Buku

Kesatria

oleh Ahmad Patria

RM 28.00 / RM 31.00Sabah/Sarawak
Beli Versi Cetak
Bookcafe Shopee Lazada
Beli Versi Ebook
 

ISBN: 978-967-369-373-3

Muka Surat: 528

Saiz: 4.5x7.25

Tarikh Terbit: 24 Apr 2017

Imprint: Penerbit-X

Nashan.

Kota legenda yang diperintah oleh Melyn ien Sarra iea Nashrain, puteri kesuma dan Aristokra, yang kini terancam dalam pertempuran menentang gerombolan reneger Sursis, pahlawan adi yang tidak mempunyai tandingan di medan perang. Keperwiraan tentera kota yang dipimpin oleh Mori, kesatria dari Armorikus, serta Shirgen, pembesar kanan Nashan, bakal bersinar dalam sejarah, menjadi babad kepahlawanan terulung.

Namun Sursis terlalu gagah, seperti tidak terkalahkan dalam pertempuran. Maka harapan terakhir Melyn dan seluruh Nashan terletak pada Spiara Bulwar, senjata sakti yang telah menumbangkan naga serta monstra.

Maka percaturan Merkia, magia adi dan wizra tertinggi seluruh Imagina, menjadi kunci kepada segala-galanya.

Bermula seratus tahun sebelum itu, dengan keikhlasan Shilrung, Aristokra pertama Nashan, yang telah mengubah landskap kekuasaan Kushan. Juga dengan kebangkitan Izîl, putera Nomad dari kabilah Tamarazigh, yang satu hari nanti akan bergelar kizar segala kizar. Sejarah mereka bakal menerbitkan legenda baharu, seorang pemuda dari kelana Armorikus yang selamanya terkenal dengan hanya satu gelaran…

Kesatria.

Maka demikian penceritaan Mori tentang pertarungan antara Artakus dan Esis. Dan aku mendengar setiap patah dengan teliti, terpesona dengan pengucapannya di hujung senja merah yang damai itu. Seakan pestaka, bicara kesatria Armorikus itu memukau, kerana pernyataannya penuh ikhlas. Dia menceritakannya kepada kami seperti mengulas dari tepi gelanggang, setiap tikaman dan tangkisan, segala semu serta muslihat dua pahlawan terbilang. Dan aku serta Shirgen seakan berada di situ bersamanya menyaksikan kehebatan Artakus, yang bakal menjadi Lodra Perang Aurora, juga Esis, yang kemudian menjadi panglimanya. Tersurat, pada awalnya, buat Shirgen, yang ingin mempelajari seni tempur itu daripada kesatria tersebut.

Namun, aku mengerti pengucapan Mori hanya sebahagi.

Maka tersembunyi dua bahagi, yang tersirat. Lalu kubaca kesemuanya, dalam jelingan kesatria itu, yang apabila sunyi, lekas ke wajahku. Dan apabila mata kami bertemu, lekas pula menyisi, seperti melindungi makhfi. Namun suara hatinya tetap kudengar, dalam pengucapannya. Bergetar, lalu tersentuh ke sukma.

Maka secara perlahan, saat itu menjadi indah dalam ingatanku.

Terkesan, pengucapan Mori terus ke hati. Dan tanpa kupinta, penceritaannya berpindah, daripada Shirgen kepadaku. Berubah wajah, menjadi suatu anugerah, kata-katanya seperti hanya untukku. Tersangat halus, maka Shirgen tidak mengetahuinya. Dan kutahu, Mori berusaha menyisihkannya, mahu memendamkannya daripadaku. Namun dia tidak dapat menyembunyikannya, sinar hati yang paling dalam itu.

Maka Mori seolah-olah berbicara kepadaku tanpa Shirgen. Dan meskipun lodra Nashan itu turut bersama, namun terasa seperti hanya kami berdua di penghujung senja itu. Sesuatu yang tulus, antara dua hati. Lalu pengucapan kesatria itu tersambung kepada jalinan peristiwa yang akhirnya membawa Mori kepada kami, bermula dengan dilema kelana Armorikus, kemudian pertarungan antara Artakus dan Esis, serta peristiwa kedatangan pahlawan Saga Artakusiad tersebut. Dan aku menemani Mori dalam perjalanan itu, mengiringi setiap langkahnya, namun memperhalusi segalanya dengan naluri hati seorang perempuan.

Maka kubaca, segala yang tersirat. Dan hatiku berdebar, kerana segala-galanya semakin terang, pengucapan sebenar Mori tanpa bahasa. Namun hatiku mendiam, kerana meskipun tersampai, terasa semakin berjurang.

Aku adalah Aristokra Nashan.

Dan pesanan Ayah yang paling akhir tetap mengikat perasaanku.

Hatiku sudah terkunci.

Dan hanya Tintanir Haninae bisa meleraikan ikatan itu.

Maka resam sukmaku laksana adat merpati, menjauh apabila didekati. Selalu, senantiasa, begitu. Demikian Tintanir Haninae membayangi diriku, selamanya terkunci perasaanku kerana pesanan terakhir Ayah.

Lalu aku tunduk, apabila bicara Mori sampai ke penghujung. Selamanya daku akan mengingati keindahan saat itu, menggenggamnya dalam hati. Namun aku tidak mungkin mengungkapkan balasan, meskipun pengertian Mori terang.

Siapakah yang bisa mengucapkannya, hati seorang perempuan?

Bukan aku, walaupun terjunjung selaku Aristokra seluruh Nashan, sion terakhir huis Nashrain.

Maka pada penghujungnya suasana antara kami menjadi suram, seperti bayang-bayang malam yang turun perlahan dari langit tinggi, menyelubungi kesudahan kisah Mori. Menutup jua, debaran antara kami. Dan kesatria Armorikus itu seperti memahami perasaanku, mengukir senyum yang penuh sunyi, ucapan perpisahannya buat Shirgen, namun jelingannya padaku. Tenang, tanpa emosi seperti selalu, mengakui jurang antara kami.

Kembali, menjadi kesatria Armorikus yang kukenal.

Dan kini pesanan Mori yang terakhir kepada Shirgen, pada senja merah yang sudah menjauh itu, kembali kedengaran dalam hatiku apabila menyaksikan lodra Nashan tersebut menemui adikung Sursis yang kelima dengan shihil dan skirita di medan perang yang semakin merah dengan korban.

Awasi lawan yang bersenjatakan pedang kembar, kerana serangan susulannya lebih pantas.

Dan kini kata-kata Mori menjadi kenyataan.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024