Artikel

Sertai Kuiz Fizik bersama Datuk Santa: Oh, Senangnya Sains Fizik

oleh Nurul Aqilah Hairulsam pada 30 Jan 2015

Rentetan siri Oh, Senangnya Sains, kini dengan terbitan baru dan topik lebih menarik yang menceritakan kisah tentang fenomena-fenomena yang berkait rapat dengan hukum fizik dan sering kali dialami oleh manusia mahupun kehidupan di sekeliling kita.

Kisah yang mahu ditampilkan dalam buku ini pula bermula dengan pertandingan kuiz fizik antara kumpulan Ekspedisi Sains dan Kumpulan Pintar Sains yang dicadangkan oleh Datuk Santa bagi menyelesaikan percanggahan pendapat di antara dua kumpulan tersebut.

Jalan penceritaan juga dimulakan dengan penuh persoalan tentang subjek fizik yang berkait rapat seperti fenomena bayang-bayang, penghasilan warna-warna primer, daya magnet, hukum daya graviti dan pelbagai lagi yang dibicarakan oleh mereka di dalam buku ini.

Selain itu, penyampaian yang santai dan mencuit hati pasti mampu menarik minat para pembaca untuk mendalami pemahaman tentang subjek ini dengan kisah yang lebih menyeronokkan.

Bukan sahaja mudah difahami, grafik visual dan gabungan warna-warna yang ceria juga memberikan gambaran yang jelas dan tepat dengan penerangan yang diberikan.

Tunggu apa lagi? Ikutilah pertandingan kuiz fizik ini yang disertai oleh Dao dan Bazzi dengan Rodumani dan Nosujang untuk mengetahui siapakah yang lebih handal dan pintar dalam menyelesaikan pertanyaan orang ramai.


 

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024