Artikel

Mesti Anda Terkejut Sebenarnya HAMKA Pernah Berniat Untuk Membunuh Diri. Kenapa?

oleh Zainuddin bin Maidin pada 17 Feb 2017

Mungkin tidak terfikir oleh seorang Muslim bahawa Ulama Besar akan membunuh diri tetapi inilah yang hampir dilakukan oleh Buya Hamka yang bukan sahaja tersohor sebagai pengarang dan pujangga dengan buku-buku dan novel yang hebat tetapi juga sebagai ahli falsafah Islam.

Beliau hampir melakukan ini semasa tahanan polis Indonesia  ketika konfrantasi Indonesia terhadap Malaysia. Buya Hamka disyaki sebagai ejen Malaysia.

Dalam masa yang sama anasir-anasir Indonesia di Malaysia yang menyokong konfrantasi telah di tahan di bawah ISA. (Akta Keselamatan Dalam Negeri).

Dari cerita yang saya dengar sendiri dari tahanan politik kedua belah pihak, baik di Indonesia atau di Malaysia, cara interrogation polis ini sama sahaja. Tak tahulah mungkin sekarang lebih moden tekniknya atau lebih sophisticated.

Sejak sebelum merdeka, Pak Hamka telah mendekati hati sanubari orang Melayu Malaya dengan novel-novelnya seperti di Bawah Lindungan Kaabah dan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.

di bawah lindugan kaabah

Klik di sini untuk membeli Di Bawah Lindungan Ka’abah dan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

Kedua novel ini yang diangkat menjadi filem setelah kematiannya masih mampu menggegarkan perasaan rindu kasih suci abadi di kalangan penonton yang telah melampaui zaman tradisi dengan berbagai kekangan  adat budaya dan agama.

Selepas merdeka, barulah rakyat Malaysia lebih mengenalinya sebagai seorang ulama yang memukau dengan syarahannya di RTM dan juga buku-buku agama dan tafsir Al-Qurannya, Tafsir Al-Azhar.

tafsir al-azhar

Klik di sini untuk membeli

Bagaimanapun banyak yang tidak tahu bahawa Pak Hamka telah di tahan selama 27 bulan dari tahun 1964 semasa konfrantasi Indonesia kerana dituduh menjadi ejen Malaysia dan beliau hampir membunuh diri kerana penghinaan yang dilakukan terhadapnya oleh Polis Indonesia dalam masa interogation.

Beliau tidak dapat menerima tuduhan menjadi sebagai pengkhianat bangsa dan catitan ringkas mengenai tahanan ini di bawah tajuk “Cetusan Hatiku” terdapat sebagai tambahan kepada bukunya Tasauf Moden yang secara ringkas menceritakan bagaimana beliau mengatasi hasutan syaitan untuknya membunuh diri.

asawuf moden

Klik disini untuk membuat pembelian buku Tasawuf Moden

Buku Tasauf Moden adalah kompilasi dari tulisannya dalam majalah “Pedoman Masyarakat” yang dipimpinnya ketika di Medan dan diterbitkan dalam bentuk buku bagi pertama kalinya pada tahun kelahiran saya 1939.

Pak Hamka menceritakan bahwa beliau di tahan pada 12 Ramadhan 1385 bertepatan dengan 27 Januari 1964 dan dibawa ke Sukabumi dengan pemeriksaan (interrogation) yang tidak henti-henti, siang malam, pagi petang oleh pihak polis kecuali diwaktu sembahyang saja dengan menghadapi 1001 macam pertanyaan selama 15 hari 15 malam.

Kata Pak Hamka,

Disana sudah ditetapkan terlebih dahulu bahawa saya mesti bersalah. Meskipun kesalahan itu tidak ada, mesti diadakan sendiri. Kalau belum mengaku berbuat salah, jangan harap akan boleh tidur

Menurutnya disinilah pertama kali beliau mendengar  satu ucapan yang belum pernah didengarnya selama hidupnya. “Saudara pengkhianat,menjual negara kepada Malaysia”

Kelam pandangan Pak Hamka mendengar ucapan itu kerana dia adalah anak dari seorang Alim Besar yang dimanjakan oleh masyarakat dan “ucapan yang saya dengar  sejak kecil adalah ucapan kasih,” katanya

Pak Hamka menyedari tujuan  polis untuk membangkitkan kemarahannya dan beliau tahu akibatnya jika melawan walaupun sudah berdiri kerana marah tetapi beliau sebaliknya  bersetuju  untuk membuat  suatu pengakuan untuk ditandatanganinya tetapi anggota polis itu mengulangi tuduhan “Memang saudara pengkhianat” dan pergi dari situ dengan menghempaskan pintu.

Di saat seperti itu,setelah beliau tinggal seorang dibilik tahanan, Pak Hamka menceritakan datanglah tetamu yang tidak diundang yang membisikkan kedalam hatinya  bahawa ada pisau kecil dalam simpanannya yang boleh digunakan untuk memotong urat nadinya yang boleh mematikannnya dengan segera.

Hampir satu jam Pak Hamka berperang hebat dalam batinnya, antara hasutan iblis dan iman yang telah berpuluh tahun memupuknya tetapi Alhamdulillah akhirnya imannya yang  menang.

Pak Hamka terfikir kalau membunuh diri kerana tidak tahan dengan penderitaan batin, pihak polis akan menyebarkan berita mengatakan dia berbuat demikian kerana mereka telah berjaya mendapat  bukti bahawa dia sebagai pengkhianat negara.

Maka hancurlah nama besar dan kemuliaan diri yang dibina sejak berpuluh tahun dengan modal penderitaan, keringat dan air matanya.

Dan orang akan berkata kembali kepadanya tentang Tasauf Moden, Pak Hamka  menyeru orang agar bersabar, tabah dan teguh hati bila menderita sesuatu percubaan.

Kata orang lagi,

Orang yang membaca bukunya itu selamat kerana nasihatnya Pak Hamka, sedang dirinya sendiri memilih jalan yang sesat. Pembaca bukunya masuk syurga kerana bimbingannya dan dia di akhir hayatnya memilih ke neraka

Atas kesedaran ini Pak Hamka membaca kembali bukunya itu Tasauf Moden disamping membaca Al-Quran.

Seorang kawan yang melawatnya bertanya, “Eh Pak Hamka sedang membaca karangan Pak Hamka sendiri?

Jawabnya, memang Hamka sedang memberikan nasihat kepada dirinya sendiri sesudah selalu memberi nasihat kepada orang lain. Dia hendak mencari ketenangan jiwa dengan buku in.

Saya juga telah berulang kali membaca buku ini.

Sebagai manusia kita akan menghadapi masa-masa yang menekan perasaan dengan sedih, rindu, muram, sepi, marah  dan sebagainya dan ketika itu saya kembali kepada Tasauf Moden kerana ia memberikan kesegaran jiwa dengan kata-kata yang bertenaga atas tafsiran kefahaman agama yang luas dan tidak doa semata.

Sumber: zamkata.blogspot.my

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024