Tafsir Al-Azhar Karangan HAMKA Antara Karya Agung Yang Lahir Dari Penjara

oleh Abdullah pada 27 Nov 2016

Walaupun kita memandang penjara adalah tempat untuk tahanan yang menyalahi undang-undang, dalam masa yang sama kita tidak boleh menolak penjara adalah tempat yang melahirkan karya-karya agung yang menjadi bacaan ramai orang.

Tafsir Al-Azhar yang ditulis oleh HAMKA dilahirkan dari penjara. HAMKA dipenjarakan oleh Presiden Pertama Republik Indonesia, Soekarno, akibat menentang dan menguak api kemarahan rakyat Indonesia terhadap pemerintahnya pada ketika itu.

soekarno

Pada tahun 1959, HAMKA yang ketika itu bersama-sama bergerak melalui MASYUMI, Majlis Syura Muslimin Indonesia telah mengkritik keras pemerintahan Soekarno.

Dalam salah satu siri rapat umum yang dilakukan pada ketika itu, HAMKA melaungkan,

““..Trias Politica sudah kabur di Indonesia….Demokrasi terpimpin adalah totaliterisme…Front Nasional adalah partai Negara…”

Beberapa tahun kemudian, iaitu pada tahun 1964, HAMKA dan beberapa lagi pemimpin dari MASYUMI disumbatkan ke dalam penjara tanpa bicara.

Seperti yang pernah dilakukan oleh rejim Mahathir ketika beliau memegang tampuk kuasa sebagai Perdana Menteri Malaysia.

mahathir

HAMKA yang menjadi imam solat jenazah Soekarno memberitahu sedikit pun tiada dendam beliau kepada arwah, malah beliau bersyukur kerana berada di penjara, akhirnya beliau dapat menulis Tafsir Al-Azhar dengan lancar.

Selesai solat jenazah, ada yang bertanya kepada HAMKA, “Adakah Buya tiada dendam kepada Soekarno yang telah menahan Buya sekian lama di penjara?”

Dengan lembut, HAMKA menjawab, “Hanya Allah yang mengetahui seseorang itu munafik atau tidak, yang jelas, sampai ajalnya, dia tetap seorang muslim. Kita wajib menyelenggarakan jenazahnya dengan baik.

Saya tidak pernah dendam kepada orang yang pernah menyakiti saya. Dendam itu termasuk dosa. Selama dua tahun empat bulan saya ditahan, saya merasa semua itu anugerah dari Allah kepada saya, sehingga saya dapat menyelesaikan Kitab Tafsir Al Quran 30 Juzuk. Jika tidak di dalam tahanan, tidak mungkin ada saya mempunyai waktu mengerjakan dan menyelesaikan pekerjaan itu.”

tafsir al -azhar

Selain Tafsir Al-Azhar, terdapat beberapa buah lagi karya yang menempa kelahirannya ketika dalam tahanan penjara. Antaranya, Tafsir Fi Zilal Al-Quran karangan Sayyid Qutb dan Mein Kampf yang ditulis oleh Adolf Hitler.