Artikel

Penjelasan Tentang Al-quran, Hadith dan Akidah: Fatwa Kontemporari (Jilid 2, Siri 1)

oleh Noor Hidaya Arshad pada 08 Sep 2015

Sebuah naskhah soal jawab fatwa yang informatif. Persoalan berkaitan al-Quran, hadith, dasar Islam, akidah dan perkara ghaib diterangkan dengan jelas. Naskhah fatwa kontemporari ini tidak seperti kebanyakkan buku-buku fatwa yang hanya menceritakan halal dan haram sesuatu perkara. Ia disertakan juga dengan penjelasan yang padat tentang sesuatu persoalan serta nas-nas al-Quran dan hadith yang menyokong setiap penerangan.

Sheikh Dr. Yusuf memberi bukan sahaja jawapan kepada soalan yang dimajukan, tetapi beliau menerangkan dahulu perkara paling utama yang perlu difahami oleh seseorang sebelum beliau memberikan fatwanya. Ini menjadikan kita berpengetahuan secara keseluruhan berbanding separuh bahagian.

Soalan-soalan di dalam buku ini tidak remeh. Soalannya sahaja menyebabkan minda kita tersedar. Oleh kerana ia datang dari pelbagai negara, isunya juga bervariasi. Inilah yang membantu kita mempersiapkan diri jikalau ada yang mengutarakan soalan yang sama kepada kita. Di samping itu, pemikiran kita menjadi lebih luas kerana terdedah dengan isu yang universal.

Menariknya naskhah ini adalah kerana penjelasannya. Seperti contoh soalan tentang dakwaan tarikh hari kiamat. Sheikh Dr. Yusuf tidak menyangkal dakwaan tersebut dengan mendadak tetapi beliau menghuraikan satu persatu supaya kita mudah faham dan beliau menjaga sensitiviti individu yang membuat dakwaan itu.

Buku ini mendidik kita menjadi manusia yang sederhana dan dalam masa yang sama memelihara kesucian agama. Saidina Umar r.a pernah ditanya tentang beliau memberikan fatwa berbeza dari sebelumnya dan beliau menjawab: ‘Perkara itu berdasarkan ilmu kita yang terdahulu. Sekarang pandangan kita berdasarkan pengetahuan kita yang baru.’ Jadi, tiada alasan bagi kita yang biasa ini untuk tidak memperbaharui ilmu yang sedia ada.


 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024