Artikel

Perbincangan Jelas Tentang Dunia Perubatan dan Dunia Politik: Fatwa Kontemporari (Jilid 2, Siri 4)

oleh Muhammad Syarafuddin Sulaiman pada 07 Sep 2015

Dalam rancangan televisyen Hady Al-Islam dan juga rancangan radio Nur wa Hidayah, ada banyak soalan yang ditanya. Soalan-soalan ini pelbagai dan meliputi isu-isu yang timbul dalam kehidupan sehari-harian seorang Muslim.

Himpunan soalan ini dan jawapan yang kemudiannya datang daripada Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, menghasilkan buku Fatawa Muasirah atau Fatwa Kontemporari yang kita pegang pada hari ini.

Tidak seperti naskhah asal dalam bahasa Arab yang dipecahkan kepada empat buku dan tebal, PTS memecahkan naskhah-naskhah ini kepada 16 buku semuanya. Ini menjadikan buku-buku ini lebih mesra pengguna. Saiz, tebal, berat, dan harganya kini lebih sesuai untuk semua.

Buku ke-4 dalam siri Fatwa Kontemporari Jilid 2 bertajuk Perubatan dan Politik.

Fatwa yang dibincangkan dalam buku ini memang terkini. Contohnya persoalan eutanasia atau mempercepatkan kematian. Adakah kita dibenarkan bagi mempercepatkan kematian pesakit kronik kerana tidak tahan lagi melihat penderitaan mereka?

Bagaimana pula dengan pemindahan organ kepada orang bukan Islam? Ataupun daripada orang bukan Islam kepada orang Islam? Kalau kita ingin menjual organ kita, bagaimana pula?

Itu hanya dua daripada fatwa-fatwa perubatan yang dibincangkan dalam buku ini.

Kemudian ada perbincangan soal politik. Adakah wujud apa yang dinamakan Islam Politik atau Islam yang terlalu fokus pada politik? Apakah hukum sebenar politik? Adakah politik itu memang jahat dan wajar kita jauhkan?

Bagaimana pula dengan peranan orang bukan Islam dalam berpolitik?

Kelebihan utama siri Fatwa Kontemporari adalah Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi memberikan jawapan yang jelas dan terus. Kemudian jawapan itu tidak pula terlalu ringkas. Ada hujahan dalil sama ada daripada Al-Quran dan hadith. Bahkan apabila dirasakan perlu, dinyatakan juga kaedah fikah yang digunakan beliau dalam menghasilkan fatwa itu.

Lebih menarik, ada waktunya beliau mengemukakan fatwa lain yang tidak selari dengannya. Selepas itu Dr. Yusuf akan jelaskan di mana beliau tidak bersetuju dan apakah alasan yang membuatkan beliau percaya bahawa hujahannya lebih kuat.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024