Artikel

Sambutan Tahun Baru: Sambutan Berbeza Jadikan Tahun Baru Lebih Bermakna

oleh Roziyah pada 30 Dec 2011

Tidak lama lagi, tahun baru akan tiba dan pastinya ini dinantikan oleh semua orang Sambutan tahun baru ini sudah menjadi tradisi utama dan diraikan dengan meriah oleh masyarakat di Malaysia termasuk mereka yang beragama Islam. Tahun baru ini digambarkan sebagai permulaan kehidupan baru kepada semua orang.

Seolah menjadi tradisi, dalam setiap sambutan tahun baru, pelbagai jenis sambutan berbentuk hiburan dianjurkan oleh syarikat dan NGO bagi memeriahkan lagi sambutan ini.

Bagi salah seorang ahli lembaga pengarah rumah perlindungan, Raudatul Sakinah, Tuan Abdullah Omar, sambutan tahun baru yang diamalkan selama ini perlu diubah supaya remaja yang melangkah ke tahun baru berubah menjadi remaja yang lebih bagus ilmu dan akhlaknya.

“Kita dari Raudatul Sakinah menerima ramai pelatih yang menghadapi masalah seperti hamil anak luar nikah pada hujung tahun. Mengikut perkiraan ini adalah hasil daripada pergaulan bebas yang berlaku pada sambutan yang diadakan pada awal tahun seperti sambutan tahun baru,” jelas beliau.

Tuan Abdullah menjelaskan, semua pihak perlu bekerjasama menganjurkan aktiviti bermanfaan dan lebih suci bagi melahirkan sambutan tahun baru yang lebih bermanfaat kepada masyarakat umumnya.

“Kita lihat banyak juga NGO dan pihak-pihak tertentu yang cuba mengubah sambutan tahun baru sedia ada dengan mengadakan majlis ilmu di masjid dan sebagainya buat remaja. Melaluinya kita dapat melatih remaja menjadi lebih baik,” jelas beliau lagi.

Hakikatnya, remaja sendiri keliru dan tidak tahu bagaimana mahu meraikan sambutan tahun baru dengan cara yang betul. Sajian sambutan tahun baru yang disediakan oleh sesetengah golongan bagi mencari keuntungan dianggap remaja sebagai satu cara bagi menyambut tahun baru yang diraikan seluruh dunia.

“Kita sendiri perlu mengubah sambutan ini ke arah yang lebih baik dengan mengadakan aktiviti bermanfaat untuk anak-anak. Raudatul Sakinah sendiri mengambil langkah menyambut tahun baru dengan cara tersendiri. Kali ini sambutan yang diadakan dengan tujuan meningkatkan lagi semangat remaja.

Esok bertempat di Masjid Negara, Raudatul Sakinah membawakan program Himpunan 1000 Jiwa 1 Hati: Jiwa Cerdas Pemuda Cergas kepada masyarakat. Perbagai aktiviti menarik disediakan bermula dari 31 Disember 2011 hingga 1 Januari 2012.

Artis tempatan dan luar negara juga dijemput bagi memberi lebih kemeriahan dalam program ini termasuklah Shoutul Harokah, Ahmad Fedtri Yahya, Aisyah dan ramai lagi.

Turut memeriahkan majlis adalah juara Ustazah Pilihan dan Imam Muda Hassan bagi memberi lebih cetusan semangat kepada golongan muda. Pendaftaran program adalah pada jam 12 tengah hari. Ibu bapa yang ingin menyambut tahun baru bersama anak-anak juga boleh mendaftar bagi memeriahkan suasana sambil merasai kemeriahan sambutan tahun baru yang sebenarnya. Pendaftaran adalah percuma.

Sebarang persoalan boleh terus menghubungi Tuan Abdullah di talian 013-2466190.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024