Artikel

PTS Dilanda Gelombang Hallyu!

oleh Haryani Kamilan pada 22 Oct 2012

Dek kerana bahang Korea yang masih belum surut melanda rakyat Malaysia, PTS Media Group mengambil kesempatan ini bagi membuat promosi mengetengahkan genre terbaru PTS Litera Utama, Syok (Hallyu Wave). Syok (Hallyu Wave) adalah merupakan rangkaian novel yang menyajikan cerita-cerita berinspirasi drama-drama Korea. Melihat kepada sambutannya yang cukup menggalakkan setelah tiga buah novel berkonsep ini diterbitkan iaitu, Awak Semanis Red Velvet, Saranghaeyo Arumi dan Cinta Bintang Jatuh, PTS Media Group mengambil idea melancarkan Kempen Syoknya Hallyu bagi mempromosikan genre ini.

Sempena Kempen Syoknya Hallyu, sebuah pertandingan istimewa buat peminat-peminat drama-drama Korea dianjurkan dimana, anda berpeluang mengarang sebuah cerita Korea yang diadaptasi daripada mana-mana drama Korea yang anda tonton.

Tidak ada had umur bagi menyertai pertandingan ini. Dengan kepanjangan cerita sekitar satu muka surat, jalan cerita yang dikarang perlulah mematuhi syariah. Tidak boleh ada adegan yang melampaui batas hubungan antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim. Gaya bahasa pula perlu menarik dengan menggunakan Bahasa Melayu standard. Jalan cerita yang ditulis dengan bahasa rojak akan ditolak.

Pelbagai hadiah yang berkonsepkan produk-produk Korea sedang menanti anda. Jalan cerita yang menarik juga akan dijadikan novel yang bakal ditulis oleh penulis popular PTS Litera Utama. Satu acara khas bakal diadakan di MPH Subang Parade pada 17 November 2012 jam 2 petang untuk para pemenang.

Jadi, jangan berlengah lagi. Karang cerita anda dan emelkan kepada, [email protected]. Tarikh tutup penyertaan ialah pada 12 November 2012. Layari www.pts.com.my/hallyu untuk maklumat lanjut.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024