Artikel

PERSPEKTIF Jalankan Fungsi Terjemahan di Malaysia

oleh Roziyah pada 29 Mar 2011

Peranan terjemahan bukan sekadar memindahkan ilmu daripada satu komuniti bahasa kepada satu komuniti bahasa yang lain, malahan turut melibatkan fungsi yang lebih meluas.

Antara lain, unsur pemindahan ini termasuklah pandangan dunia, kepercayaan, norma dan adat resam, pemikiran, sistem ekonomi, sosial dan politik.

Perkembangan sejarah penterjemahan bagi kebanyakan pasangan bahasa baik di Barat mahupun di Timur rata-ratanya bermula daripada penterjemahan teks keagamaan dan kesusasteraan. Kedua-dua jenis terjemahan ini pada hakikatnya adalah saling melengkapi, dan paling penting sejak berzaman dahulu lagi.

Terjemahan keagamaan diperlukan untuk memenuhi keperluan rohani, manakala terjemahan kesusasteraan diperlukan untuk memenuhi keperluan manusiawi (luahan perasaan, hiburan, cetusan idea dll.). Maka, pentingnya peranan terjemahan susastera dalam ketamadunan manusia tidak dapat dinafikan.

Atas inisiatif memperluaskan bidang terjemahan di Malaysia, Persatuan Penterjemah dan Penulisan Kreatif (PERSPEKTIF) mengambil langkah dan menjalankan tugas menterjemah karya daripada bahasa Cina kepada bahasa Melayu.

Menurut Pengerusi Perspektif, Goh Hin San menjelaskan melalui penterjemahan dapat menyatupadukan rakyat di Malaysia.

“Proses terjemahan Perspektif adalah sepi dan sunyi. Namun, ahli-ahli dalam Perspektif seramai 58 orang terdiri daripada mereka yang berkemahiran dan pakar dalam bidang terjemahan,” jelas Goh Hin San dalam Seminar Sastera Pelbagai Kaum di ASWARA hari ini.
Goh Hin San yang menjelaskan lanjut mengenai Perspektif menerangkan persatuan itu sering mengambil langkah menterjemah dan menerbitkan buku-buku bahasa Cina ke dalam bahasa Melayu dan menterjemah buku-buku bahasa Melayu ke dalam bahasa Cina bagi dipasarkan di pasaran antarabangsa.

Antara buku berbahasa Melayu yang diterbitkan dalam bahasa Cina termasuklah karya agung sasterawan negara, Dato’ A. Samad Said yang sudah diterjemah dan dipasarkan di China.

Bagi Goh Hin San, bidang penterjemahan ini perlu diperkenalkan kepada umum kerana bidang terjemahan dapat memperkayakan sastera di Malaysia.

“Penterjemahan dapat memperkenalkan budaya sesebuah bangsa. Kita akan terus memperjuangkan bidang terjemahan bagi mewujudkan penyatuan melalui sastera,” ujar beliau lanjut.

Sebagai maklumat, Perspektif ditubuhkan secara rasmi pada 29 Januari 1986 dan kini diterajui oleh Goh Hin San selaku presiden bagi penggal kelapan. Perspektif bermatlamat merancakkan usaha penterjemahan dan penulisan karya kreatif serta memupuk kajian teoritis.

Perspektif juga bertindak sebagai perantara bagi penterjemahan dan penulis dengan arus perkembangan kesusteraan antarabangsa dan meningkatkan persefahaman antara kaum melalui penulisan dan perterjemahan karya sastera Mahua-Melayu.

Goh Hin San sendiri sudah menterjemah dan menyusun Puisi Mahua Moden (Jilid 1) manakala pada 1978, Yassin Tani atau nama penanya Yap Sin Tian menyusun antologi Puisi Mahua dan pada tahun 1985, Chan Foo Heng dan Chong Kim Leong telah berusaha menterjemahkan bahasa Melayu dalam bukunya His Many Faces: Anthology of Modern Poetry in Three Languages (Chinese, Malay dan English).

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024