Artikel

The Wannababes Mencari Super Bodyguard Gagah Perkasa!

oleh Izzati Nadia Zi pada 26 May 2016

Jikalau ditanya mengenai The Wannababes, saya pasti para pembaca sudah cukup kenal dengan ahli-ahli kumpulan ini.

Kumpulan ini dianggotai seramai tujuh gadis remaja yang cantik dan persis model.

Kesemuanya adalah anak-anak orang berada. Ketua The Wannababes haruslah yang paling gah dalam kalangan mereka semua, iaitu Fasharina Tan Sri Hisham atau lebih dikenali dengan panggilan Fasha.

Kepada para pembaca yang mengikuti perkembangan penulis buku ini, Ain Maisarah, kita pasti sudah sedia maklum tentang perangai ahli kumpulan The Wannababes ini.

Gedik, berlagak diva, sombong, dan salah guna kuasa. Malah, mereka juga sering menimbulkan masalah seperti membuli dan mengutuk pelajar-pelajar yang tidak sehebat, secantik, dan sekaya ibu bapa mereka.

The Wannababes kembali menggegarkan Sekolah Sri Bangsar. Apa pula isunya kali ini?

Ekoran daripada kejadian kes ragut yang berlaku di sekolah tersebut tempoh hari, situasi di Sekolah Sri Bangsar tidak lagi aman dan harmoni seperti dahulu. Semua pelajar berada dalam ketakutan dan dilarang balik secara bersendirian.

Peragut kali ini bukan calang-calang peragut kerana bukan sahaja tas tangan yang menjadi sasaran para peragut, tetapi beg sekolah turut tersenarai dalam kategori barang berharga bagi mereka.

Seorang pelajar perempuan diragut dan kini terlantar di hospital.

Disebabkan oleh kejadian ngeri itu, guru disiplin Sekolah Sri Bangsar, Cikgu Amnah Jambul Kembang mengarahkan para pelajar untuk pulang bersama rakan-rakan.

Mereka turut dilarang memakai aksesori dan barangan mahal yang boleh menarik perhatian si peragut.

Itulah berita buruk bagi The Wannababes. Sudahlah peragut masih bebas berkeliaran di luar perkarangan sekolah, Cikgu Amnah pula melarang memakai aksesori yang mahal-mahal. Bagaimana mereka mahu mengekalkan status dan reputasi mereka sebagai sebuah kumpulan yang berpengaruh?

Mereka tidak boleh merendahkan status dengan memakai jenama-jenama tiruan. Oh, tidak!

Lantas, selaku ketua, Fasha mengendalikan sebuah mesyuarat tergempar di rumahnya, dan akhirnya memutuskan bagi mengupah seorang pengawal peribadi.

Memandangkan bapa Fasha seorang Tan Sri, jadi tiada masalah dari segi kewangan untuk terus mendapatkan pengawal peribadi yang gagah buat Fasha dan rakan-rakan.

Jikalau ditanya kepada para wanita di luar sana, siapa yang tidak mengidamkan seorang lelaki bertubuh sasa dan berwajah ala-ala pelakon Hollywood melindungi kita?Pasti terasa selamat sepanjang masa.

Sudahlah kacak, gagah perkasa pula.

Namun begitu, tidak semua manusia sempurna. Mr. Smith, pengawal peribadi Fasha pada awalnya berjaya membuatkan para pelajar sekolah Sri Bangsar terlopong dan cemburu.

Namun, Mr. Smith seorang yang lurus bendul dan miang. Itu yang membuatkan Fasha memecat pengawal peribadi tersebut.

Fasha meneruskan pencarian pengawal peribadi yang mampu melindungi The Wannababes daripada serangan si peragut.

Afiqah, seorang gadis biasa, namun mahir dalam asas seni mempertahankan diri Taekwondo terpilih sebagai pengawal peribadi The Wannababes.

Apakah nasib Afiqah apabila dia terpilih untuk berdamping bersama The Wannababes? Semenjak Afiqah bersama The Wannababes, pelbagai permasalahan dan konflik yang timbul.

Api cemburu Lis Dayanti yang tidak suka pada Afiqah kerana hebat dalam seni Taekwondo. Tidak kurang juga dengan Ritah Rudaini yang membenci Afiqah kerana bersama dengan The Wannababes.

Bagaimana Afiqah menangani krisis persahabatannya dengan Juliana dan Firdi?

Ikuti kisah Aku Mahu Super Bodyguard ini jikalau anda mahu tahu bagaimana pengakhiran dan nasib yang menimpa Afiqah.

Nilai persahabatan bukan diukur daripada populariti semata-mata, namun diukur daripada keikhlasan seseorang dalam mempertahankan keutuhan hubungan persahabatan itu.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024