Artikel

Realiti di Sebalik Perjuangan: Fatwa Palestin

oleh Zatil Azzyati Mustapha pada 13 Feb 2014

 Palestin, walaupun jauh di mata, tetapi hampir di hati kita sebagai umat Islam. 

Melalui buku “Fatwa Palestin” ini, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menjawab persoalan yang dilontarkan kepada beliau berkenaan isu-isu yang berlaku di Palestin.

Penyusunan kandungan yang dilakukan secara teliti beserta sumber rujukan, mampu memandu pembaca mendapatkan pencerahan tentang hukum yang jarang-jarang dibahaskan di peringkat umum.

Selain daripada membincangkan persoalan seperti hukum mengadakan perjanjian damai dengan Israel, menyerah kalah dalam mempertahankan Baitul Maqdis, muslim menyertai Parlimen Israel, dan tawanan yang ditawan oleh Zionis; penulis juga menghimpun fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh beberapa ahli tafsir berkenaan pengebom berani mati.

Dengan menggunakan gaya bahasa yang sederhana, buku ini memudahkan pembaca memahami setiap satu kupasan hukum yang berkaitan dengan peperangan yang berlaku di bumi Israk Mikraj.

Konsep penulisannya bersifat penerangan. Di samping itu, ia menonjolkan sebab dan akibat yang umat Islam hadapi daripada setiap tindakan yang diambil dalam menyelesaikan konflik rampasan Baitul Maqdis.

Buku ini memberikan pendedahan tentang situasi sebenar yang sedang berlaku di Palestin serta menambah kecintaan terhadap Palestin yang menjadi kewajipan bagi dipertahankan oleh seluruh umat Islam.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024