Artikel

Sebelum Aku Bernikah: Memeluk Sempurna

oleh Noor Hidaya Arshad pada 26 Feb 2015

Ini bukan buku cinta sembarangan. Tajuknya sahaja yang sedikit geli-geli tetapi isinya tajam-tajam. Tajam seperti anak panah yang tepat pada sasaran.

Hilal Asyraf menyediakan isu-isu yang sinonim dengan dunia cinta dan persediaan berumah tangga dengan tepat.

Menelusuri naskhah ini umpama belajar memasak. Ada proses-proses yang perlu diikuti satu persatu. Seronoknya, setiap proses itu menghidangkan buah fikiran yang disusun dengan sangat bagus untuk dipraktikkan.

Ditambah pula dengan susun atur grafik di dalamnya yang ceria, membuatkan sesi membaca menjadi lebih seronok.

Keterujaan membaca buku ini menjadi lebih lagi kerana adanya cerita-cerita pengalaman penulis dan kenalan-kenalan beliau yang boleh diambil manfaat.

Ia ditulis dengan santai tetapi pengisiannya begitu teliti, menyeluruh, berasas: lengkap dengan hadith sahih dan nas Al-Quran, logik, mudah difahami, dan praktikal.

Pada awal bicara, penulis sudah meletakkan bab niat. Topik yang begitu penting untuk membetulkan posisi hati pembaca sebelum melanjutkan pembacaan ke bab-bab seterusnya.

Merangkumkan 25 bab yang berhubung kait dengan persediaan sebelum bernikah, naskhah ini mampu memberi kesan positif kepada makna cinta dalam kehidupan.

Buku yang bukan sahaja perlu dibaca oleh golongan yang ingin berkahwin ini, boleh juga dibaca oleh pemuda pemudi seawal Tingkatan 1, bak kata guru penulis. Ia juga sesuai dijadikan hantaran pertunangan selain kek coklat dan sebakul buah-buahan.

 

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024