Artikel

Syukur Gaya Abdul Rahman bin Auf

oleh Roziyah pada 05 Jan 2012

Dalam sebuah kisah pada zaman Rasulullah, Abdul Rahman bin Auf melihat Nabi Muhammad sedang melakukan sujud yang panjang. Maka Abdul Rahman bin Auf mula bimbang dengan keadaan Rasulullah yang masih tetap dalam keadaan sujud, berkemungkinan Rasulullah dipanggil Tuhan secara mendadak. Dengan segera Abdul Rahman bin Auf mendatangi Rasulullah bagi mengetahui keadaan baginda yang sebenarnya.

Beberapa ketika, Rasulullah mengangkat kepalanya, bangun dari sujud dan bertanya kepada Abdul Rahman bin Auf,

“Mengapa wahai sahabatku, kamu kelihatan cemas?”

Abdul Rahman bin Auf lantas menjelaskan kebimbangannya itu, sepertimana yang dinyatakan di atas.

Dengan penuh rasa cinta kepada umat, Rasulullah menerangkan,

“Jibril datang kepadaku dan berkata, Sukakah engkau? Barangsiapa yang mengucapkan selawat ke atas engkau, maka Allah akan berselawat kepadanya. Barangsiapa yang memberikan salam kepada engkau, maka Allah akan memberikan salam kepadanya. Mendengar hal itu, maka saya terus melakukan sujud kepada Allah sebagai tanda bersyukur.”

(Hadis direkodkan oleh Ahmad)

Kisah di atas menunjukkan tuntutan sunnah Nabi Muhammad dalam mensyukuri nikmat Allah. Sujud syukur yang dilaksanakan sama seperti melakukan sujud tilawah (iaitu sujud yang disebabkan membaca ayat tilawah dalam Al-Quran ketika sedang solat) dan dilakukan di luar solat. Caranya adalah seperti berikut:

Niat sujud kerana bersyukur atas nikmat Allah secara khusus.

Mengakui kebesaran Allah dengan melafazkan kalimah takbir iaitu, “Allahuakbar” sebelum sujud.

Melakukan sujud dengan meletakkan dahi ke bumi dan boleh dilakukan di mana-mana asalkan suci daripada najis.

Memberi salam selepas bangun daripada sujud.

Syarat-syarat sah adalah suci daripada hadas kecil dan besar, menutup aurat, dan menghadap kiblat.

Abu Bakrah melaporkan,

“Apabila Rasulullah menemukan sesuatu yang menggembirakan beliau atau disampaikan kepada beliau sesuatu berita sukacita, maka baginda melakukan sujud syukur sebagai tanda bersyukur kepada Allah.”

(Hadis direkodkan oleh Abu Daud, Ibnu Majah, dan Tirmizi).

Ini cara Islam mengajar kita bagaimana cara mensyukuri nikmat Allah atau terlepas daripada bala. Selain itu, tanda bersyukur juga boleh dilakukan dengan amalan bersedekah dan solat sunat syukur dua rakaat.

Antara tanda kesyukuran yang ditunjukkan oleh Abdul Rahman bin Auf adalah sumbangan beliau kepada tentera Islam dalam peperangan Tabuk iaitu, 200 dinar, 1500 ekor unta tunggangan, dan 500 ekor kuda perang. Tidak cukup dengan itu, beliau mendermakan 400 dinar kepada bekas tentera Perang Badar yang masih hidup seramai 100 orang.

 

Artikel dipetik daripada buku Rahsia Jutawan Islam Abdul Rahman Bin Auf tulisan Tuan Aizuddin Zakaria

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024