Artikel

Selepas 4 Tahun - Anak Rantau, Novel Terbaru Karya A.Fuadi

oleh Asri Yussof pada 20 Jul 2017

Ahmad Fuadi atau dikenali dengan nama penanya A. Fuadi adalah penulis Indonesia, novelis dan usahawan sosial. Novel sulungnya Negeri 5 Menara yang diterbitkan pada tahun 2009 memecah rekod jualan penerbitan Gramedia Pustaka Utama.

Trilogi Negeri 5 Menara diteruskan dengan buku kedua pada tahun 2011 iaitu Ranah 3 Warna. Kemudian buku ketiga pada tahun 2013, Rantau 1 Muara. Dari kejayaan novel pertamanya, akhirnya membawa kepada adaptasi menjadi sebuah filem dengan mengekalkan tajuk yang sama pada tahun 2012. Skenario ditulis oleh Salman Aristo (beliau penulis skenario Ayat-Ayat Cinta, Laskar Pelangi dan Sang Penari).

a fuadi

Kita semua sedia maklum, Trilogi Negeri 5 Menara diangkat dari kisah sebenar hidup A.Fuadi sendiri. Kepercayaan beliau kepada mentera ‘Man Jadda Wajada’ (Siapa yang bersungguh-sungguh dia berjaya) yang diajarkan ketika beliau menuntut di Pondok Moden di Gontor. Disambung dengan mantera kedua dalam Ranah 3 Warna, ‘Man Shabara Zhafira’ (Sesiapa yang bersabar akan beruntung).

Selepas 4 tahun beliau tidak menerbitkan apa-apa karya, akhirnya pada tahun ini beliau hadir dengan karya Anak Rantau. Kali ini, Anak Rantau tidak lagi membawa mantera Arab ‘Man Jadda Wajada’ tetapi membawa mentera orang minang, ‘Alam takambang jadi guru’ yang bermaksud alam tersedia untuk menjadi belajar.

a. fuadi

Novel ini mengambil latar tepi danau di kawasan agam, Sumatera Barat dan mengangkat tema rekonsiliasi atau penyembuhan luka. - seperti yang dilaporkan oleh CNN Indonesia.

Tambah beliau lagi, Temanya  banyak, tapi yang paling besar adalah rekonsiliasi, kerana setiap orang ada kisah lukanya sendiri, ada masalah dan tidak sembuh-sembuh. Bagi saya, luka itu tidak sembuh karana dia baru satu langkah, iaitu memaafkan.”

A.Fuadi lahir di Bayur, kampung kecil di pinggir Danau Maninjau pada tahun 1972, tidak jauh dari kampung Buya Hamka. Beliau kemudian merantau ke Jawa, memenuhi permintaan ibunya supaya masuk ke sekolah agama.

Di Pondok Modern Gontor dia bertemu dengan kiai dan ustaz yang diberkahi keikhlasan mengajarkan ilmu kehidupan dan ilmu akhirat. Gontor pula yang membukakan hatinya kepada rumus sederhana tetapi kuat, ‘Man Jadda Wajada’, siapa yang bersungguh-sungguh dia berjaya.

Selepas lulus kuliah Hubungan Internasional, UNPAD, dia bekerja sebagai wartawan di akhbar TEMPO. Pada tahun 1998, A. Fuadi mendapat biasiswa Fulbright bagi melanjutkan pelajaran peringkat Ijazah di School of Media and Public Affairs, George Washington University.

Tahun 2004, jendela dunia lain terbuka lagi dan dia mendapat pula biasiswa Chevening bagi melanjutkan pelajarannya di Royal Holloway, University of London dalam bidang dokumentari filem.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024