Artikel

Penjelasan Khusus Tentang Ibadah, Wanita dan Keluarga Dalam Islam:Fatwa Kontemporari Jilid 2, Siri 2

oleh Khairul Aswad Khairul Anuar pada 08 Sep 2015

Pernahkah anda mengalami masalah dalam membuat keputusan di kehidupan seharian anda? Atau dengan lebih tepat lagi, anda  berada dalam situasi dilema. Adakah anda patut teruskan, atau anda patut hentikan. Anda sering tertanya-tanya apakah hukum dalam Islam perbuatan yang anda sedang buat. Berdosakah? Atau ia jatuh hukum wajib?

Siapa tidak kenal dengan Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. Beliau adalah antara ulama cendekiawan terkenal dan terulung dunia Islam masa kini. Beliau yang berasal dari Mesir pernah suatu ketika dahulu mendapat pengiktirafan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa di Malaysia sempena sambutan Maal Hijrah 1431 pada 2009 lepas . Itu membuktikan ketokohan dan kebijaksanaan beliau dalam dunia ilmu Islam diiktiraf, bukan sahaja di negara kelahirannya sendiri, malah hampir di seluruh pelosok dunia.

Buku-bukunya yang diterbitkan tidak hanya berkisar mengenai ilmu feqah semata-mata, malah ia merangkumi hampir seluruh masalah dunia Islam kontemporari. Terkini, PTS telah berjaya mendapatkan hak perlesenan dari Penerbit Darul Qalam di Kaherah untuk menterjemah dan menerbitkan koleksi Fatwa Kontemporari hasil tulisan beliau.

Untuk pengetahuan, Fatwa Kontemporari ini telah pun dibahagikan kepada empat (4) jilid, di mana setiap jilid mempunyai empat (4) siri. Ini bertujuan untuk memudahkan pembacaan para pembaca yang budiman. Selepas ini, pembaca tidak perlu lagi membaca buku setebal hampir satu jengkal yang sudah pasti boleh menyukarkan pembacaan. Fatwa Kontemporari kali ini adalah daripada siri kedua dalam jilid 2 yang akan menekankan dengan lebih teliti beberapa topik penting berkaitan ibadah, wanita dan keluarga dalam Islam.

Siri ini terbahagi kepada dua bahagian. Di bahagian pertama, penulis membincangkan mengenai sembilan bab dalam ibadah masa kini. Antara yang menarik perhatian dan pernah juga menjadi isu hangat di Malaysia suatu masa dulu. Adakah dibenarkan untuk membicarakan isu politik di dalam masjid? Masjid pada zaman nabi dahulu bukan sahaja dijadikan sebagai tempat untuk beribadah, malah turut dijadikan sebagai tempat menuntut ilmu, kelab sastera dan juga sebagai tempat parlimen untuk perundangan. Selain itu, masjid juga turut menjadi tempat untuk berkumpul dan berkenalan baik sesama rakyat dalam negeri mahupun delegasi luar. Tetapi ironinya sekarang, masjid hanya dijadikan sebagai tempat untuk beribadat semata-mata. Itupun, hanya penuh pada tiga waktu; solat Jumaat, solat sunat hari raya puasa dan solat sunat hari raya haji. Selain daripada tiga waktu itu, bilangan safnya boleh dikira dengan jari. Di dalam buku ini, penulis mengatakan bahawa politik itu dibenarkan di dalam masjid. Namun, politik gaya Machiavelli perlulah ditolak, iaitu politik yang menggunakan perinsip matlamat menghalalkan cara dan tidak mementingkan etika. Politik itu bukanlah sesuatu yang kotor atau salah sekiranya ia dilaksanakan mengikut syariat Islam.

Selain itu, di bahagian satu ini juga terdapat satu lagi persoalan menarik yang amat sesuai dengan situasi negara kita sekarang. Semua sedia maklum bahawa Malaysia adalah salah sebuah negara pengeluar petroleum. Maka, adakah hasil petroleum itu diwajibkan untuk berzakat? Dalam isu ini, para ulama mempunyai banyak pendapat sehingga ada yang bercanggah dengan pendapat yang lain. Namun penulis menyatakan terdapat satu pendapat yang tidak bercanggah iaitu zakat diwajibkan ke atas hasil petroleum sekiranya itu adalah hak milik individu atau syarikat-syarikat tertentu. Jika petroleum itu adalah hak milik negara, ia akan jatuh hukum seperti mana setiap harta negara yang lain, ia tidak perlu dizakatkan menurut persepakatan ulama.

Di bahagian kedua buku, penulis menyentuh pelbagai isu mengenai wanita dan keluarga. Antara topik yang boleh menarik perhatian adalah persoalan adakah lelaki dan wanita boleh berjabat tangan? Adakah ia haram ataupun dibolehkan dalam Islam? Penulis sendiri mengakui persoalan ini akan sentiasa ditanya kerana ia datang dalam situasi yang berbeza. Penulis memberitahu terdapat dua kontroversi yang tiada percanggahan dalam ijmak berdasarkan ulama fiqh yang terdahulu. Yang pertamanya adalah haram berjabat tangan dengan wanita sekiranya ia disertai dengan nafsu dan keseronokan seks. Jika seseorang itu sengaja ingin menyentuh tangan wanita atau lelaki dengan nafsu yang membara, maka haramlah ia melainkan si pelaku memang teringin hendak merasa membaranya azab api neraka kelak. Kedua, kelonggaran berjabat tangan diberikan jika ia melibatkan wanita tua yang sudah tidak bernafsu dan anak-anak perempuan yang masih kecil yang juga belum bernafsu. Hal ini kerana mereka bebas daripada sebab-sebab fitnah. Jadi, jika anda ternampak seorang nenek tua yang ingin melintas jalan dan dia seperti tidak mampu berbuat demikian, pergilah menolong tanpa was-was.

Persoalan mengenai hukum memakai purdah juga dibangkitkan dalam buku ini. Isu pemakaian purdah ini bersangkut-paut dengan isu aurat wanita. Setiap ulama mempunyai pelbagai takrifan mengenai aurat wanita. Mengikut mazhab Syafie yang diamalkan di Malaysia, aurat wanita itu adalah keseluruhan tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan. Namun, itu tidak bermakna wanita boleh menampakkan wajah mereka dengan  pelbagai solekan yang berwarna-warni. Mereka perlu bersederhana dalam berhias dan bersolek. Namun begitu, walaupun pemakaian purdah itu tidaklah wajib seperti mana perbincangan ulama, tapi itu tidak bermakna wanita tidak boleh memakainya. Bahkan, ia amat digalakkan dalam sesetengah perkara.

Buku ini amat sesuai untuk semua rakyat Malaysia. Lagi-lagi apabila ia ada menyentuh pelbagai isu yang berkait rapat dengan kita. Susunannya kemas dan mengikut topik. Penerbit mengambil tindakan bijak apabila membuat keputusan untuk mengagihkannya kepada beberapa jilid dan siri. Memang terbukti keberkesanannya dalam memudahkan pembacaan. Jadi, apa lagi? Dapatkan siri ini dan kumpulkan kesemuanya.


Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024