Artikel

Novel Sherlock Holmes Diterbitkan Semula dalam Bahasa Melayu oleh Penerbit-X

oleh Hafiz Hafifi Hassan pada 16 Mar 2017

Sherlock Holmes merupakan seorang detektif fiksyen yang sangat terkenal dan menjadi inspirasi kepada banyak novel serta filem yang bertemakan dunia penyiasatan. Tanpa pengetahuan dan pembacaan yang baik, ada sesetengah yang menganggap bahawa detektif Scotland Yard ini adalah lagenda yang benar-benar wujud.

Kisah penyiasatan yang melibatkan pemerhatian, pengalaman deduktif dan juga sains menghidupkan lagi fiksyen ini sehingga wujud kekeliruan adakah kes-kes dalam fiksyen ini adalah kes sebenar atau pun sekadar novel penyiasatan biasa?

sherovck

Sir Arthur Conan Doyle menggarap kisah Sherlock Holmes dengan baik sekali dan ketika dua siri yang pertama ini diterbitkan, ia agak menggemparkan dunia penulisan kerana fiksyen jenis ini unik serta menampilkan fiksyen detektif yang menarik.

srir arthur conan doyle

Fiksyen detektif yang ditulis sekitar tahun 1880an ini sebenarnya mendahului zamannya. Kaedah deduksi dan penyiasatan sangat futuristik dan jauh dengan kaedah konvensional polis pada era itu.

Satu drama televisyen terbitan BBC yang mula ke udara pada tahun 2010 dengan tajuk Sherlock amat mencerminkan secara terus kepada penulisan Sir Arthur Conan Doyle. Cuma latar masanya telah ditukar, daripada London tahun 1800an kepada London 2000an.

sherlockBBC new

Bahkan episod pertama daripada musim pertama drama Sherloc mengisahkan permulaan pertemuan antara Sherlock dan Dr. Watson adalah sangat-sangat serupa dari novel.

Kali pertama membaca novel ini, terus dapat membayangkan Holmes yang dilakonkan oleh Benedict Cumberbatch dan Martin Freeman sebagai Dr. Watson. Manakan tidak, kebanyakan episod Sherlock diambil secara terus daripada novel asal tanpa terlalu banyak olahan.

Ada satu filem lagi yang agak terkenal yang diarahkan oleh pengarah prolifik Guy Ritchie; Sherlock Holmes(2009) dan Sherlock Holmes: A Game of Shadows(2011). Keduanya dilakonkan oleh Robert Downey Jr sebagai Sherlock Holmes dan Jude Law sebagai Dr. Watson.

sherlock

Namun kedua filem ini tidak mengambil secara terus daripada novel tulisan Sir Arthur Conan Doyle. Ada banyak pertambahan, olahan serta beberapa siri novel dicampur dan diadun terus ke dalam dua filem tersebut.

Ia tetap filem yang baik namun untuk mendapatkan gambaran secara visual tentang sikap menjengkelkan tetapi genius si Sherlock dan juga hampir gaya pengkisahannya dengan karya asal, drama Sherlock(2010-2017) lebih memberikan gambaran yang lebih baik kepada bakal pembaca.

Sherlock Holmes: A Study In Scarlet

Novel yang pertama ‘A Study in Scarlet’ lebih menumpukan kepada pertemuan antara Dr Watson dan Sherlock. Naratif novel adalah dari sudut pandang Dr Watson sebagai narrator tetapi fokus wataknya kepada Sherlock. Novel debut ini bolehlah kita ibaratkan sebagai naskah pengenalan.

Pertemuan antara Dr Watson dan Sherlock menjadi titik temu kepada pengembaraan dunia penyiasatan mereka. Rumah sewa mereka di 221B Jalan Baker juga yang mulanya sekadar tempat mereka berkongsi rumah untuk menjimatkan wang sewa akhirnya menjadi pusat kepada aktiviti konsultansi detektif.

sherlock BBC

Dari situ juga bermulanya Dr Watson menulis dan merakamkan perjalanan penyiasatan duo mereka tanpa pengetahuan Sherlock pada awalnya. Inspektor Gregson dan Lestrade juga mula diperkenalkan dalam naskah pertama ini dan bakal menjadi watak-watak pembantu penting dalam naskah-naskah yang akan datang.

Di sebabkan novel ini klu utamanya melibatkan benang dan pelbagai klu-klu halus, kanta pembesar mula meresap masuk menjadi alat ikon kepada dunia penyiasatan.

Sherlock Holmes: The Sign of Four

Novel yang seterusnya bertajuk The Sign of Four mengisahkan tentang harta karun yang hilang ketika Pemberontakan India 1857.

Kisah ini jauh lebih kompleks berbanding novel yang pertama dan melibatkan empat pesalah yang mempunyai komplot bersama koruptor sang penjaga penjara.

Novel ini tidak berada dalam mod linear sebaliknya penuh teka teki ibarat keratan jigsaw yang bersepah.

Watak Mary Morstan diperkenalkan dalam novel ini dan kesnya disiasat oleh Sherlock dan Dr Watson. Kisah kehilangan ayah kepada Mary menjadi tanda tanya kerana wujud banyak kontradiksi dan menimbulkan banyak misteri untuk dirungkai.

Kes dalam novel kedua ini jauh lebih banyak perincian yang perlu difokuskan oleh pembaca.

Lebih merumitkan keadaan, novel ini ditulis pada sekitar tahun 1880 dan kadang-kadang agak sukar untuk membayangkan latar masa dan tempat akibat kita sudah berada di era 2000an dan juga suasana Asia dan Eropah jauh berbeza.

Namun, dengan pembacaan yang teliti tidak sepatutnya menjadi masalah untuk pembaca yang tekun meneliti penyiasatan mereka berdua.

Seperti yang diketahui dalam banyak olahan filem, drama dan tulisan-tulisan selepas Sir Arthur Conan Doyle, Mary dalam novel kedua ini adalah Mary Morstan yang kemudiannya berkahwin dengan Dr Watson lalu menjadi Mary Watson.

Sebenarnya, novel ini adalah salah satu bahan sejarah dalam penulisan kreatif dan merupakan pembuka kepada genre sains penyiasatan.

Karya ini jugalah yang banyak memberi pengaruh kepada karya-karya penyiasatan yang lain. Selain novel, filem dan drama, manga ataupun komik jepun serta adaptasi anime turut dipengaruhi gaya Sherlock.

Misalnya Detective Conan yang kita tahu gaya deduksinya diambil secara terus daripada gaya penyiasatan Sherlock Holmes. Bahkan nama Conan itu sendiri dipaparkan dalam manga bahawa diambil daripada nama penulis novel Sherlock Holmes iaitu Sir Arthur Conan Doyle.

buku

Klik di sini untuk membeli buku dengan tawaran diskaun berganda

Secara peribadi, novel lagenda ini ratingnya 10/10 selaku trend-setter dalam genre penyiasatan. Bagi peminat novel penyiasatan, rasanya tidak lengkap pembacaan tanpa membaca naskah lagenda ini.

Bagi yang baru-baru nak berjinak-jinak membaca genre ini, maka novel inilah selayaknya sebagai naskah pemula.

Tidak keterlaluan rasanya jika saya katakan, semua mahu jadi Sherlock Holmes selepas membaca novel ini. Semoga review tanpa spoiler ini membantu anda semua, selamat membaca!

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024