Tiada Paksaan Dalam Agama Islam atau Dalam Menganuti Agama Islam?

oleh Huzaifah Abd Jamil pada 03 Aug 2016

“Hisy, menyakitkan hati betullah… suruh sembahyanglah, apa lah… mana boleh paksa-paksa… Islam tak boleh paksa, tahu tak? Kata je pandai agama… huh...”

Omel Aleesya terhadap keberadaan sepupunya Firdaus yang berpendidikan agama di rumahnya untuk mengikuti kursus keusahawanan di kawasan berhampiran.

Monolog ini dikutip dari filem ‘Aku Masih Dara’ arahan Ahmad Idham, mengisahkan tentang tiga gadis sosial yang mula terpikat untuk kembali kepada Islam.

Ungkapan ini berjaya menimbulkan persoalan sesetengah pihak, apakah benar Islam itu tidak memaksa umatnya untuk melaksanakan ibadah, seiring dengan ayat 256 surah Al-Baqarah di dalam Al-Quran?

Tafsir monumental karya ulama nusantara, Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah yang terkenal dengan panggilan Buya HAMKA, iaitu Tafsir Al-Azhar merungkai isi tersirat dalam ayat berkenaan.

Tiada paksaan dalam agama ini sebenarnya tertuju kepada penganut agama lain untuk memeluk Islam. Keyakinan seseorang tidak mudah untuk dipaksakan, kerana kebenaran dan kesesatan telah nyata pula.

Demikianlah kekuatan ayat ini. Ia memberi pilihan kepada sesiapa sahaja yang membacanya untuk berfikiran terbuka dan secara mendalam, perkara semacam apa yang menjanjikan kebaikan untuk kehidupannya kelak.

Ayat ini sekaligus menolak tohmahan musuh-musuh Islam yang menyatakan bahawa Islam itu tertegak di hujung mata pedang. Ayat inilah yang memberi kesempatan kepada umat manusia menggunakan kemurnian akal fikiran untuk mencari kebenaran.

Sarjana Kristian Arab, Prof Phillip Hitti yang menjadi warga negara Amerika melalui bukunya Sejarah Arab turut mengakui, bahawa ayat ini adalah salah satu ayat dalam Islam yang patut menjadi anutan manusia dalam segala agama.

Pengakhiran ayat 256 ini menyatakan bahawa, Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Isinya jelas, sesungguhnya Allah itu sentiasa mendengar permohonan manusia yang mencari dan meminta petunjuk, malah mengetahui pula kesungguhan mereka dalam mencari kebenaran.

Jadi, bagaimana mungkin pemaksaan ini dikenakan ke atas perkara ibadah dalam Islam semata-mata, sedang ibadah itu salah satu bentuk penyerahan diri kepada Allah? Bahkan diberi pula beberapa bentuk keringanan menurut kesesuaian keadaan?

Ayat ini jelas dimaksudkan kepada setiap muslim agar tidak memaksa mereka yang bukan Islam untuk memasuki agama Islam, sedang setiap muslim wajib mematuhi suruhan agama dan meninggalkan larangannya.