Artikel

Menyingkap Permulaan Sejarah Hitam Islam Andalusia: Isabella

oleh Asmaa Nabilah Abd Rashid pada 28 Nov 2013

Perampasan takhta dan hak istimewa oleh individu yang tidak diwasiatkan namanya dalam wasiat peninggalan adalah sesuatu yang tidak wajar dilakukan.

Mereka yang diwasiatkan namanya pula hidup dalam keadaan terumbang-ambing dan menderita.

Kemunculan pelbagai konflik dalam sistem pemerintahan beraja di sebuah wilayah Madrigal menjadikan negeri itu kucar-kacir seketika sebelum kembali aman.

Begitulah kisah yang terjadi dalam novel fiksyen sejarah Isabella yang memuatkan kisah Puteri Isabella dan Putera Alfonso, iaitu waris kepada Raja Dong Juan II. 

Kisah dua adik beradik dan ibunya mendapat perhatian segelintir pihak apabila Raja Enrique mengambil alih tampuk pimpinan yang dipegang oleh mendiang Raja Dong Juan II.

Kehebatan novel ini terletak apabila penulis berjaya membawa pembaca menyingkap semua kekusutan yang timbul dalam sistem pemerintahan beraja di wilayah itu.

Pelbagai dugaan serta cabaran dihadapi oleh Isabella dan keluarga dalam berdepan situasi keamanan negara yang tidak menentu dek pimpinan individu tidak berkaliber.

Keadaan ini menjadikan Isabella ternyata lebih tabah dalam menghadapi sebarang kemungkinan nasibnya pada masa depan.

Akibat keamanan yang didambakan oleh rakyat jelata, seakan tuah menyebelahi mereka.

Kematian Raja Enrique sebagai pemimpin negara itu telah menjadikan Isabella muncul sebagai pewaris Raja Dong Juan II yang sah dalam memegang takhta negara.

Pelantikan Isabella itu turut mendapat sokongan padu rakyat jelata yang terlalu menyukainya.

Berdasarkan penyingkapan pelbagai konflik sistem beraja itu, penulis akhirnya membuktikan bahawa wilayah yang dikuasai oleh pimpinan Isabella telah menjadi sebuah kuasa yang besar dan hampir keseluruhan Sepanyol telah ditaklukinya.

Malahan, taklukan ini turut dianggap sebagai penanda bahawa berlakunya permulaan sejarah hitam Islam di Andalusia.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024