Artikel

Menjawab Berkenaan Fikah Remaja: Deme ‘Wasap’, Ambe Reply

oleh Muhamad Syarafuddin bin Sulaiman pada 26 Dec 2014

Sukar sebenarnya mahu menggambarkan buku Deme ‘Wasap’ Ambe Reply ini dalam bentuk tulisan semata-mata. Boleh dicuba, namun melalui tulisan sahaja, nampaknya payah mahu memberikan keadilan kepada keunikan naskhah ini.

Buku terbaru Ustaz Azhar Idrus ini seunik orangnya. Sekalipun lucu dan pandai berjenaka, namun isi yang mahu disampaikan selalu sampai kepada pendengar-pendengar beliau. Pendengar yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Buku ini adalah gabungan ‘layout’ yang cukup menonjol dan cantik, petikan-petikan jenaka yang lucu tetapi berisi, kartun-kartun semuka yang segar, serta soal jawab fikah yang memahamkan lagi kita perihal hukum-hakam Islam.

Sekalipun pada tajuk tambahannya ada ditulis, “Berkenaan Fikah Remaja”, namun buku ini wajar dan layak dibaca oleh semua. Ini bukan buku untuk orang muda semata-mata.

Apa yang jelas adalah ini sebuah hasil usaha yang lahir daripada kepakaran ramai pihak. Membaca dan membelinya adalah penghargaan kepada mereka yang berusaha gigih menjadikan buku hukum-hakam sama taraf, kalau pun tidak lebih menarik, daripada majalah-majalah jenaka dan hiburan yang berada di pasaran.

Pegang, beli, dan baca buku ini. Kalau tuan puan tidak mahu tahu soal hukum-hakam, punchline Ustaz Azhar memadai untuk justifikasi pembelian tuan puan. Kemudian apabila tuan puan sedia menimba ilmu beliau, maka soal jawab yang ditawarkan adalah dengan bahasa yang ringkas dan mudah difahami. Insyaallah.

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024