Artikel

Penulis Pilihan PTS Februari: Hilal Asyraf

oleh Amirah Hassan pada 19 Feb 2013

Riak wajahnya tenang, namun jelas ketegasan dalam setiap bait penulisannya. Anak jati berwawasan kelahiran Johor Bharu ini merupakan bakal bapa dan peneraju rumah tangga dalam usia muda. Memulakan penulisan seawal usia remaja membantu Hilal Asyraf menempa nama melalui beberapa peneraju penerbitan buku bahasa Melayu terkemuka negara seperti PTS Media Group Sdn. Bhd, Galeri Ilmu Sdn. Bhd, dan Syarikat Telaga Biru.

Dilahirkan pada 16 Januari 1989, beliau merupakan salah seorang teraju utama dan pengasas langitilahi.com bertemakan Mari Menjadi Hamba. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Islam Hidayah, Johor dan Sekolah Ma’had At-Tarbiyah Al-Islamiyah (MATRI), Perlis di peringkat sekolah menengah dan sekolah tinggi agama. Selepas menamatkan zaman persekolahan, beliau menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang usuluddin di University of Yamourk, Irbid, Jordon.

Selain bergiat aktif dalam penulisan blog, pemuda ini juga sudah menerbitkan lebih daripada 15 buah karya termasuk buku motivasi, novel, kumpulan cerpen, dan puisi. Antara karya beliau di bawah penerbitan PTS Media Group Sdn. Bhd seperti Sebelum Aku Bernikah, Irkam Ma’ana: Bahtera Menuju ke Syurga, Misi Hero, dan terkini Untuk Kita Pendosa: Harapan Selalu Ada.

Selain giat dalam aktiviti penulisan, Hilal Asyraf juga aktif dalam memberikan penyampaian berbentuk ceramah dan tazkirah. Beliau juga aktif dalam mengendalikan kem motivasi, bengkel penulisan, dan bengkel pengurusan blog.

Dalam pada kita sibuk mengejar cinta duniawi, kita sering terlupa cinta terhadap Ilahi adalah utama dan menerusi setiap bingkisan, anak muda yang lantang dalam berbicara soal cinta dan rumah tangga, di samping mengingatkan pembaca tentang tujuan dan erti sebenar hidup kita di dunia ini. Beliau turut dikenali dan diikuti oleh ramai pembaca di Facebook dengan subscribers mencapai 84,398 followers.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024