melihat Sesuatu Secara Positif

oleh Roziyah pada 16 Jan 2012

Individu yang lahir daripada pelbagai latar belakang kehidupan mempunyai sudut pandang yang berbeza-beza hasil daripada pemahaman mereka yang tersendiri. Ini kerana segala perspektif yang terhasil dari pengalaman serta laluan kehidupan yang pelbagai corak berlaku disekeliling mereka akan membantu ataupun menyumbang kepada perspektif seseorang kepada sesuatu hal. Oleh itu, dalam kita mengendalikan kejayaan serta kegagalan dalam hidup, setiap perkara yang berlaku perlu dilihat dari sudut positif serta diterima dengan reda.

Setiap ujian ada hikmahnya sebagaimana Allah nyatakan dalam surah al-Ankabut, ayat 2 hingga 3, “Apakah manusia itu mengira mereka dibiarkan sahaja mengatakan, “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji lagi? Sesungguhnya Kami menguji orang-orang sebelum mereka, sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”

Perumpamaan seorang pelajar yang berulangkali mengambil peperiksaan, biarpun telah berusaha gigih tetapi beliau tetap gagal. Sekiranya dilihat dari sudut pandangan negetif, kemungkinan individu ini akan berasa diri tidak pandai, lemah dan sebagainya. Namun sekiranya beliau melihat dari sudut positif iaitu Allah belum memberinya kejayaan ataupun menyimpan kejayaan untuk satu masa yang Allah lebih tahu kesesuaiannya.

Begitu juga seorang yang mencuba berkali-kali untuk berjaya dalam perniagaan, tetapi sentiasa bertemu dengan kegagalan. Apabila dibandingkan dengan orang lain sekali mencuba sudah berjaya, sudah pasti seseorang akan berasa putus asa, perasaan sedih dan sebagainyan. Manusia tidak mungkin mengetahui semua perkara yang telah berlaku, sedang berlaku atau akan berlaku.

Maka apa yang terbaik dalam kita mengendalikan kejayaan dan juga kegagalan dalam kehidupan kita adalah berserah kepadaNya dan sentiasa husnuzan atau bersangka baik dengan takdir yang ditentukan Allah untuk kita. Apa yang perlu kita ketahui, Allah lebih mengetahui apa yang sesuai untuk diri kita dan Allah memberikan sesuatu ke atas kita sesuai dengan diri kita menanggungnya.

Sebagaimana kata-kata Allah dalam surah al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud, “Allah tidak membebani seseorang, melainkan apa yang terdaya olehnya.”

Dipetik daripada buku 3i: Islam. Iman. Ihsan oleh Sakinah Salleh

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024