Artikel

Nasihat Sentap Melalui Tazkirah Senafas

oleh Muhammad Syarafuddin Sulaiman pada 07 Jul 2015

Siapa di sini kenal Ustaz Azhar, angkat tangan?

Agak-agaknyalah, kalau ada 5 orang yang duduk di depan skrin sekarang (50 ramai sangat, skrin kecil), semua akan angkat tangan.

Kalau sebelum ini ada istilah Ustaz Selebriti, Ustaz Azhar ini mungkin Ustaz Superstar.

Biasanya kalau orang itu minat Ustaz Azhar, dia suka maklumat yang tidak bertapis-tapis. Hukum, hukum, dan hukum. Tiada bunga-bunga. Halal dan haram. Kemudian dia kena kuat hati dan tabah jiwa.

Sebab Ustaz Azhar ini kalau dia tegur, memang kita ada risiko tersentap.

Dia cakap terus terang sahaja.

Buku Tazkirah Senafas ini memang sesuailah dengan gaya Ustaz Azhar. Maksud senafas di sini lebih kepada macam sedas.

Bayangkan peluru ditembak. Begitulah perasaan kita apabila baca buku ini.

Mengena terus.

“Jangan dilihat dosa itu besar ataupun kecil. Tetapi lihatlah kepada siapa kita berdosa.” Itu satu.

“Sebaiknya jangan banyak luah perasaan sendiri di Facebook. Banyakkan tazkirah untuk semua. Yang tidak puas hati itu, simpan dalam hati.

Mengadu kepada Allah lebih baik daripada luah di Facebook.” Itu dua. Kita ambil yang tidak cukup menyentap lagi.

Ada banyak lagi tazkirah dalam buku ini. 128 semuanya. Bukan Ustaz Azhar Idrus seorang, Ustaz Halim Hafidz pun ada.

Paling unik, apabila kita baca iklan di depan buku. Kita bukan sahaja diberi keizinan ‘share’ di Facebook ataupun Instagram. Bahkan kita juga boleh minta fail Tazkirah Senafas ini daripada PTS, kemudian buat t-shirt ataupun tulisan di mug secara percuma.

Wah!

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024