Orang Tidak Masuk Universiti Menulis Sejarah, HAMKA: Sejarah Umat Islam

oleh Asri Yussof, Nor Fatin Amira Salleh pada 04 Mar 2016

HAMKA yang lahir dari tanah Nusantara antara ulama yang meletakkan dirinya dalam kancah intelektual. Kita sedia maklum, HAMKA yang sudah menulis berpuluh buku bukanlah seorang yang berkelulusan dari universiti yang bersistem (malah yang bersistem sehingga sistem telah mereputkan intelektual ke dalam tangan kekuasaan).

Sharif Shaary memberitahu hakikat intelektual bukanlah seorang yang berkelulusan dari universiti;

Belajar di universiti bukan jaminan seseorang boleh menjadi intelektual, seorang intelektual itu adalah seorang pemikir yang sentiasa berfikir dan mengembangkan serta menyumbangkan ideanya untuk kesejahteraan masyarakat. Dia juga adalah seorang yang mempergunakan ilmu dan ketajaman fikirannya untuk mengkaji, menganalisis, merumuskan segala perkara dalam kehidupan manusia, terutama masyarakat di mana dia hadir khususnya dan di peringkat global amnya untuk mencari kebenaran dan menegakkan kebenaran itu. Lebih daripada itu, seorang intelektual juga adalah seorang yang kenal akan kebenaran dan berani pula memperjuangkan kebenaran itu, meski bagaimanapun tekanan dan ancaman yang dihadapinya, terutama sekali kebenaran, kemajuan, dan kebebasan untuk rakyat. - wikipedia

Tahulah kita bahawa HAMKA membangunkan dirinya secara pembelajaran kendiri. Beliau mempunyai guru, tetapi beliau tidak lahir dari sistem yang diciptakan untuknya, namun beliau lahir dari sistem yang beliau ‘ciptakan’ untuk dirinya.

Sejarah Umat Islam versi cetak tahun 2016 ini dari PTS Publishing House Sdn. Bhd yang mempunyai halaman setebal 1059 adalah sebuah buku ilmiah yang memposisikan sejarah umat Islam dari penceritaan jahiliyahnya masyarakat di Tanah Arab sehingga perkembangan Islam di Nusantara.

Buku ini mengandungi tujuh bahagian iaitu Keadaan Tanah Arab, Kedatangan Muhammad, Kerajaan-kerajaan Islam, Perkembangan Agama Islam Ke Negeri-negeri Timur, Perkembangan Agama Islam Di India dan Afghanistan, Daulat Osmaniah, dan Perkembangan Agama Islam di Nusantara.

Berbeza dengan apa yang ditulis oleh Tamim Ansary, Sejarah Dunia dari Sudut Pandang Islam yang diterbitkan ke dalam terjemahan bahasa Melayu pada tahun 2009 lalu oleh Adiwarna, beliau tidak mempunyai bab khusus yang menceritakan sejarah di Nusantara sebaik HAMKA.

Tahulah kita, HAMKA yang lahirnya di Nusantara tentu sahaja akan memuatkan sejarah tanahnya sendiri, manakala Tamim Ansary yang lahir dari Barat tentu saja lebih memberi fokus dengan melihat melalui sudut pandang Islam terhadap tanahnya sendiri.

Tidaklah saya cuba membandingkan kesahihan kedua-dua penulis ini, namun sekadar memerhati apa yang HAMKA ada dan Tamim Ansary tiada, juga sebaliknya.

Ada dan tiada itu bukanlah sebagai kekurangan buat diri seseorang penulis itu, tetapi ia membuatkan para pembaca sedar bahawa perlunya kita lebih banyak membaca dan mempunyai rujukan yang lebih dari satu dalam tiap-tiap topik.

Sebagaimana John Santayana berkata, “Those who cannot remember the past, are condemned to repeat it.” Jika anda tidak mahu sejarah yang buruk kembali, bedahlah buku ini!