Siapa Hero Sebenar: Adiwira:Titan Zombie vs Robowira

oleh Nor Fatin Amira Salleh pada 02 Mar 2016

Spiderman, Ultraman, Batman, dan Power Rangers adalah satu watak animasi yang popular. Watak-watak ini terkenal dalam kalangan kanak-kanak. Tetapi sekarang ini saya ingin memperkenalkan satu watak baru dalam dunia wira. Siapa kenal watak Adiwira? Kalau anda pernah membaca siri komik Adiwira sebelum ini, pasti anda akan mengenalinya.

Adi ialah seorang kanak-kanak yang masih belajar di sekolah rendah. Namun, siapa sangka perkhemahan bersama-sama rakannya di dalam hutan mengubah hidupnya.

Setelah secara tidak sengaja menyerap aura daripada bola kuasa, Adi memegang tanggungjawab berat untuk mempertahankan bumi dari musuh-musuhnya.

Komik Adiwira ini pernah diterbitkan dalam dua siri sebelum ini dengan tajuk Adiwira: Si Cilik Penyelamat Bumi dan Adiwira: Kehebatan Musuh baru. Kini Adiwira akan kembali meneruskan tugasnya sebagai penyelamat bumi, Adiwira: Titan Zombie vs Robowira.

Dalam siri ketiga ini, penulis telah menambah beberapa watak baharu untuk menyerikan lagi siri ini. Namun, watak Baroro yang sentiasa memburu Adi dan ingin memusnahkannya masih dikekalkan.

Watak-watak dalam keluaran terbaharu ini juga semakin berkembang. Adi sebagai Adiwira yang menjadi watak utama cerita ini telah mempertingkatkan kuasanya dengan bantuan kawannya, Aroro.

Baroro musuh utamanya juga tidak mengalah dan mencipta satu watak baharu yang lebih berkuasa untuk menentang Adiwira.

Dengan peningkatan kuasa masing-masing, pertempuran menjadi semakin hebat. Siapakah Titan Zombie, Robowira dan Blackghost? Adakah mereka adalah watak ciptaan baharu yang akan menolong Adiwira membela bumi atau mereka adalah musuh yang menentangnya.

Siapa kawan dan siapa lawan Adiwira? Berjayakah Adiwira mempertahankan kuasanya daripada dirampas oleh Baroro dan mampukah dia memenangi pertarungan itu?

Semua persoalan ini akan terjawab dalam siri terbaharu ini. Anda perlu membaca sendiri komik ini untuk mengetahui kesudahannya. Selamat membaca!