Artikel

Ucapan Seorang Lelaki Miskin di Bulan Ramadan ini Membuatkan Rasulullah SAW Tersenyum

oleh Abdullah pada 26 May 2017

Dalam satu hadis,

Abu Al-Yaman menyampaikan kepada kami, Syu’aib mengkhabarkan kepada kami daripada Az-Zuhri, beliau berkata, Humaid bin `Abdur Rahman mengkhabarkan kepadaku bahawa Abu Hurairah r.a. Berkata:

“Sewaktu kami duduk bersama di sisi Nabi saw, tiba-tiba datang seorang lelaki berkata, ‘Wahai Rasulullah, musnahlah (habislah) aku’.

Baginda saw bertanya, Mengapa dengan kamu ini?

Jawabnya, Aku sudah melakukan persetubuhan dengan isteriku sedangkan aku berpuasa, (dalam satu laporan lain pada bulan Ramadan).

Nabi saw bertanya, Apakah kamu memiliki hamba untuk dimerdekakan?

Jawabnya, Tidak ada.

Baginda bertanya, Apakah kamu mampu berpuasa dua bulan berturut-turut?

Jawabnya, Tidak.

Baginda bertanya lagi, Adakah kamu memiliki makanan untuk diberikan kepada 60 orang fakir miskin?

Jawabnya, Tidak.

Lalu Nabi saw diam sebentar.

Sewaktu kami duduk dalam keadaan itu, datang seseorang membawakan kepada Nabi saw suatu bekas yang penuh di dalamnya dengan buah kurma.

Baginda bertanya, Di manakah orang yang bertanya tadi?

Jawabnya, Saya.

Baginda menyatakan, Ambillah tamar ini dan bersedekahlah dengannya.

Kata lelaki itu, Apakah untuk orang yang lebih fakir daripadaku wahai Rasulullah? Demi Allah tidak ada orang yang duduk di antara dua gunung ini (yang dimaksudkan adalah Madinah) keluarganya yang lebih fakir daripada keluargaku.

Lalu Nabi saw ketawa sehingga nampak gigi geraham Baginda.

Baginda menyatakan, Berilah makan kepada ahli keluargamu.

40 kisah

Hadis ini dipetik dari buku 40 Kisah Yang Membuatkan Nabi Ketawa Berdasarkan Hadith Sahih, tulisan Mustafar Mohd Suki. Hadith ini menceritakan kepada kita tentang persoalan kafarah (denda) yang diwajibkan kepada suami yang bersetubuh pada siang hari di bulan Ramadan.

Klik di sini untuk membeli buku ini sempena Ramadan Special

Mustafa Mohd Suki menulis, di akhir hadith menunjukkan bahawa lelaki itu bukanlah berniat membuat Nabi tertawa mahupun bergelak gembira. Tetapi hakikatnya dia memang seorang yang miskin dan tidak mampu melangsaikan kafarahnya.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024