Puteri Naga Tiberius
oleh Sri Rahayu Mohd Yusop


Versi Cetak

RM25

Beli Online

Boleh juga dibeli di Kedai Buku PTS

Sabah/Sarawak: RM 28
Format: Paperback
Saiz: 4.5"x7.25"

ISBN-13: 978-967-369-366-5

Tarikh Terbit: 27 Mar 2017

Jumlah Muka Surat: 400


Versi eBook

RM 9.90

Format: EPUB / PDF
e-ISBN: 978-967-369-369-6
Tarikh Terbit: 28 Mar 2017


500 tahun berlalu semenjak bahtera Tiberius tiba di Benua Semilir. Persahabatan antara Maharaja Tiberius dan naga-naga Benua Semilir telah lama dilupakan. Kini, Kerajaan Tiberius sedang mengalami kacau-bilau akibat perbuatan khianat dan kelemahan pemerintahan.

Basilius, sang putera mahkota memberontak dengan melarikan diri dari istana. Takdir menemukannya dengan gadis hamba pembuat racun. Tidak dia sedari yang tempatnya di istana diintai oleh bapa saudaranya yang berhati gelap, Raja Angas.

Sula, gadis hamba pembuat racun yang melarikan diri dari rumah tuannya yang kejam Bregheda terheret dalam kancah politik Kerajaan Tiberius apabila Basilius menyelamatkannya daripada ancaman pemburu upahan Bregheda.

Sedang Basilius bergelut dengan intrig yang dirancang oleh Raja Angas, naga-naga Tiberius keluar mengganas, menjadikan semua yang menghuni Hutan Meraung – kaum bunian dan manusia – tahu yang zaman yuda sudah bermula.

Prolog:

Senja sudah lama berlabuh. Cuaca kelihatan tidak berapa baik. Halilintar panah-memanah di Padang Helirium dan dapat disaksikan dari Menara Merbuk Istana Kota Tiber. Seorang lelaki berusia lebih setengah abad menunggang kudanya dengan berhati-hati menuruni lereng-lereng yang berpusing mengelilingi teres-teres Istana Kota Tiber. Destinasinya ialah kandang kuda diraja. Orang yang dicari oleh lelaki tua itu ialah anak muridnya, Putera Mahkota Kerajaan Tiber yang dia khuatiri sedang cuba melarikan diri dari istana. Apabila ternampak kelibat orang yang dicarinya, Mebrune segera bertindak.

“Tunggu!” Mebrune berkata dengan suara yang ditahan-tahan bagi mengelakkan kekecohan di tengah malam. Seorang lelaki berpakaian serba hitam yang sedang berada di kandang kuda diraja berpaling ke arahnya. Lelaki itu menjatuhkan kerudung yang melindungi kepalanya. Basilius! Lelaki berusia enam belas kali musim salji itu mempunyai tubuh yang tinggi, bak tombak cogan kuasa raja. Bahunya lebar seperti perisai dan lurus seperti anak panah.

“Bagaimana tuan guru boleh menjumpai beta?” Putera Basilius bertanya. Dia terkejut melihat Tuan Guru Mebrune mengetahui yang dia akan meninggalkan istana dalam masa yang begitu singkat.

“Seorang lelaki yang wajahnya benar-benar menyerupai tuanku datang ke perpustakaan dan dia hanya duduk di situ. Dia tidak membaca dan dia tidak bercakap. Kemudian patik sedar yang lelaki itu bukan tuanku, dan patik membuat tekaan yang tuanku memerintahkannya supaya menyerupai tuanku. Lelaki itu adalah Hura, mimik tuanku. Lalu patik berkejar ke sini. Patik dapat mengagak yang tuanku tidak akan meninggalkan istana tanpa kuda tuanku.”

“Beta tetap akan pergi dari sini, tuan guru.”

“Tapi, kenapa? Setelah semua yang tuanku pelajari tentang tempat tuanku di atas takhta Kerajaan Tiber?”

“Semua ini adalah pembohongan. Beta bukanlah putera mahkota yang sebenar. Sepanjang hidup beta belajar seni bersenjata dan tempur, tawarikh, kesenian, tatacara perhubungan, adalah hanya untuk menjadi hamba kepada Kerajaan Tiber sedangkan sepatutnya beta boleh berada di luar sana, melakukan apa yang beta suka, pergi ke mana sahaja yang beta mahu. Beta tak mahu menjadi raja. Beta tak layak.”

“Tuanku adalah satu-satunya waris Kerajaan Tiber. Pemergian tuanku hanya akan menimbulkan masalah.”

“Tuan guru, raja Tiber yang keenam, Rutanium mempunyai seorang anak perempuan yang sepatutnya menjadi pemerintah selepasnya. Keturunan Ursulina adalah waris Tiber yang asli. Beta hanya datang daripada keturunan Orelius, adinda Rutanium yang menggantikan Ursulina. Waris sebenar Kerajaan Tiber ada di luar sana, tapi bukan beta. Beta tak mahu takhta Kerajaan Tiber.”

“Tuanku, Ursulina melepaskan takhta dengan kehendaknya sendiri. Orelius adalah raja yang sah ditabalkan oleh Rutanium. Maka keturunannya, termasuk tuanku adalah waris Tiber yang sah.”

“Mengapa bukan bapa saudara beta, Raja Angalinus saja yang menjadi raja Tiberius selepas ayahanda beta?” tanya Putera Basilius.

“Angalinus? Tidak! Minta dijauhkan! Lagipun Angalinus sudah mempunyai takhtanya sendiri,” Mebrune menjawab.

“Selamat tinggal, tuan guru. Dinding istana kota ini tak akan dapat memenjarakan beta.”

“Tuanku jangan terlalu mengikut perasaan. Mari ikut patik masuk ke dalam.”

“Tuan guru sudah bersumpah setia kepada beta. Beta mengamanahkan tuan guru tidak membocorkan rahsia beta. Jika tidak, buruk padahnya,” putera raja itu berkata, memperlekehkan tradisi janji dan sumpah yang diwarisinya dengan menggunakannya dengan sewenang-wenangnya. Mebrune mengeluh mengenangkan betapa banyak lagi perkara yang perlu dipelajari oleh Basilius sebelum putera itu keluar mengembara.

“Bila tuanku akan pulang? Tuanku tak boleh berada di luar sana selama-lamanya. Ayahanda tuanku akan tahu juga akhirnya.”

“Ayahanda beta? Raja Galodius tak peduli tentang beta. Sudah beberapa bulan beta tak bercakap dengannya. Begitu juga dengan bonda beta. Mereka tak akan tahu selagi Hura menyamar sebagai beta.”

“Tuanku tahu yang itu tidak benar. Bagaimana pula dengan sambutan keputeraan tuanku nanti?”

“Beta akan pulang untuk sambutan keputeraan beta.”

“Bagaimana patik boleh pastikan perkara ini?”

“Beta akan pulang untuk laksanakan apa yang dilakukan oleh Ursulina. Beta akan lepaskan gelaran putera mahkota pada sambutan hari lahir beta.”

“Oh.”

“Hura, kamu di sini,” Putera Basilius berkata kepada seseorang yang baru sahaja masuk ke dalam kandang kuda diraja. Sekali lagi, Tuan Guru Mebrune berhadapan dengan Hura. Wajahnya memang benar-benar seiras dengan Putera Basilius.

“Apa yang dia buat di sini?”

“Putera Basilius akan berjalan ke pintu Istana Kota Tiber dan mengucapkan selamat jalan kepada rakannya yang datang melawat siang tadi.” Putera Basilius menepuk bahu Hura yang lengkap dengan pakaian lazim Basilius di waktu santai. Sehelai tunik putih, ves kulit dan bercelana panjang.

“Hura, beta memerintahkanmu menyamar sebagai beta yang menghantar kawannya keluar dari istana. Selepas itu, kamu mesti mengambil tempat beta di istana,” perintah Putera Basilius.

“Bijak,” Mebrune mengeluh.

“Selamat tinggal, Mebrune.”

Tuan Guru Mebrune tidak berkata apa-apa. Dia hanya melihat Putera Basilius meninggalkan kandang kuda diraja bersama Hura, hamba seumur hidup atau mimik putera mahkota itu. Barulah Mebrune tahu yang seorang mimik mempunyai kebolehan menyerupai tuannya jika dia diperintahkan berbuat demikian.

“Patik beri tuanku satu hari dan satu malam, sebelum tuanku kembali ke istana dengan tangisan,” Tuan Guru Mebrune berkata. Dia telah mengetahui semuanya tentang pemberontakan anak-anak raja. Dia tahu pemberontakan seorang budak lelaki enam belas tahun, yang hidup terkurung dalam istana, dan terpaksa menghabiskan masanya belajar segala tanggungjawab seorang raja. Mebrune juga tahu yang lambat laun Basilius pasti akan keluar dari istana tanpa kebenaran. Putera Basilius tidak berkata apa-apa, sebaliknya mempamerkan wajah sedih dan menentang.

Ini adalah cerita yang terjadi di Benua Semilir, iaitu cerita Daerah Menaga, daerah tepi laut, di mana Tiberius telah turun dari bahteranya yang pertama daripada empat bahtera, dan membina kerajaannya di situ. Hampir lima ratus tahun telah berlalu dari zaman Tiberius, dan kini keadaan sudah berubah. Sebagaimana yang diketahui oleh umat manusia bahawa yang kekal hanyalah perubahan.

Demikianlah Mebrune mengatur perkataan-perkataan untuk dicatatkan dalam tawarikh Kerajaan Tiber.

Buku Berkaitan


Berita

Puteri Naga Tiberius Tiba-Tiba Jadi Bualan Hangat Antara Penulis Sai-Fai, Fantasi
ditulis oleh Asri Yussof

Puteri Naga Tiberius yang baru sahaja diterbitkan pada 27 Mac 2017 lalu sudah menjadi bualan hangat... Selanjutnya»

Bookcafe Menerima Pembayaran Menggunakan Kad Diskaun Siswa 1 Malaysia (KADS1M)
ditulis oleh Bookcafe.com.my

Sukacita dimaklumkan Bookcafe.com.my kini menerima pembayaran menggunakan Kad Diskaun Siswa 1... Selanjutnya»


Errata