Artikel

Penulis Perlu Diberi Lesen - Rais Yatim

oleh Roziyah pada 29 Mar 2011

Penulis di Malaysia perlu mempunyai lesen atau kebebasan dalam menghasilkan karya kerana hasil karya seseorang penulis adalah cerminan kepada dirinya.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim menjelaskan penulis di Malaysia harus diberi kebebasan dalam menulis apa yang mereka inginkan.

“Kebelakangan ini, kita soalkan berapa cerpen yang disiarkan di akhbar-akhbar tempatan. Sekiranya dahulu, setiap minggu cerpen penulis tempatan diberi ruang penuh dalam akhbar-akhbar tempatan. Penjualan buku sastera juga tidak meningkat jualannya,” jelas Rais Yatim.

Bagi Rais, penulis perlu menghasilkan karya agung di Malaysia yang mampu menembusi pasaran pembaca.

Bagi beliau, sastera itu perlu dilihat semula dari sudut pembudayaan bahasa dalam menyatukan pemikiran manusia.

“Di negara kita, menyatukan sastera adalah melalui cerminan hidup pelbagai kaum yang ditulis dalam karya sendiri,” ujar beliau lanjut. Beliau menjelaskan hal ini dalam perasmian seminar Sastera Pelbagai Kaum di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Rektor ASWARA, Datuk Dr. Mohamed Najib Ahmad Dawa. Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Termuzi Abdul Aziz dan Pengerusi Persatuan Penterjemah dan Penulisan Kreatif (PERSPEKTIF), Goh Hin San.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024