Artikel

Setulus Cinta Adam dan Hawa: Aku Terima Cintanya

oleh Noor Hidaya Arshad pada 25 Mar 2015

Senyum sendiri apabila membaca perihal cinta. Tergambar emosi riang dan teruja. Segalanya tampak positif dan indah. Naskhah novel ini memberi pembaca perasaan itu.

Seperti kata seorang daripada penulis, ‘cinta itu ibarat sebuah bulatan, dapatlah cinta dibahagikan kepada empat bahagian. Satu per empat cinta itu adalah mahu, satu per empat pula ingin, satu per empat lagi bertolak ansur, dan bakinya adalah saling menerima.’

Jalan cerita menarik yang dihidangkan memberi banyak pengajaran perihal hubungan sesama pasangan. Betapa perlunya ilmu komunikasi dalam perhubungan. Betapa wanita perlu tahu sifat lelaki dan lelaki perlu tahu sifat wanita.

Naskhah ini umpama konsultan perhubungan kerana setiap aspek komunikasi antara pasangan ditimbulkan dan diselesaikan satu per satu. Ia mudah diserap minda kerana ia ditulis dengan cara berdialog.

Ada tiga ceritera cinta yang dihidangkan dengan sudut pandang cinta yang berbeza. Pembaca tidak akan hanyut dibelai perasaan cinta seperti novel-novel cinta lain. Lembaran ini mencantikkan konotasi cinta kepada kita.

Buat mereka yang ingin mengetahui makna sebenar menerima dan memberi cinta, maka naskhah ini sesuai dihadam. Tidak kira sudah berpasangan atau belum, kerana cinta meliputi segenap peranan hidup.


 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024