Artikel

Persoalan Tentang Ibadah dalam Dunia Moden: Fatwa Kontemporari Jilid 1, Siri 2 (Ibadah)

oleh Noor Hidaya Arshad pada 24 Apr 2015

Sebagai seorang Muslim yang meyakini Allah Maha Esa dan Nabi Muhammad s.a.w pesuruh Allah, pasti inginkan setiap ibadah yang dilakukan bertepatan dengan panduan Al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w.

Dalam era informasi tanpa sempadan ini, jika seseorang tidak cerdik untuk mencari ilmu yang benar, kita akan terkeluar daripada landasan yang lurus.

Karya hasil himpunan soalan-soalan berkaitan ibadah ini memberi ruang kepada kita bagi mengetahui hukum hakam ibadah yang kita lakukan setiap hari.

Dr. Yusuf Qaradhawi menjelaskan setiap persoalan dengan sangat terperinci dan mudah untuk difahami serta dihayati. Kesannya, hati menjadi lebih tenang ketika beribadah apabila kita tahu segala yang dilakukan tidak bercanggah dengan ajaran Islam sebenar.

Perbezaan pendapat antara para ulama diraikan tanpa menolaknya dengan kekerasan. Dr. Yusuf Qaradhawi sentiasa berpesan agar permasalahan yang ringan tidak perlu ada ketegasan yang melampau kerana baginya ia akan membawa seseorang lebih jauh daripada Islam. Beliau lebih banyak memberi fatwa yang memudahkan urusan seharian berpandukan ajaran al-Quran.

Buku yang sangat bermanfaat ini boleh dikatakan sebagai rujukan terpenting dalam kita menunaikan ibadah sepanjang hidup. Dilengkapi dengan rujukan al-Quran dan hadis-hadis sahih serta ijmak para ulama, ia satu manual yang menggerakkan seseorang Muslim ke arah yang lebih baik.

Dengan adanya naskhah ini, kita tidak lagi menjadi mangsa mesej berangkai di media sosial yang hangat dikongsi ramai orang tanpa diketahui kesahihannya.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024