Artikel

Tukar Skrip Hidup Anda

oleh Ainon Mohd pada 10 Jan 2012

Setiap individu mencipta skrip kehidupannya sendiri. Seperti pelakon dalam filem, seseorang itu mempunyai skrip yang dilakonkannya, bezanya dalam filem skrip itu dicipta orang lain, dalam kehidupan sebenar kita mencipta skrip kita sendiri.

Ada dua jenis skrip kehidupan yang penting. Kedua-duanya mempunyai pengaruh yang kuat ke atas cara seseorang itu menyusun skrip kehidupannya. Kedua-dua disebut skrip komitmen dan skrip nuklear.

Skrip komitmen juga dikenali dengan istilah ‘Skrip Kejayaan’ (success script) manakala skrip nuklear juga dikenali dengan istilah ‘Skrip Kegagalan’ (failure script). Dalam skrip komitmen seseorang itu mengikat dirinya kepada suatu jadual sepanjang hidup yang dibikinnya sendiri di mana dia yakin jadual itu dapat menghasilkan ganjaran-ganjaran yang sangat positif.

Skrip nuklear sangat berbeza daripada skrip komitmen. Ia dipenuhi dengan rasa serba salah, serba bimbang dan serba tidak yakin berkenaan apa yang sepatutnya menjadi matlamat hidup bagi mereka yang memiliki skrip ini. Skrip ini melibatkan pelbagai konflik antara mahu dengan tidak mahu, antara yakin dengan tidak yakin, antara takut dengan berani dan macam-macam lagi konflik.

Skrip komitmen melibatkan pelaburan jangka panjang bagi melakukan pelbagai pembaikan. Setiap individu mempunyai cita-cita hendak mencapai suatu kehidupan yang ideal pada masa depan. Sebagai contoh, seseorang itu mungkin mempunyai cita-cita mahu mencipta sebuah kehidupan yang ideal bagi masyarakatnya. Cita-cita itulah yang mendorongnya mengabdikan diri bagi mencapai cita-citanya. Ataupun seseorang itu mungkin mempunyai cita-cita hendak mencari ubat penyakit barah lalu dia mengabdikan dirinya menjadi sainstis dalam bidang itu.

Apabila seseorang itu mempunyai skrip komitmen, dia memiliki objektif dan matlamat hidup yang sangat jelas. Dia bekerja kuat, tabah dan gigih kerana mahu mencapai cita-citanya. Dalam keadaan di manandia berhadapan dengan dugaan dan kegagalan, dia bersikap tabah dan tekad, terus berjuang kerana yakin segala cabaran dan penderitaan akhirnya dapat diatasi.

Dipetik daripada buku Siri Motivasi Bisnes, Kejayaan Dari Dalam oleh Pengerusi PTS, Puan Ainon Mohd.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024