Artikel

Panduan Mengenali Allah dan Mencintai Rasul

oleh Roziyah pada 06 Jan 2012

Perkara asas dalam pendidikan rohani adalah mendidik anak-anak mengenali Allah dan menyintai rasul-Nya sejak dari kecil. Islam menganjurkan umatnya bagi memulakan kehidupan bayi yang baru lahir dengan kalimah Laa ilaha illallah seperti hadis yang dilaporkan oleh Ibnu Abbas, Rasulullah berkata:

“Buka kehidupan bayi kamu dengan kalimah pertama Laa Ilaha Illallah.”

Hadis direkodkan oleh al-Hakim dan al-Baihaqi

Abdul Razak di dalam kitab al-Musannaf merekodkan para sahabat gemar mengajar anak-anak mereka kalimah Laa ilahaillallah sebagai ucapan yang pertama. Anak-anak diajar bagi mengucapkan kalimah itu sebanyak tujuh kali secara fasih dengan maksud supaya kalimah itu menjadi ungkapan pertama yang mampu mereka ucapkan.

Ibnu Qayyim di dalam kitabnya Ahkam al-Maulud menganjurkan kepada para ibu bapa supaya mengajar anak-anak mereka kalimah Laa Ilaha illallah ketika anak-anak mulai pandai bercakap dan perkara pertama yang didengar oleh telinga mereka adalah makrifatullah iaitu mengenai Allah dan mentauhidkan-Nya. Anak-anak perlu diajar yang Allah sentiasa melihat dan mendengar serta sentiasa bersama mereka.

Islam turut menganjurkan supaya anak yang baru lahir diazankan pada telinga kanan dan diiqamatkan pada telinga kiri. Ia bertujuan bagi memastikan kalimah tauhid menjadi kalimah pertama didengari anak selepas lahir ke dunia. Namun, ia tidak berakhir setakat di situ sahaja. Memperdengarkan kalimah Laa ilaha illallah pada awal kelahiran bayi adalah simbol permulaan kehidupan yang baik yang perlu diteruskan nanti. Anak-anak perlu sentiasa diperdengarkan dengan perkataan yang baik, yang dapat menyuburkan jiwa dan iman mereka.

Anak-anak juga perlu diajar bagi mencintai Rasulullah serta keluarga beliau seperti hadis Rasulullah yang direkodkan oleh at-Tabrani yang dilaporkan oleh Saidina Ali, Rasulullah berkata:

“Didiklah anak-anakmu dengan tiga perkara: mencintai nabimu, mencintai keluarganya dan membaca al-Quran. Sesungguhnya orang-orang yang berbekalkan al-Quran berada dalam naungan arasy Allah ketika tidak ada naungan kecuali naungan-Nya bersama para nabi dan orang-orang suci.”

 

Dipetik daripada buku Indahnya Didikan Awal Anak Cara Islam oleh Puan Mazidah Muhammad dan DR. Noor Hisham Md Nawi.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024