Artikel

Sentuhan Ulama Dunia: Fatwa Kontemporari Jilid 1, Siri 1 (Al-Quran, Hadith dan Akidah)

oleh Adzkia Amanah Ugi Suharto pada 07 May 2015

Alhamdulillah, penantian yang panjang ini bernoktah jua. Fatawa Muasirah yang terkenal ini akhirnya boleh didapati dalam bahasa Melayu.

Bagi individu yang tidak mampu memahami teks bahasa Arab, penterjemahan ini merupakan sesuatu yang sangat bermakna dalam kehidupan sebagai seorang Muslim.

 Karya ulama terkenal ini sebenarnya merupakan himpunan soalan serta pertanyaan oleh penonton dan pendengar sebuah rancangan televisyen dan radio di Qatar.

Rancangan Hady Al-Islam dan Nur Wa Hidayah ini telah mengumpulkan pelbagai persoalan yang berlegar dalam kalangan umat Islam pada hari ini.

 Dalam menjawab persoalan-persoalan ini, antara pendekatan Dr. Yusuf Al-Qaradhawi adalah prinsip bersederhana di antara sikap memudahkan dan bertegas selain tidak taksub dan tidak bertaklid buta.

Di sini, setiap hujah yang dikeluarkan disokong oleh pegangan utama kita semua iaitu Al-Quran dan hadith.

 Tidak cukup dengan itu, beliau juga sangat mendukung penggunaan bahasa moden yang bersesuaian dengan tahap pemikiran masyarakat.

Bagi aspek ini, ia adalah suatu usaha yang sangat murni kerana bahasa yang terlalu tinggi mampu mengundang kesusahan kepada pembaca selain menyebabkan mereka jauh hati.

 Bukan itu sahaja, soalan yang dimuatkan juga merupakan kumpulan soalan  yang sering bermain dalam kalangan masyarakat Muslim di seluruh dunia.

Antaranya adalah isu hadith yang menyentuh berkenaan penyerahan tugas kepada kaum wanita adalah tidak digalakkan dan juga fenomena kafir-mengkafir secara melampau.

 Bagi isu yang jarang didengar pula, ada juga disentuh berkenaan ayat Al-Quran tentang mata air yang hitam berlumpur dalam kisah Zulkarnain pada ayat ke-86 dari surah Al-Kahfi.

Tidak kurang juga kupasan yang diberi oleh penulis dalam hadith yang menyebut tentang seksaan keatas mayat yang diratapi oleh ahli keluarganya yang masih hidup.

 Begitulah sedikit sebanyak yang disingkap dari kitab berharga ini.

Ia akan menemui pembaca dalam empat jilid utama dengan harapan untuk tampil ringkas namun padat dan tidak membebankan mereka yang ingin meneguk ilmu dari lautan ulama dunia yang terkemuka ini.

 MashaAllah, lihat sahaja bagaimana beliau berusaha untuk memudahkan urusan agama kita semua.

Tepuk dada dan tanyakan pada iman di hati, bagaimana pula dengan usaha diri kita sendiri.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024