Buku

Frankenstein - Edisi Bahasa Melayu

oleh Dali Fazuri

RM 20.00 / RM 22.00Sabah/Sarawak
Beli Versi Cetak
Bookcafe Shopee Lazada

ISBN: 978-967-369-365-8

Muka Surat: 368

Saiz: 4.5x7.25

Tarikh Terbit: 27 Mar 2017

Imprint: Penerbit-X

Robert Walton dalam ekspedisi mencari laluan baru untuk ke Lautan Pasifik melalui Lautan Artik, menemui lelaki yang hampir mati, terapung di atas lautan ais. Lelaki itu adalah Victor Frankenstein, yang menceritakan kisah hidupnya yang tragis. Seorang genius yang cuba menjadi Tuhan dengan menghidupkan makhluk yang dihasilkan daripada cantuman mayat-mayat. Tragedi bermula apabila makhluk itu mula menuntut kasih sayang penciptanya.

——
Mary Wollstonecraft Shelleymenghasilkan novel gothik Frankenstein; or, The Modern Prometheus (Frankenstein) ketika usianya 18 tahun dan diterbitkan pada tahun 1818, dua tahun selepas berkahwin dengan penyair, Percy Bysshe Shelley.

 

 

Preview bab 1:

Berdasarkan keturunan, aku lahir sebagai orang Geneva, dan keluargaku adalah antara yang ternama di republik itu. Bertahun-tahun lamanya, leluhurku banyak dikenali sebagai penasihat dan pegawai pemerintah, dan ayahku sendiri pernah menduduki pelbagai jawatan kehormat dan memiliki reputasi. Dia dihormati oleh semua yang mengenalinya lantaran kewibawaan dan keperihatinannya terhadap urusan masyarakat tanpa mengenal lelah. Masa mudanya senantiasa terisi dengan berbakti kepada negeri, mendepani bermacam keadaan dan situasi, menyebabkan dia tidak dapat bernikah awal. Hanya setelah lanjut usianya, barulah dia menjadi suami dan kepala keluarga.

Wataknya banyak digambarkan oleh keadaan perkahwinannya, maka aku tidak mampu bertahan daripada menceritakannya. Salah seorang sahabat karibnya adalah seorang saudagar mewah, tetapi kerana nasib yang seringkali tidak menyebelahinya, dia jatuh miskin. Saudagar itu, namanya Beaufort, seorang yang keras hati dan tinggi harga diri, dan hal itu menjadi sebab ketidakmampuannya mendepani kemiskinan. Dia malah dilupakan di negeri yang sebelumnya dia dikenali kerana pangkat dan kemewahannya. Setelah melunasi segala hutangnya, dengan cara yang sangat terhormat, dia berundur bersama anak gadisnya ke Kota Lucerne, tempat di mana dia hidup dalam kesepian dan tidak dikenali sesiapa. 

Ayahku mengasihi Beaufort sebagai seorang sahabat sejati. Maka tindakan saudagar itu berundur tatkala ditimpa malang, mendatangkan kesedihan yang tidak terhingga kepada ayahku. Dia begitu kesal dengan keegoan yang menyebabkan temannya itu kurang menghargai nilai persahabatan yang menyatukan mereka. Maka ayahku tidak berlengah waktu untuk mencari Beaufort, dengan harapan dapat memujuknya bangkit semula melalui wang dan pertolongan daripada ayahku.

Namun Beaufort bijak menyembunyikan diri, dan ayahku terlewat sepuluh purnama sebelum berjaya menemukan tempat tinggalnya. Penemuan itu melonjakkan kegembiraan yang luar biasa kepada ayah, dan dia bergegas ke rumah tersebut, yang letaknya di lorong sempit berhampiran Sungai Reuss. Namun sebaik melangkah masuk ke dalam rumah sahabatnya itu, hanya kesedihan dan kesengsaraan yang menyambutnya.

Jumlah simpanan Beaufort tidak banyak, sangat kecil daripada sisa kekayaannya. Namun ia cukup untuk menampung hidupnya selama beberapa bulan, dan pada waktu yang sama dia mengharapkan pekerjaan yang baik di rumah seorang saudagar. Sayangnya sela waktu itu berlalu begitu sahaja, maka kekecewaannya menjadi duri yang menusuk diri kian dalam. Kesedihan itu akhirnya mencengkam fikirannya pada penghujung bulan ketiga. Beaufort terbaring di atas katil, jatuh sakit, dan tidak berkemampuan melakukan apa pun.

Anak gadisnya merawat dengan penuh kasih sayang. Tetapi perawan malang itu menyedari bahawa kantung mereka kian menyusut hari demi hari, dan mereka tidak mempunyai sesiapa pun untuk mengharapkan bantuan. Namun Caroline Beaufort mempunyai akal yang luar biasa, lain daripada yang lain, dan keberaniannya bangkit menyokong hidupnya yang sukar. Dia mencari kerja-kerja yang mudah, memintal jerami, contohnya, dan pelbagai kerja lain yang membolehkannya mendapatkan sedikit wang bagi memenuhi keperluan hidup.

Keadaan seperti itu berlangsung selama beberapa bulan. Sakit ayahnya bertambah buruk, dan kebanyakan waktu digunakan untuk merawat ayahnya, dan secara tidak langsung mengurangkan pendapatannya. Maka pada bulan kesepuluh, sang ayah menemukan ajal dalam dakapan anaknya, sekali gus menjadikan Caroline seorang piatu lagi kedana. Pukulan terakhir itu benar-benar meruntuhkan semangatnya.

Perawan itu sedang meratap dan berlutut di sisi keranda ayahnya ketika ayahku masuk ke ruang tersebut. Kedatangannya laksana seorang kesatria kepada gadis malang itu, yang segera menyerahkan dirinya di bawah jagaan ayahku. Selepas pengebumian sahabatnya itu, dia membawa Caroline ke Geneva dan menempatkannya di bawah perlindungan keluarga terdekat. Lewat dua tahun selepas kejadian itu, Caroline menjadi isteri kepada ayahku.

Benar, perbezaan usia antara kedua-dua orang tuaku sangat besar, tetapi keadaan itu hanya meyatukan mereka lebih erat dalam berkasih sayang. Bibit-bibit keadilan selalu menjadi tajuk utama dalam minda ayahku, sekali gus menjadikan dirinya mampu mencintai dengan tulus dan kuat. Barangkali, dia pernah menderita ketika usianya masih muda, lantaran terlambat tahu bahawa orang yang disayanginya itu tidak layak menerima cintanya, maka dia berusaha mencari hati yang punya nilai yang lebih tinggi. Demikian, dalam hubungannya dengan ibuku, wujud sifat berterima kasih dan perdambaan, dan ia sama sekali menidakkan edan kasmaran kerana usia. 

Sikapnya terinspirasi oleh rasa hormat akan kemuliaan ibuku. Ayahku, dengan caranya tersendiri, menghulurkan pampasan atas kesedihan yang ibuku alami. Sikapnya itu sebetulnya adalah anugerah yang tidak terungkapkan untuk ibuku. Apa sahaja yang dilakukannya adalah semata-mata bagi memenuhi keinginan dan kesenangan ibuku. Dia berusaha menaungi ibuku, seperti seorang pekebun melindungi tumbuhan eksotiknya daripada diperkosa angin kencang, juga menyediakan apa sahaja yang dapat membuatkan emosi ibuku bangkit keseronokan.

Kesihatan ibuku, bahkan juga ketenteraman jiwanya telah tergoncang oleh peristiwa-peristiwa yang dialaminya. Sepanjang dua tahun sebelum pernikahan mereka, ayahku, secara beransur-ansur meninggalkan kegiatan masyarakatnya. Maka sebaik sahaja bersatu, mereka segera langsung mengejar iklim yang lebih menyenangkan di Itali. Peralihan suasana, disertai oleh seorang teman yang menarik hati ketika menjelajahi tanah yang mengagumkan itu berhasil memulihkan tubuh ibuku yang lemah.

Dari Itali, mereka melancong ke Jerman dan Perancis. Aku, putera sulung mereka, lahir di Napoli, dan turut menyertai kembara mereka meskipun masih bayi. Aku menjadi satu-satunya anak mereka untuk beberapa tahun. Sebanyak kasih sayang antara mereka, begitu juga yang mereka limpahkan kepadaku, bahkan tiada berpenghujung. Belaian ibuku yang selembut sutera dan senyuman ayahku yang mencerminkan kebahagiaan ketika berinteraksi denganku, merupakan kenangan pertamaku. Akulah permainan dan pujaan hati mereka. Akulah anak mereka, makhluk suci tanpa daya kurniaan syurga, yang perlu dibesarkan menjadi seorang insan. Bergantung pada kesempurnaan tanggungjawab mereka terhadapku, corak masa hadapanku terletak di tangan mereka, sama ada lurus menuju kebahagiaan, ataupun berbelok-belok mengejar sengsara.

Dengan kesedaran mendalam terhadap apa yang mereka lakukan untukku, tertambah pula dengan kasih sayang yang menghidupkan mereka, maka senang kugambarkan bahawa ketika aku masih bayi, aku mempelajari hal-hal kesabaran, keikhsanan dan kawalan diri. Aku seperti dipandu dengan tali sutera, sehingga semuanya kurasakan seperti jujukan kegembiraan untukku.

Untuk tempoh yang lama, hanya aku dalam jagaan mereka. Ibuku sangat berkeinginan untuk memiliki anak perempuan, namun aku tetap menjadi anak tunggal mereka. Waktu usiaku berangka lima, ketika sedang berwisata merentas sempadan Itali, kami singgah di tepian Tasik Como selama seminggu. Lantaran bersifat dermawan, kedua-dua mereka seringkali mendatangi pondok-pondok fakir miskin. Hal itu, bagi ibuku, lebih daripada sekadar tugas. Ia merupakan satu kewajiban — mengingati penderitaan yang dilaluinya, dan bagaimana dia terbebas —  satu keghairahan baginya mengambil giliran menjadi kesatria terhadap mereka yang sengsara.

Suatu ketika, sedang mereka menyusuri satu penempatan, sebuah pondok di satu ceruk lembah menarik perhatian mereka, dan keadaannya menyedihkan. Kelihatan beberapa anak kecil mengerumuni pondok itu, dan rupa mereka menggambarkan kemelaratan yang luar biasa.

Satu hari, ayahku pergi ke Milan seorang diri, dan ibuku, dengan menjadikanku sebagai peneman, mengambil kesempatan mengunjungi pondok tersebut. Di pondok itu dia menemukan seorang petani dan isterinya, yang kedua-duanya bongkok lantaran bekerja keras serta menanggung kerunsingan hidup. Di hadapan mereka duduk lima orang anak yang sedang kelaparan. Untuk anak-anak mereka, suami isteri itu kulihat sedang berbahagi makanan yang tidak seberapa. 

Antara kelima-lima anak itu, salah seorang daripadanya benar-benar menarik perhatian ibuku. Penampilannya jauh berbeza daripada yang lain. Kesemua empat beradik selainnya bermata hitam, dan mempunyai ciri-ciri gelandangan bertubuh keras, tetapi anak kecil yang satu itu bertubuh kurus dan sangat cantik. Rambutnya bak emas tulen yang paling menyilaukan, seolah-olah sebuah mahkota di atas kepalanya, meskipun dia berpakaian sangat buruk. Alisnya bersih dan subur, manakala matanya membiru lazuardi. Bibir dan acuan wajahnya mengekspresikan kepekaan dan kemanisan, yang mampu membuatkan setiap orang yang memandang menandai dirinya sebagai makhluk terasing, yang turun dari kayangan dan memperlihatkan ciri-ciri selestial.

Sang isteri, demi melihat mata ibuku terpaku penuh kekaguman pada anak gadis yang manis itu, dengan senang hati segera mengisahkan asal usulnya. Sebetulnya, gadis cilik itu bukanlah anak kepada mereka berdua, tetapi puteri kepada seorang lelaki bangsawan dari Milan. Ibu kandungnya berbangsa Jerman, menghembuskan nafas terakhir sewaktu melahirkannya. Lalu bayi itu diserahkan kepada mereka untuk dijaga — ketika itu kehidupan mereka lebih bagus. Mereka, pada waktu itu, baru sahaja menimang cahaya mata pertama.

Ayah kandungnya berbangsa Itali. Dia tergolong dalam kalangan mereka yang bermegah dengan kegemilangan negaranya yang sudah lama berlalu. Dia menyertai pergerakan yang mengibarkan slogan schiavi ognor frementi, yang berjuang bermati-matian demi kemerdekaan negerinya. Akhirnya dia menjadi mangsa kelemahan pergerakan tersebut. Tiada siapa yang tahu apakah dia sudah mati ataupun masih meringkuk dalam tahanan bawah tanah di Austria. Hartanya disita, dan anaknya diisytiharkan piatu. Namun, anak gadis itu meneruskan hidup bersama kedua-dua ibu bapa angkatnya, mekar di dalam pondok usang laksana sekuntum bunga indah di tengah-tengah semak berduri yang gelap.

Tatkala ayahku pulang dari Milan, dia menemukanku sedang bermain-main di ruang tamu vila kami bersama seorang anak kecil yang lebih cantik daripada kerubin dalam lukisan,  sejenis makhluk yang bersinar, dan gerakan tubuhnya lebih lincah daripada rusa gunung. Demi melihat kecelaruan wajah ayahku, ibuku segera menjelaskan hal sebenar.

Dengan izin ayahku, ibuku berjaya memujuk sang petani dan isterinya agar beralah dan menyerahkan jagaan mereka kepadanya. Ternyata mereka menyayangi anak gadis piatu yang manis itu. Kehadirannya seakan rahmat Tuhan kepada mereka, namun tidak adil bagi mereka menahannya dalam kemiskinan dan kekurangan, sedangkan Tuhan memberi kesempatan kepadanya untuk dipelihara dan dilindungi oleh keluarga yang kaya dan berkuasa. Maka mereka pergi mendapatkan pertimbangan daripada paderi desa, dan hasilnya membawa Elizabeth Lavenza ke rumah orang tuaku sebagai penghuni baru. Dia menjadi seorang yang lebih daripada sekadar adik kepadaku — teman yang cantik dan disayangi, yang selalu menyertaiku pada setiap kesempatan.

Setiap orang menyayangi Elizabeth. Meskipun berkongsi semua perhatian dan kasih sayang yang tertumpah dengannya, aku tetap berasa tenang dan bangga. Pada waktu petang sehari sebelum anak gadis itu tiba, secara berseloroh ibuku berkata, “Ibu ada hadiah yang sangat cantik untukmu, Victor, dan esok kau akan berolehnya.”

Keesokan hari, ibuku menyerahkan Elizabeth kepadaku sebagai hadiah seperti yang dijanjikan, dan aku, dengan kesungguhan seorang kanak-kanak, menafsirkan kata-katanya secara harafiah. Aku menjaga Elizabeth seperti aku menjaga diriku sendiri, seseorang yang perlu dilindungi, dicintai, dan dimanjakan. Segenap pujian untuk Elizabeth kuanggap pujian juga untukku.

Kami saling menggelarkan diri kami sepupu. Tiada perkataan, bahkan tiada pernyataan apa pun yang dapat menerangkan dengan tepat pertaliannya denganku. Dia bukan sekadar adikku, kerana hingga akhir hayatnya, dia hidup hanya untuk menjadi milikku.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024