Artikel

Perjalanan Hidup Malcolm X Yang Perlu Anda Tahu

oleh Huzaifah Abd Jamil pada 02 Dec 2016

Pada tanggal 19 Mei 1924, Omaha menerima kelahiran seorang bayi bekulit hitam yang bernama Malcolm Little. Ini adalah permulaan hidup pembelaan orang kulit hitam di Amerika Syarikat, yang kemudiannya dikenali sebagai Malcolm X.

‘X’ melambangkan sejarah gelap golongan kulit hitam. Pada abad ke-19, nama orang-orang kulit hitam itu diabaikan dalam kalangan hamba-hamba pedagang, dan kerana itulah mereka hanya disebut sebagai ‘X’.

Semasa kecil, keluarga Little sering menjadi sasaran Klu Klux Klan berikutan kelantangan ayah Malcolm yang bersama-sama memperjuangkan pembebasan orang kulit hitam.

Selepas ayah beliau dibunuh, Malcolm berubah menjadi anak yang liar. Kehidupan yang bertukar gelap menyebabkan Malcolm terjerumus ke dalam aktiviti mencuri, minum arak, berjudi, penjualan, dan penagihan dadah.

Beliau kemudiannya diajukan ke muka pengadilan atas dakwaan mencuri, dan ditahan sehingga berusia 27 tahun. Ketika ini, Malcolm mula belajar tentang kehidupan melalui bacaan beberapa buah buku termasuklah sastera, sejarah, dan falsafah.

Bermula dari sini, Malcolm terdedah kepada Islam melalui beberapa siri lawatan adik-beradik beliau. Beliau akhirnya menjadi pengikut Nation of Islam (NOI) selepas berbalas surat dengan pemimpin NOI, Elijah Muhammad.

Tahun 1952 adalah permulaan kegemilangan NOI selepas Malcolm X terlibat secara rasmi dalam pergerakan itu. Tidak hairan beliau kemudian menjadi perhatian dunia, lantaran ucapan yang tegas dan kritis dalam membela nasib orang kulit hitam.

Sayang sekali, krisis berlaku selepas NOI mengeluarkan beberapa kenyataan berbaur rasis. Konflik dalaman memburukkan lagi keadaan antara Malcolm yang tidak sependapat dengan Elijah, dimana Elijah menyifatkan orang kulit putih sebagai Iblis dan beliau sendiri adalah utusan Allah.

Akhirnya, Malcolm menarik diri dan menubuhkan Muslim Mosque Inc.

Ibadah haji pada tahun 1964 menjadi titik perubahan Malcolm apabila beliau melihat lautan jemaah daripada pelbagai ras, bangsa, dan warna kulit, sama-sama memuji Tuhan yang satu. Pengalaman inilah yang mengubah pola pemikiran beliau, sebelum bertindak membela hak kemanusiaan orang kulit hitam dan orang kulit putih.

Malcolm X akhirnya mendirikan Organization of Afro-American Unity (OAAU) pada 28 Jun 1964. Ugutan bunuh semakin bertambah dari semasa ke semasa, membuatkan beliau lebih berhati-hati dalam setiap pergerakan.

21 Februari 1965, saat memulakan ceramah di Audubon Ballroom, Malcolm X akhirnya tewas selepas ditembak oleh tiga orang Afrika-Amerika yang kononnya memperjuangkan nilai-nilai dan hak orang kulit hitam.

Walau bagaimanapun, impian Malcolm X menyebarkan visi antirasisme dan nilai-nilai Islam yang bersifat kemanusiaan, berjaya menggugah kalangan Afro-Amerika dan dunia.

(Artikel ini diolah dari sumber: http://www.biografiku.com/2010/06/biografi-malcom-x-pendakwah-islam-dari.html)

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024