Artikel

Perancangan Wang: Persiapan Melangkah ke Alam Perkahwinan

oleh Elcy Syafina Syafri pada 08 Aug 2014

Bagi mempersiapkan sesebuah majlis perkahwinan, sudah pasti perancangan perbelanjaan perkahwinan perlu dibuat bagi mengelakkan berbelanja melebihi kemampuan. Seperti kata pepatah “ukur baju di badan sendiri” yang juga sinonim dengan berbelanja mengikut kemampuan diri.

            Menjadi pasangan bahagia untuk selama-lamanya itu memerlukan perancangan rapi. Bukan sekadar menumpukan persiapan berbulan-bulan demi majlis sehari, sehingga soal masa hadapan ditolak ke tepi. Sudah pasti  selepas perkahwinan juga memerlukan perancangan wang yang baik bagi meneruskan kelangsungan hidup bersama pasangan.

            Berhutang bagi menyediakan majlis perkahwinan perlu dielakkan, ini. Hal ini bagi mengelakkan bebanan hutang yang harus dipikul selepas perkahwinan. Perbelanjaan perkahwinan yang baik adalah mengikut kemampuan kewangan individu yang ingin mendirikan rumahtangga.

            Manusia bijak tidak pernah gagal merancang, walaupun perancangan mereka itu belum tentu berjaya. Begitu juga dalam aspek perhubungan. Bukan mudah mahu merancang perkahwinan yang penuh bahagia, sekiranya tidak dimulakan sejak dari awal jatuh cinta.

             Ilmu perancangan wang amat penting bagi mengelakkan bakal pengantin daripada terjebak dalam episod masalah kewangan yang berpanjangan, sebaik sahaja bergelar pasangan suami isteri. Malah mengelakkan pasangan daripada hanya menjadi raja untuk sehari, tetapi menjadi hamba sepanjang hayat.

 

 

Sumber: Rancang Wang Sejak Jatuh Cinta,2012, Shamsuddin Kadir & Ain Muhammad

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024