Artikel

Ulasan Buku PTS di Harian Metro: Travelog Cinta Abadi

oleh Helmi pada 22 May 2010

Bukan nama kehidupan jika ia tidak diselang-seli dengan peristiwa pahit manis atau suka duka. Semua itu adalah rahmat Allah kepada hamba-Nya yang perlu sentiasa memperbaiki diri bagi memastikan kehidupan mereka lebih sempurna.
Manusia perlu menempuh beberapa tahap dan episod dalam kehidupan mereka yang Allah sudah tetapkan perjalanannya.

Menerusi buku Travelog Cinta Abadi, ia bukan novel khayalan atau imaginasi, tetapi pengalaman dan peristiwa yang merakamkan kembali perjalanan hidup yang mungkin dianggap perkara biasa bagi sesetengah daripada kita.

Kisah yang terkandung di dalamnya penuh dengan warna-warna kehidupan yang pernah dialami bersama ayah, ibu, datuk, nenek, adik-beradik, rakan dan sanak saudara.

Antara bab yang menarik adalah ais krim Malaysia, lampu gasolin, batu giling yang pasti remaja zaman sekarang tidak lagi dapat merasa atau mengetahui bagaimana bentuknya.

Selain itu, pengalaman pertama menonton televisyen buat pertama kali pasti menarik untuk diketahui. Ketika itu setiap rumah baru saja dimasukkan pendawaian elektrik oleh Lembaga Letrik Negara (LLN).

Buku yang mengandungi 93 bab ini amat sesuai dijadikan bacaan kepada remaja hari ini bagi mendapatkan gambaran kesukaran hidup pada zaman dulu sambil mensyukuri kemewahan yang mereka kecapi kini.

Ketika berada di alam remaja atau kanak-kanak ia selalu dikaitkan dengan zaman kegembiraan yang tidak terbatas.

Hakikat sebenarnya berbeza apabila usia menginjak ke alam dewasa dan sudah berumah tangga kerana terdapat perbezaan ketara berlaku.

Kita mula menyedari ‘kegembiraan’ sebenarnya mengandungi banyak pengajaran terutama dalam usaha mendidik anak sendiri.

Secara keseluruhan, buku ini dianggap autobiografi pengalaman penulisnya yang dipersembahkan secara ringkas dan setiap bab mempunyai tema khusus.

Yang pasti, pembaca pasti tidak jemu mengikuti setiap bab yang diceritakan sehingga meninggalkan tanda tanya.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024