Artikel

Siapa Hilmar Farid Yang Akan Bersama Membuka Panggung ASEAN Literary Festival di Jakarta?

oleh Asri Yussof pada 24 Jul 2017

Seluruh ASEAN menunggu acara pembukaan ASEAN Literary Festival yang dijadualkan akan dibuka oleh dua penulis iaitu Faisal Tehrani dari Malaysia dan Hilmar Farid dari Indonesia. ‘This is the way I resist’ adalah tajuk yang akan dikongsikan oleh saudara Faisal manakala, Hilmar Farid akan bercakap tentang ‘Uniting Southeast Asia through literature.’

asean

Bagi mereka yang belum mengenali Hilmar Farid, beliau adalah sejarawan, aktivis, dan pengajar. Beliau aktif di Asian Regional Exchange for New Alternatives (ARENA) dan di Inter- Asia Cultural Studies Society sebagai editor.

Ketika melanjutkan ijazah sarjana muda, beliau di Fakulti Sastera Universitas Indonesia dalam jurusan sejarah pada 1993. Pada 1995-1999, beliau mengajar di Institut Kesenian Jakarta dan sejak 2014 hingga sekarang, beliau masih mengajar di sana.

Beliau dan rakan-rakan mendirikan Jaringan Kerja Budaya pada 1994 dan menerbitkan bacaan cetak berkala - Media Kerja Budaya. Kemudian pada 2003, beliau bergabung bersama beberapa sejarawan lain dan aktivis mendirikan Institut Sejarah Sosial Indonesia.

Bagi yang mempercayai sastera tidak hanya menulis di kertas malah lebih dari itu meredah lapangan politik dan birokrasi, Hilmar dan teman-teman membentuk Relawan Penggerak Jakarta Baru (RPJB) yang bertujuan mensosialisasikan Pilkada Jakarta 2012 tanpa politik wang, dan mendukung serta berkempen untuk ahli politik yang layak dipilih dalam pilkada tersebut.

hilmar

Pada 2012, bukunya berjudul Kisah Tiga Patung diterbitkan oleh Indonesia Berdikari. Beliau mendapat gelar doktor di bidang kajian budaya di National University of Singapore  pada Mei 2014 dengan disertasi berjudul “Rewriting the Nation: Pramoedya and the Politics of Decolonization.”

Pada Mac 2014, beliau bersama sejumlah pakar, menganjurkan Simposium Nasional yang mengusulkan “Jalan Kemandirian Bangsa” yang merumuskan semirip ‘GBHN” untuk masa depan pemerintahan Jokowi yang ketika itu mengumumkan untuk bertanding kerusi Presiden.

Sebagai orang yang berpihak dan berkempen untuk Jokowi, beliau dilantik menjad Direktur Jeneral Kebudayaan, Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan, Republik Indonesia pada 31 Disember 2015. Beliau adalah orang pertama yang menduduki kerusi direktur jeneral yang berasal dari kelompok ‘non-pegawai kementerian.’

Hilmar Farid

Tulisan-tulisan dan pandangannya secara langsung boleh dibaca di blog rasmi beliau, http://hilmarfarid.com/wp/

ASEAN Literary Festival ke-4 yang bertemakan “Beyond Imagination” akan berlangsung di Kota Tua, Jakarta Barat, dari 3-6 Ogos, yang bertepatan dengan ulang tahun ke-50 blok serantau ASEAN tahun ini.

Ikuti portal www.pts.com.my/berita  untuk lebih banyak cerita mengenai ASEAN Literary Festival dan saksikan pembicara-pembicara di ASEAN Literary Festival secara LIVE di facebook page PTS.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024