Artikel

Novel Tentang Konspirasi Terbaik Abad Ini: Konspirasi Suami

oleh Khairul Aswad Khairul Anuar pada 02 Mar 2015

Melihat pada tajuknya sahaja, pembaca akan dapat satu persepsi awal yang novel ini bukanlah novel cinta tipikal Ditambah pula dengan kulit muka yang sangat menarik di pandangan, seolah-olah ia satu novel ala-ala James Bond.

Apabila membaca sinopsis yang disediakan, sekali lagi pembaca dapat meneka novel ini mungkin berkisarkan cinta namun direncahkan dengan plot berunsurkan suspens. Namun, sebaik sahaja selesai membaca keseluruhan naskhah ini, ternyata tekaan itu sedikit menyimpang.

Maya Iris boleh dikatakan seorang yang sangat rajin. Sebelum menghasilkan karya, penulis seperti merujuk kepada banyak bahan rujukan yang dijadikan fakta di dalam novel beliau bagi memastikan pembaca tidak dihidangkan dengan fakta yang kosong tanpa isi.

Beliau mahukan pembaca dapat mengambil iktibar dengan naskhah ini. Beliau juga berjaya menyusun fakta tersebut dalam satu bentuk yang tidak bosan, bukan seperti mana kita membaca sebuah buku teks Sejarah. Banyak perkara halal dan haram disentuh di sini, dan itu boleh dijadikan sebagai satu ilmu tambahan kepada pembaca.

Konspirasi Suami ini membawa tiga plot yang berlainan, namun bergerak serentak sehingga ke helaian terakhir. Satu kisah mengenai Nur Sayang dan Dr. Ehsan yang sedang bercinta, kisah Sang Pencipta bersama dengan konconya, dan juga kisah Kamil dan Amanda.

Tiga plot yang membawa kisah yang tersendiri tetapi akan dipertemukan di satu simpang yang sama kelak. Waktu itu, pembaca akan dapat merungkai sedikit demi sedikit misteri yang cuba diselitkan oleh penulis.

Tidak keterlaluan jika novel Konspirasi Suami ini diangkat sebagai antara novel terbaik sepanjang zaman. Pembaca akan terasa seperti mahu membaca dan terus membaca sehingga ke muka terakhir, hasil idea kreatif penulis menyusun plot.

Jika pembaca mengharapkan sebuah karya yang melelehkan air mata, mungkin ini bukan kisahnya. Ada cintanya, tetapi nescaya pembaca akan lebih tertarik dengan teori konspirasi yang sedang hangat diperkatakan di seluruh dunia sekarang.

Satu per satu teori didedahkan dengan berbekalkan hadis dan ayat Al-Quran sehingga teori itu lebih menarik minat untuk terus membaca daripada kisah cinta.

Membawa kelainan dalam dunia pembacaan novel, Konspirasi Suami memang amat berbaloi untuk dibaca. Tiada sekelumit perasaan menyesal pun akan terbit di hati, malah pembaca mungkin akan terasa lebih tebal ilmu dan iman di dada.

Insya-Allah. Tahniah untuk penulis kerana berjaya menghasilkan karya yang hebat. Bak kata Nora Danish dalam satu rancangan realiti, “Nora kasi lima bintang!”



 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024