Artikel

Pelajari Teknik Masakan Yang Enak: Hidangan Lengkap Seminggu

oleh Asmaa Nabilah Abd Rashid pada 18 Oct 2013

Buat penggemar masakan pasti anda teruja dengan 161 sajian resipi istimewa hasil Chef Hussin Khan dalam keluaran buku resipinya.

Himpunan resipi dalam buku Hidangan Lengkap Seminggu dapat membantu anda merancang menu untuk tujuh hari kerana pastinya setiap hari akan disajikan dengan setiap menu yang berbeza.

Buku ini sangat istimewa kerana setiap resipi yang disajikan mengikut waktu makan yang bermula dari sarapan pagi, minum petang, pembuka selera, makan tengah hari, dan makan malam serta hidangan salad dan buah yang menyihatkan.

Kesemua menu hidangan pada waktu makan itu sangat mudah dan ringkas malah mampu dicuba oleh sesiapa sahaja sama ada mereka yang sudah mahir memasak atau mereka yang ingin mendekatkan diri di dapur.

Anda bertuah memiliki buku ini kerana penulis turut menyediakan cadangan waktu penyediaan bahan bagi setiap masakan serta tempoh memasak yang sempurna.

Tidak ketinggalan juga diselitkan tip memasak yang berguna demi memastikan anda dapat menghasilkan masakan enak dan lazat.

Buku himpunan resipi ini turut menampilkan prosedur bahan masakan serta cara memasak yang betul di samping ilustrasi langkah memasak kepada pembaca bagi memastikan pembaca dapat mengikuti langkah resipi dengan tepat.

Hidangan lengkap sehari yang bermula daripada menu sarapan pagi hingga makan malam sangat membuka selera sesiapa sahaja bahkan kepelbagaian hidangan ini pasti menarik perhatian mereka untuk mencubanya.

Antara hidangan menarik yang terdapat dalam buku ini adalah singgang pari dan nenas, samosa alaf baru, ayam goreng beryogurt, pisang salai grik, tempoyak opah beruas, lempeng buah warna warni dan lain-lain.

Anda pasti tidak rugi mendapatkannya kerana turut disajikan dengan resipi bonus sebagai daya tarikan kepada pembaca!

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024