Bagaimana Akhirnya Saya Bertudung - Noor Kumalasari

oleh Roziyah Mahamad • 21 Feb 2011 12:34 PM

Profesion saya sekarang adalah pengurus rumah tangga. Dahulu saya penghibur, artis, penyanyi, bintang filem, pelakon drama televisyen dan pragawati. Saya bersekolah di Singapura kemudian di Happy Garden, Petaling Jaya sehingga tingkatan lima aliran Perdagangan.

Saya mula bertudung pada usia 40 tahun. Bagi saya kehidupan sebenar bermula pada usia 40 tahun. Saya sentiasa bertudung walaupun di dapur! Inilah yang sebenarnya, bukan lakonan lagi. Sungguh menakjubkan bagaimana kita mendapat ketenangan hanya dengan mematuhi perintah Tuhan. Tidak perlu berdalih-dalih lagi. Faktor yang mempengaruhi keputusan saya supaya bertudung adalah sebuah hadis yang mengatakan bagi setiap helai rambut yang terdedah kita akan diseksa selama 60 tahun di dalam neraka. Walaupun saya maklum ini hadis daif tetapi ia menjadi perangsang kepada saya. Pastinya sumber yang pertama adalah daripada ayat 31 surah an-Nur yang diterangkan oleh suami saya. Memandangkan ini perintah Tuhan, siapalah kita hendak menyangkalnya.

Suami saya menasihatkan saya supaya menetapkan tarikh untuk bertudung. Katanya, "Awak yang tentukan bila, tapi pohonlah kepada Tuhan semoga dipanjangkan usia sehingga tarikh itu." Saya memilih saat pulang daripada mengerjakan haji tahun 1997. Saya bersyukur kepada Tuhan yang mengurniakan kesihatan bagi saya mengerjakan umrah pada tahun 1994 dan seterusnya haji di mana sata terpaksa meninggalkan anak keempat saya yang baru berusia enam bulan. Pada masa itu, semuanya berlaku dengan pantas, ayah saya meninggal dunia di Mekah pada tahun sebelumnya.

Oleh kerana saya dikenali sebagai seorang yang sentiasa bergaya dan seorang artis yang sentiasa berani mencuba gaya baru, tidak ramai yang mengendahkan perubahan itu. Lagipun kami mula kurang menghadiri majlis-majlis, tidak seperti sebelumnya. Jadi tidak ramai yang sedar perubahan ini. Saya jauhi publisiti. Saya jalani kehidupan penuh glamor dulu. Cukuplah. Tidak perlu kita mengulangi cara hidup seperti itu lagi. Ada juga yang menganggap perubahan itu disebabkan kami baru balik daripada umrah dan itulah alasannya.

Keputusan saya bertudung menerima maklum balas yang negetif, kecuali daripada suami saya. Semua yang lain menganggap saya dipaksa oleh suami saya. Jauh sama sekali! Cara suami saya mengajarkan saya mengenai Islam membuat saya bertambah-tambah cinta kepada Tuhan. Jika dia memaksa saya membuat sesuatu, mungkin saya akan buat juga tetapi perasaan cinta tentu tidak ada.

Bukan sahaja saya bertudung malah saya perlu berpakaian seperti yang dituntut oleh Tuhan. Bajunya mesti longgar, daripada kain berwarna yang tidak jarang akhirnya muncullah fesyen yang menjadi identiti saya jubah hitam dengan tudung hitam lebar seperti dipakai wanita Arab. Kadangkala saya menambah lagi dengan mengenakan abaya pula. Mestilah berani untuk lain daripada yang lain. Memang dari dulu lagi saya terkenal dengan selalu berpakaian hitam. Jadi saya lakukan semua ini kerana Tuhan, di samping rasa gembira apabila melakukannya.

Dipetik daripada buku Bagaimana Akhirnya Saya Bertudung. Ikuti keseluruhan kisah Puan Noor Kumalasari dalam buku Bagaimana Akhirnya Saya Bertudung hasil susunan Ir. Endok Sempo Mohd. Tahir

Commenting is not available in this weblog entry.
Artikel popular