Artikel

Apa Yang Anda Perlu Tahu Pasca BREXIT dan Pilihanraya United Kingdom Baru-Baru Ini

oleh Hafiz Hafifi Hassan pada 19 Jun 2017

Ketika keputusan referendum European Union (EU) keluar, ramai anak muda di United Kingdom (UK) mengeluh dan kecewa dengan hasil undian tersebut. UK keluar daripada EU dan anak mudalah yang akan menanggung kesannya dalam tempoh jangka masa panjang.

Manakala golongan tua yang bersifat ‘nasionalis’ UK, anti imigran dan yang bersungguh mahu menjaga ‘kepentingan’ UK berpuas hati dengan hasil referendum tersebut. Perjuangan sekian lama hendak menyelamatkan UK telah tercapai dan bagi mereka (golongan tua) akhirnya UK akan kembali berdaulat sendirian tanpa menyertai EU.

brexit

Kesungguhan hendak keluar daripada EU (dahulunya EC, European Communities) bukanlah baru bahkan sejak awal lagi. UK menyertai EC sekitar 1973 kemudian pada 1975 sudah ada referendum samada untuk kekal atau keluar daripada EC.

Hampir setiap sela dekad bermula 70an sehinnga 90an ada sahaja usaha mengadvokasi rakyat untuk keluar daripada EU. Antara yang paling kuat adalah kelompok kesatuan pekerja (trade union).

Kemasukan UK ke EU membuatkan pasaran kerja semakin terbuka dan saingan dengan warga lokal semakin sengit. Dahulunya warga UK perlu bersaing sesama sendiri, kemudian terpaksa bersaing dengan kemasukan rakyat negara lain yang juga ahli EU, bebas bergerak dan berkerja dalam negara-negara EU. Mana-mana negara pun akan mengalami kesan sebegini.

Kita andaikan ASEAN berfungsi seperti EU maka mana-mana negara pun akan mengalami kesan yang sama seperti UK (dan mana-mana negara dalam EU sekalipun).

Misalnya, rakyat Malaysia bebas bekerja di mana-mana negara ASEAN tanpa permit, bebas bergerak tanpa sekatan imigresen yang ketat, membeli kediaman dan menetap di mana-mana dalam negara kesatuan bahkan berkahwin seperti European citizen & British Citizen. Hendak melancong pun senang, borderless travel.

Namun kesan negatifnya, tiada lagi hak ekslusif dan persaingan semakin sengit. Atau dengan bahasa mudah: perniagaan dan ekonomi diragut oleh warga serantau bukan lagi dikuasai sepenuhnya warga lokal.

Namun, dalam tempoh jangka panjang. Kesan EU telah mengambil alih terhadap landskap UK, butang reset seperti BREXIT sebenarnya membawa lebih banyak malapetaka kepada golongan muda yang sudah terbiasa dan bersedia untuk berhadapan dengan suasana EU.

UK

Bagi golongan tua, BREXIT adalah jalan mengembalikan UK yang berdaulat dan kukuh sendiri, tetapi bagi golongan muda BREXIT telah mencabut pelbagai keistimewaan dan kebiasaan dalam kehidupan seorang European Citizen.

Walaupun BREXIT ini lebih banyak positifnya kepada golongan muda, namun mereka tiada hak untuk menyalahkan golongan tua yang telah mengundi dan membuat keputusan untuk keluar daripada EU.

Salah golongan muda sendiri yang tidak turun mengundi dan meletakkan nasib mereka ditangan orang tua. Golongan tua hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai rakyat dan menunaikan haknya dalam sebuah proses demokrasi.

uk

Mereka berhak menyatakan pendirian dan kepercayaan mereka dalam referendum tersebut. Orang muda yang galak menentang dan kecewa pula, tidak peduli dan tidak turun mengundi hasil tangan-tangan yang tidak berbuat apa-apa.

Hanya 36% pengundi muda berumur 18-24 tahun yang turun mengundi manakal lagi 64% tidak peduli untuk turun menyatakan pendirian mereka dalam hal BREXIT. Keseluruahnnya, 51.9% bersetuju dengan BREXIT manakala 48.1% tidak bersetuju, hanya perbezaan yang kecil sahaja. Perbezaan antara keduanya sekitar 1,269,501 undi.

Anggaran kepada populasi yang berumur 20-25 tahun pada tahun 2015 di UK  sekitar 3,806,471 dan hanya 492,306 yang daftar mengundi untuk pemilihan tersebut. Bayangkan kalau golongan muda cakna dan peduli sekurang-kurangnya untuk nasib dan masa depan mereka sendiri, hasil kepada referendum BREXIT tidaklah seperti yang diketahui hari ini.

david

Setelah keputusan BREXIT diumumkan, David Cameron meletakkan jawatan sebagai Perdana menteri UK seterusnya diganti oleh Theresa May. Bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai perdana menteri yang baru, awal Jun ini Theresa May membuat snap election supaya beliau mendapat majoriti dan mandat yang lebih besar.

Namun keputusannya tak seperti yang dijangka, sehingga parlimen tergantung. Tiada parti yang berjaya mendapat undian majoriti. Theresa May pernah berkata sebelum pilihanraya bahawa, jika Parti Konservatif kalah 6 kerusi itu sudahpun dikira sebagai kekalahan besar, namun selepas pilihanraya hasilnya? Mereka hilang 13 kerusi, daripada 330 kerusi menjadi 317.

theresa may

Pilihanraya yang sepatutnya menguatkan kuku Theresa May akhirnya bertukar menjadi malapetaka bahkan menumpulkan kuku sedia ada.

Selepas dinilai apa yang berlaku, rupanya anak muda UK mengambil iktibar daripada BREXIT. Mereka turun mengundi dan terpengaruh dengan persona Jeremy Corbyn. Kempen politik Jeremy Corbyn (Labor Party) This election is all about you menarik sokongan orang muda dan juga memberi pilihan alternatif selain daripada agenda Theresa May daripada Parti Konservatif.

jeremy

Kemarahan dan kekecewaan orang muda ketika BREXIT dialihkan sepenuhnya pada pilihanraya umum UK pada awal Jun lalu. Mereka yang kecewa dengan sendiri kerana tidak peduli pada kali pertama (refenderum BREXIT) dan marah kepada golongan tua yang meragut masa depan mereka akhirnya memilih untuk peduli dan ‘membalas dendam’ kali ini.

Landskap politik UK berubah dan figur Jeremy Corbyn menjadi simbol harapan kepada orang muda.

Apa yang kita dapat daripada Jeremy Corbyn dan BREXIT adalah, orang muda punya kuasa untuk merubah negara. Jangan kita menjadi seperti orang muda di UK apabila keputusan referendum BREXIT keluar, meratap dan kecewa akibat ketidakpedulian diri sendiri.

Jadilah seperti anak muda pasca BREXIT, mereka belajar daripada kesilapan dan kekecewaan dan percaya satu undi mereka itu cukup berkuasa untuk menggugat kuasa autoriti.

young UK

Kini disebabkan Parti Konservatif tidak mendapat undian majoriti yang besar maka Theresa May perlu memberi perhatian juga kepada kehendak kelompok yang hampir menumbangkan Parti konservatif dalam perundingan BREXIT akan datang.

Theresa May tidak boleh membuat keputusan sesuka hati dan mengikut kehendak partinya sahaja, kerana mereka bukanlah mewakili sekurang-kurangnya 2/3 rakyat UK

Anak muda Malaysia, sudah daftar mengundi? Jangan lupa betapa mahalnya walaupun satu undi anak muda itu. Kalau bukan anak muda Malaysia yang menentukan nasib negara ini, siapa lagi?

Wallahualam.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024