Artikel

Safinatun Najah: Fikah Mazhab Syafi’i

oleh Dr Sakinah Salleh pada 25 Jan 2016

Ghayah Al Murtaja Syarah Safinah An Najah atau dalam Bahasa Melayunya ‘Penghujung untuk Orang-Orang yang Berharap kepada Bahtera Penyelamat’ merupakan tulisan Al-Allamah Syeikh Salim bin Abdullah bin Saad bin Abdullah bin Sumair Al-Hadhrami As-Syafi’i. Beliau dikenali sebagai seorang yang faqih berasal dari Hadramaut merupakan seorang guru, kadi, tokoh politik dan pakar ketenteraan.

Penulis syarah buku ini pula tidak lain tidak bukan iaitu Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan yang merupakan seorang ilmuan yang juga telah banyak menghasilkan karya-karya dan penulisan dalam pelbagai bidang. Ternyata, olahan dan pendekatan syarah-syarah yang ringkas tetapi padu mudah difahami oleh pembaca.

Buku ini begitu menarik dan mempunyai keistimewaan yang tersendiri, maka tidak pelik ia diajar dengan meluas di Negara Yaman. Buku yang digarap daripadai karya asal Ghayah Al Murtaja Syarah Safinah An Najah ini dibahagikan kepada 5 bahagian utama iaitu akidah, taharah (bersuci), solat, pengurusan jenazah, dan zakat.

Setiap bahagian pula tersenarai sub tajuk yang pelbagai. Contohnya dalam bahagian solat, terdapat sub tajuk seperti keuzuran solat, aurat, hadas, syarat sujud dan banyak lagi yang menjelaskan bab solat secara terperinci, yang perlu diketahui ilmu oleh setiap Muslim bagi menjaga kesempurnaan solat mereka.

Setiap isi dan huraian kepada sub topik dijelaskan dengan syarahan yang ringkas. Selain ringkas, menggunakan bahasa yang mudah difahami, isi-isi penting pula diberikan nombor dengan teratur.

Lebih menambah tarikan pada buku ini, juga pada lembaran dan cetakan teks, dengan kombinasi warna yang menarik.

Biarpun ia satu buku yang mengandungi syarahan yang ringkas namun penerbitan buku ini juga perlu diberikan kredit kerana ia memberi nafas baru kepada buku ini dalam usaha menambah minat pembaca untuk lebih mendekati dan memahami ilmu fiqh khususnya dan ilmu agama amnya.

Ayat yang digunakan juga membantu pembaca yang baru belajar ilmu fiqh terutama yang baru berjinak-jinak untuk memahami tentang hukum hakam.

Buku ini amat sesuai dimiliki bagi menjadi rujukan dalam beramal ibadat. Selain itu adanya matan atau teks Bahasa Arab yang disertakan memberi peluang kepada pembaca membuat rujukan.

Bagi yang baru belajar mendalami ilmu fiqh maka buku ini sangat perlu dimiliki. Dengan kata ia perlu menjadi koleksi buku yang bakal menjadi rujukan sepanjang hayat baik bagi semua tahap dan latar belakang.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024