Artikel

Miss Sorak Lawan Budak Kawad

oleh Adzkia Amanah Ugi Suharto pada 04 Mar 2015

Hati mana tidak sedih apabila terpaksa berpindah jauh daripada teman-teman tersayang? Sudahlah harus mengorbankan sesuatu yang sangat disukai, bertemu pula dengan ketua yang garang lagi bengis.

Pastinya hidup terasa sempit dan menyakitkan bagai menunggu bom jangka yang akan meletup!

Miss Sorak Lawan Budak Kawad kali ini menampilkan tema konflik pertembungan antara dua insan yang saling prejudis antara satu sama lain.

Belum saling mengenali tapi sudah berfikir itu ini.

Selain itu, turut disertakan isu tragedi hitam negara iaitu kehilangan pesawat MH370 negara yang diberi sedikit sentuhan segar agar mampu memberi nilai pendidikan kepada para pembaca cilik di luar sana.

Selain jalan penceritaan yang ekspres dan tidak statik, bahasa perbualan ringkas yang menjadi signature Ain Maisarah pasti memenangi hati anda sekaligus menjadikannya bahan bacaan yang ringan dan sesuai dengan jiwa remaja yang gemarkan sesuatu yang ringkas dan padat.

Jika anda merupakan remaja yang sukakan kelainan dalam bahan bacaan untuk mengisi masa lapang, buku ini harus menjadi salah satu daripada koleksi di rak buku anda.

Anda akan dibawa ke alam persekolahan yang penuh dengan keseronokan dan tenaga muda.

Turut disertakan sebagai sebahagian dari isi karya ini adalah halaman-halaman kreatif untuk pembaca berkongsi ekspresi mereka dan merasai sendiri pengalaman menjadi sebahagian daripada watak dalam buku ini.

Ikuti gelagat mereka serta rakan-rakan lain yang turut sama mewarnai kisah ini dalam sebuah lagi karya kreatif popular yang pasti akan memenangi hati anda. Agaknya, antara Miss Sorak dan Budak Kawad, siapa yang lebih hebat ya?

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024