Artikel

Nasihat Indah Tentang Cinta: #About Love

oleh Dr Sakinah Salleh pada 20 Oct 2015

Buku #About Love merupakan edisi bahasa Melayu yang mendapatkan lesen dari PT Gamuda Pustaka Utama untuk diterbitkan oleh PTS Publishing House, ISBN 978-967-411-668-2. Buku ini menghimpunkan rangkuman madah cinta dari penulis sastera tersohor di Indonesia, Tere Liye.

Tere Liye atau nama sebenarnya Darwis ialah anak kelahiran Bandung. Nama pena Tere Liye  ini di ambil daripada bahasa India yang bermaksud ‘untukmu’. Tere Liye merupakan seorang penulis Indonesia berbakat yang sudah menulis puluhan buku. Boleh dikatakan setiap karya yang dihasilkan beliau laris di pasaran dan menjadi best seller. Bahkan filem popular Hafalan Shalat Delisa telah diadapatsi daripada novel karangan Tere Liye.

#About Love bukan buku pertama Tere Liye. Bahkan beliau sebelumnya sudah menulis puluhan novel termasuk buku puisi karyanya yang berjudul ‘Dikatakan Atau Tidak Dikatakan Itu Tetap Cinta’. Tulisan Tere Liye juga terkandung motivasi Islamik yang menghantar pesanan dan nasihat secara tidak langsung kepada pembaca.

Nukilan Tere Liye bukan sahaja memberi inspirasi dan motivasi kepada pembaca bahkan beliau juga menggalakan orang lain menulis. Memetik kata-kata beliau:

“1000 komentar yang kita buat di dunia maya, tidak akan membuat kita naik pangkat menjadi penulis buku. Mulailah menulis buku, jangan habiskan waktu jadi komentator, mulailah jadi pelaku.“

Buku #About Love mengandungi madah dan pujangga cinta yang dikaryakan Tere Liye dengan amat berkesan sekali. Bagi yang jatuh cinta, sedang dalam percintaan, putus cinta dan dalam menjalinkan hubungan atau mencari jodoh, kata-kata dan nasihat tersirat dalam buku ini akan memberi makna tersendiri kepada para pembaca. Ia nasihat yang amat halus bagi pembaca.

Antara madah yang terindah nukilan Tere Liya seperti:

“Kalau memang terlihat rumit lupakanlah. Itu jelas bukan cinta sejati kita. Cinta sejati selalu sederhana. Pengorbanan yang sederhana, kesetiaan yang tak menuntut apapun dan keindahan yang apa adanya.”

“Terkadang kesedihan memerlukan kesendirian, meskipun seringkali kesendirian mengundang kesedihan tak tertahankan.”

“Masa lalu selamanya tidak akan pernah menang karena ia selalu ada di belakang….”

Selain bait kata yang digarap indah oleh penulis, buku ini juga mempunyai ilustrasi dan grafik yang tersendiri. Ia disusun begitu kreatif bersesuaian dengan kata-kata yang tertera. Bahkan setiap muka suratnya diadun warna yang berbeza melahirkan suasana yang tersendiri buat pembaca dalam menyelami setiap kata-kata tersebut.

 Buku ini adalah sebuah karya sastera yang unik dan mempunyai kreativiti persembahan tersendiri kepada pembaca. Ia sekaligus menampilkan penulisnya yang berbakat dan mampu menarik ramai pembaca untuk setia membaca. Maka tidak pelik karya-karya Tere Liye dekat dihati pembaca setianya. Tidak rugi menjadi buku ini sebagai satu koleksi pembacaan.


 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024