Artikel

Bagaimanakah Tatabahasa dapat Diajarkan secara Menarik?

oleh Helmi pada 06 Sep 2004

Pendahuluan

Tatabahasa sering dianggap orang sebagai subjek yang kering, membosankan, dan kadangkala menakutkan. Tatabahasa dianggap kering dan membosankan kerana kononnya tatabahasa hanya terdiri daripada rumus-rumus bahasa, sama halnya dengan Matematik.  Bercakap mengenai tatabahasa seolah-olah bererti bercakap mengenai soal salah betul penggunaan bahasa semata-mata. Sekian lama pula telah tertancap pada benak kebanyakan orang bahawa tatabahasa mengekang gaya bahasa dan kreativiti. Persepsi seumpama semua itulah yang kadangkala menjadikan orang takut, malah mungkin benci pula akan tata bahasa. Jika timbul rasa takut dan benci, bagaimanakah tatabahasa dapat menjadi subjek yang menarik di bilik darjah?
Nampaknya tugas pertama saya sebelum memberikan pandangan mengenai kaedah dan teknik pengajaran tatabahasa yang menarik ialah berusaha membetulkan anggapan salah mengenai tatabahasa.  Kata pepatah “Tak kenal maka tak cinta”.  Mudah-mudahan dengan mengenal hakikat tatabahasa, tumbuhlah rasa cinta kepadanya. Teringat pula saya akan satu baris dalam lagu Melayu lama yang berbunyi “Kalau hati sudah suka, semua indah sahaja”. Demikianlah mudah-mudahan tatabahasa akhirnya dapat dilihat sebagai sesuatu yang indah.

Tata Bahasa dan Hakikat Bahasa

Untuk mencapai makrifat bahasa, penting sekali kita mengenal hakikat bahasa. Hakikat bahasa pada asasnya ialah tatabahasa, dengan pengertian yang lebih dasar dan luas daripada sekadar subsistem yang terdiri daripada morfologi dan sintaksis. Tatabahasa yang saya katakan menjadi asas hakikat bahasa ialah suatu bentuk potensi akliah yang dikurniakan Tuhan kepada anak-anak Adam (manusia) sewaktu mereka masih di alam roh, sebelum dilahirkan ke dunia (al-Qur’an, al-A’raf: 172). Oleh Chomsky, potensi yang ternurani atau innate ini disebut tata bahasa sejagat (universal grammar). Potensi ini bukan sahaja dalam bentuk lahiriah yang terdiri daripada fonem, morfem, kata, frasa, klausa, ayat, dan wacana dalam bahasa yang tertentu, tetapi merupakan satu kemampuan akal yang dapat membentuk unsur-unsur bahasa yang disebut tadi dalam satu sistem semantik. 

Potensi yang disebut tatabahasa sejagat inilah yang menjadi asas bagi semua manusia berbahasa dalam bahasa masing-masing melalui proses penyesuaian parameter (lihat Bab 1).  Dengan memahami asal usul bagaimana kita berbahasa, terang pada kita bahawa tatabahasa adalah asas yang memungkinkan kita berbahasa. Adanya tatabahasa sejagat pada manusia inilah yang memungkinkan manusia menjadi kreatif, iaitu dapat menghasilkan unsur-unsur bahasa yang tidak terbatas jumlahnya dengan berdasarkan prinsip-prinsip yang terhad.  Adanya tata bahasa ini jugalah yang memungkinkan bahasa manusia teracu dalam sistem, tidak seperti haiwan yang biarpun mungkin dapat menguasai sejumlah unsur bahasa, misalnya kata-kata melalui latihan intensif tetap tidak mampu menyusun kata-kata itu dalam pola-pola yang bersistem, kreatif, dan berkonteks. 

Daripada tatabahasa sejagat, terbina tatabahasa yang khusus bagi sesuatu bahasa yang tertentu. Maka itu setiap bahasa ada tatabahasanya yang khusus yang perlu dipelajari apabila orang ingin menguasai mana-mana bahasa. Jadi, adanya konsep tatabahasa sejagat tidak bererti hanya ada satu tatabahasa yang sesuai untuk semua bahasa manusia seperti yang disalahfahami oleh setengah-setengah orang. Perihal adanya kepelbagaian bahasa manusia, yang bererti adanya tatabahasa yang berlainan dijelaskan dalam al-Qur’an (surah al-Hujurat, ayat 13 dan surah al-Rum, ayat 22). Oleh itu perlu difahami perbedaan tatabahasa sejagat daripada tatabahasa khusus bagi bahasa yang tertentu.

Hakikat tatabahasa sebagai tunjang bahasa dapat digambarkan dalam hubungannya dengan penguasaan kemahiran-kemahiran berbahasa. Representasi bahasa yang diwakili oleh kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis berasaskan satu kerangka tersembunyi yang menjadi asas pembentukan pola-pola bahasa yang bermakna. Kerangka tersembunyi itu tidak lain daripada tatabahasa. Tanpa kerangka itu, tidak dapat manusia bertutur untuk melahirkan idea dan perasaan kerana kerangka itulah yang menyusun unsur-unsur pertuturan dalam satu sistem yang teratur dan bermakna. Demikian juga, tanpa kerangka itu tidak mungkin berlaku proses pembacaan dan penulisan kerana segala sesuatu tertulis dalam satu sistem yang menimbulkan makna dan si pembaca perlu memiliki keupayaan menguasai sistem itu. Orang yang hendak menulis pula perlu mempunyai skema sistem itu dan menerjemahkannya dalam bentuk-bentuk bahasa yang bermakna. Sesuai kiranya saya sisipkan di sini konsep tatabahasa (gramatikos) yang ditakrifkan oleh ahli-ahli falsafah Yunani sebagai “seni membaca dan menulis”, yang dengan jelas menunjukkan peranan tatabahasa.

Demikianlah selayang pandang penjelasan mengenai hakikat tatabahasa. Dengan bertitik tolak daripada hakikat tatabahasa, yang ternyata bukan sekadar sehimpunan rumus atau aturan bahasa menurut pengertian yang sempit, baharulah sesuai kita bincangkan soal menjadikan tatabahasa sebagai sesuatu yang penting dan menarik untuk diajarkan (oleh guru) dan dipelajari (oleh murid atau pelajar). 


Pengajaran Tata Bahasa: Penyataan Fenomena

Tata bahasa memang kelihatan kering dan membosankan, baik kepada guru mahupun murid, jika diajarkan hanya sebagai aturan-aturan, secara didaktik pula. Memang tujuan pokok kita mengajarkan tatabahasa ialah supaya murid menguasai sistem bahasa selanjutnya memanfaatkan penguasaan sistem bahasa itu bagi tujuan-tujuan yang fungsional, seperti pemerolehan ilmu, penghayatan nilai-nilai masyarakat, dan berinteraksi dengan baik dalam masyarakat. Jadi, terang bahawa pengajaran tatabahasa ialah prasyarat untuk komunikasi yang berkesan dan juga bagi tujuan pembinaan diri, terutama melalui pemerolehan ilmu. Pengajaran tatabahasa tidak patut bernoktah dengan pendedahan sistem semata-mata. Sebaliknya pengajaran tatabahasa hendaklah dihubungkan secara langsung dengan aspek-aspek fungsionalnya.
 
Telah dibahaskan dengan panjang lebar oleh ahli-ahli pendidikan bahasa soal tujuan pengajaran bahasa, termasuk tata bahasa. Sekurang-kurangnya ada empat mazhab yang dominan dalam hal ini. Yang pertama ialah mazhab tradisionalis yang menekankan penguasaan rumus-rumus tata bahasa. Yang kedua ialah mazhab strukturalis behavioris yang menekankan pembentukan kebiasaan berbahasa sebagaimana yang berlaku dalam masyarakat. Yang ketiga pula ialah mazhab rasionalis yang menekankan keupayaan bahasa sebagai lawan pelaksanaan bahasa (bentuk unggul bahasa lawan realiti penggunaannya). Yang terakhir ialah mazhab fungsionalis yang menitikberatkan fungsi bahasa dalam komunikasi sosial. Keempat-empat mazhab itu mewakili pandangan dan sikap yang ekstrem sehingga menimbulkan salah faham tentang tujuan pengajaran bahasa. Tiga mazhab yang pertama dilabelkan oleh mazhab keempat sebagai “model pengajaran kemahiran” kerana menekankan penguasaan sistem bahasa. Sebaliknya mazhab keempat yang mengemukakan “model pengajaran alamiah” terlalu cenderung pada aspek praktis sehingga agak mengabaikan penguasaan sistem pula. 

Dua konsep lain yang turut mempengaruhi gaya pengajaran bahasa, termasuk tatabahasa ialah “keupayaan linguistik” dan “keupayaan komunikatif”. Ahli-ahli pedagogi yang memberikan perhatian berat kepada penguasaan sistem bahasa kurang atau sama sekali mengabaikan aspek komunikatif bahasa. Dalam hal pengajaran tata bahasa, penekanan kepada penguasaan rumus-rumus tatabahasa menjadikan guru alpa menerapkannya dalam konteks penggunaan yang wajar dan sesuai. Yang taksub kepada penguasaan aspek komunikatif bahasa pula memandang remeh akan ketepatan bahasa daripada segi rumus tata bahasa. Kesannya ialah bahawa yang pertama gagal atau kurang berjaya menjadikan tata bahasa sesuatu yang bermakna dalam kehidupan murid. Yang kedua pula mungkin menarik kerana mengaitkan bahasa dengan kehidupan sehari-hari tetapi gagal melahirkan murid yang berdisiplin daripada segi penggunaan bahasa yang gramatis dan bersistem. 

Impian kita kini ialah menciptakan dan menemukan kaedah pengajaran tata bahasa yang dapat mengukuhkan keterampilan bahasa murid daripada segi sistem bahasa dan juga daripada segi pragmatiknya. Murid yang patut kita bentuk ialah yang menguasai rumus-rumus tatabahasa secara sedar dan sekali gus dapat menggunakannya untuk komunikasi dengan pengertian yang luas, bukan sekadar komunikasi biasa yang ditandai oleh laras “bahasa terhad” (restricted code) bahkan untuk komunikasi canggih yang ditandai oleh laras “bahasa terbina” (elaborated code). Dalam konteks memenuhi peranan bahasa sebagai wahana pembinaan tamadun, ketrampilan bahasa yang sewajarnya dimiliki ialah yang dapat memenuhi keperluan aras yang dapat menjadi wadah pemikiran, ilmu, dan budaya tinggi.

Strategi Pengajaran Tatabahasa
Selaras dengan konsep pendidikan bersepadu yang diamalkan di negara ini sejak tahun 1988, maka pengajaran bahasa pun tidak boleh lagi diajarkan menurut cara lama yang memisah-misahkan aspek-aspek yang diajarkan, misalnya antara satu kemahiran dengan kemahiran yang lain, antara kemahiran dengan sistem bahasa dan sebaliknya, serta antara kemahiran dan sistem bahasa dengan isi bahasa, terutama ilmu dan nilai.

Strategi pengajaran bahasa Melayu menurut pendekatan bersepadu berasas pada strategi 2P, iaitu penggabungjalinan dan penyerapan. Penggabungjalinan yang asasnya telah bermula pada lewat 1970-an melibatkan:
a. Penggabungjalinan antara empat kemahiran bahasa, iaitu mendengar, bertutur, membaca, dan menulis dengan sekurang-kurangnya dua kemahiran digabungjalinkan.
b. Penggabungjalinan antara kemahiran bahasa dengan sistem bahasa (terutama tata bahasa) dan sebaliknya.
c. Penggabungjalinan antara peribahasa dengan kemahiran bahasa.

Dalam konteks pengajaran tatabahasa, penggabungjalinan yang berkaitan ialah penggabungjalinan (b) di atas.  Secara ringkas, pengajaran tatabahasa tidak boleh dipisahkan sama sekali daripada kemahiran. Apabila tatabahasa diajarkan secara gabung jalin dengan kemahiran, maka dapatlah dielakkan pengajaran yang tertumpu semata-mata pada rumus-rumus tatabahasa sehingga menimbulkan kebosanan.  Tata bahasa dapat diajarkan bersama-sama dengan aktiviti mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Selain tidak membosankan, dapat pula murid memahami penggunaan tata bahasa secara fungsional dan dalam konteks yang sesuai dan wajar. Hal ini dibincangkan lebih lanjut dalam pembicaraan tentang pengajaran tatabahasa terancang. 

Strategi penyerapan pula berkaitan dengan gagasan menyepadukan aspek sistem bahasa dan kemahiran bahasa dengan kandungan bahasa. Dengan perkataan lain, pendidikan bahasa di samping menitikberatkan penguasaan tata bahasa serta aspek-aspek sistem bahasa yang lain dan juga penguasaan empat kemahiran bahasa (mendengar, bertutur, membaca, dan menulis), perlu turut menekankan aspek kandungan bahasa.

Secara kasar, yang dimaksudkan kandungan bahasa ialah segala maklumat mengenai kehidupan manusia yang dipelajari dan diwarisi melalui perantaraan bahasa. Dalam konteks pendidikan bahasa di negara kita, penyerapan melibatkan dua aspek utama, iaitu ilmu dan nilai. Secara lebih terperinci, ilmu dipecahkan kepada beberapa aspek lagi, iaitu kandungan mata-mata pelajaran lain, sains dan teknologi, bahasa dan sastera, budaya dan warisan. Selain itu terdapat pula isu dan hal masyarakat dan negara, serta isu dan hal ehwal antara bangsa. Nilai-nilai murni pula dibahagikan kepada 16 nilai utama dengan pecahan-pecahannya. Di samping itu perlu diserapkan juga unsur kewarganegaraan. 

Dengan berdasarkan strategi 2P itu, saya yakin bahawa pengajaran tatabahasa dapat menjadi sesuatu yang menimbulkan minat guru dan murid, menjadi sesuatu yang betul-betul bererti, dan sekali gus dapat menghakis anggapan salah bahawa tatabahasa merupakan bidang yang kering dan tidak lebih daripada sehimpunan rumus. Melalui strategi penggabung-jalinan murid diasuhkan menguasai tatabahasa sambil melakukan aktiviti-aktiviti yang bermakna dalam kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis.  Melalui strategi, penyerapan pula, murid dituntun menguasai tata bahasa dalam konteks yang bermakna, iaitu sambil mempelajari beraneka maklumat ilmu, hal ehwal semasa, kegiatan masa lapang, dan nilai-nilai murni. Dengan demikian, tatabahasa tidak menjadi unsur yang terasing daripada kehidupan sehingga fahamlah murid mengapa ia perlu mempelajari tatabahasa dan fahamlah juga guru mengapa ia perlu mengajarkan tatabahasa. 

Daripada segi pelaksanaannya, pendekatan bersepadu dalam pengajaran tata bahasa memerlukan perhatian yang sungguh-sungguh daripada segi perancangan dan pengajarannya di bilik darjah. 

Perancangan

Aspek perancangan yang pertama melibatkan usaha mengenal pasti unsur-unsur tatabahasa yang perlu diajarkan sepanjang tahun, dengan berdasar pada Risalah Panduan Pemeringkatan dan Perincian Tatabahasa untuk peringkat sekolah menengah yang diterbitkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum.  Selanjutnya unsur-unsur tatabahasa itu perlu dimasukkan dalam perancangan tahunan, penggal, mingguan, dan akhirnya harian. Kesesuaian unsur tatabahasa tertentu dimasukkan dalam kelompok kemahiran-kemahiran (kecekapan-kecekapan di bawah setiap kemahiran) bergantung pada beberapa pertimbangan, iaitu mudah sukarnya dan relevannya dengan bahan pengajaran.

Aspek lain yang perlu diberi perhatian ialah pemilihan bahan pengajaran. Bahan pengajaran yang dimaksudkan ialah yang dapat digunakan untuk menyampaikan maklumat tentang unsur atau unsur-unsur tata bahasa yang hendak diajarkan. “Bahan” di sini tidak patut disalahertikan sebagai perincian unsur tatabahasa, misalnya bentuk-bentuk kata ganda berserta huraian makna dan contohnya untuk unsur “kata ganda” yang menjadi fokus pengajaran. Bahan yang dimaksudkan ialah wadah penggunaan bahasa yang hendak diajarkan, atau bahan yang dapat dijadikan asas untuk mencungkil atau meramalkan unsur-unsur tata bahasa tertentu. Bahan yang menjadi wadah bahasa ialah pelbagai bentuk wacana, sementara yang dapat menjadi asas mencungkil unsur tata bahasa ialah ilustrasi. Dengan perkataan lain, dapatlah kita katakan bahan itu sebagai “bahan rangsangan”. 

Beberapa pertimbangan dalam pemilihan bahan untuk pengajaran tata bahasa ialah:
a. Memanfaatkan pelbagai bentuk bahan seperti prosa, puisi dan bahan grafik, sesuai dengan kepelbagaian konteks penggunaan tatabahasa.
b. Bahan hendaklah meliputi pelbagai bidang ilmu dan maklumat yang sesuai, selaras dengan konsep penyerapan ilmu.
c. Bahan hendaklah berisi nilai atau nilai-nilai murni, selaras dengan gagasan penyerapan nilai.
d. Bahan sedapat-dapatnya hendaklah autentik, seperti brosur iklan, berita, borang, risalah, dan sebagainya.
e. Bahan yang dipilih mestilah bermutu bahasanya, kecuali untuk tujuan analisis kesilapan.
f. Bahan hendaklah dapat menarik minat murid.

Dengan adanya bahan rangsangan, dapatlah murid diajar tentang tata bahasa dalam konteks, sama ada konteks ilmu, laras bahasa, mahupun jenis-jenis wacana. Maksudnya, murid tidak mempelajari tatabahasa tanpa latar. Guru pula dapat memanfaatkan bahan untuk memberikan contoh unsur tatabahasa yang ada unsur ilmu dan nilainya. Demikian juga, guru dapat membina latihan daripada bahan tersebut. Apabila pengajaran guru, termasuk contoh dan latihannya berdasar pada bahan yang terpilih, maka terlaksanalah pengajaran yang berdasarkan tema.

Pengajaran
Pengajaran tatabahasa di bilik darjah melibatkan pemilihan aktiviti yang sesuai dan menarik. Pendekatan deduktif yang dilaksanakan dalam bentuk penerangan rumus tampaknya tidak sesuai untuk pengajaran tatabahasa di peringkat sekolah.  Antara aktiviti yang dapat menimbulkan minat murid termasuklah:
a. Kegiatan penemuan – murid mengesan unsur atau unsur-unsur tata bahasa tertentu dalam pelbagai wacana seperti dialog, cerpen, rencana, puisi, iklan dan sebagainya.
b. Kegiatan berdialog dan berlakon – murid menggunakan pola-pola tertentu yang sesuai, seperti jenis ayat (ayat tanya, ayat penyata, ayat seruan, ayat permintaan) atau kata-kata tanya, kata silaan, kata seru, dan sebagainya.
c. Kegiatan mencungkil unsur bahasa daripada visual – murid menamakan objek atau peristiwa, menyatakan sifat atau keadaan, membina ayat daripada bahan tersebut, dan sebagainya. 
d. Kegiatan berpuisi, bernyanyi, dan bercerita – murid menghayati unsur-unsur bahasa dalam bahan dan boleh juga menghasilkan puisi, seni kata, dan cerita.
e. Kegiatan pentomim – murid mengagak nama, perbuatan atau sifat, atau mungkin ayat yang dibayangkan oleh bahasa badan.
f. Kegiatan main peranan – murid diletakkan dalam situasi atau konteks yang sebenarnya dan menggunakan bahasa yang sesuai dengan konteks itu, misalnya sebagai wartawan ia menggunakan kata tanya dan ayat tanya yang betul (5W + 1H).
g. Kegiatan permainan bahasa – murid berteka-teki, menjawab kuiz, meneka nama, sifat, perbuatan, teka silang kata, melengkapkan peta minda, memadankan unsur bahasa (seperti subjek-prediket), melengkapkan ayat, menukar struktur ayat untuk maksud yang sama, dan sebagainya. 
h. Kegiatan penyuntingan – murid membuat analisis kesilapan dan membetulkan bahasa pada bahan autentik (termasuk juga karangan murid).
i. Kegiatan penghasilan –  murid berkreativiti menggunakan unsur-unsur tatabahasa untuk menulis iklan, moto, slogan, tema, poster, dan sebagainya.

Penutup

Demikianlah secara umum gagasan bagaimana kira-kira tatabahasa dapat diajarkan dengan menarik. Asas yang saya gunakan ialah pertama-tama sekali menimbulkan pengertian bahawa tata bahasa ialah bahagian yang penting dalam kehidupan kita. Oleh itu pengajaran tatabahasa tidak boleh diajarkan secara terasing, melainkan hendaklah diajarkan dengan strategi penggabungjalinan dan penyerapan. Bagi memenuhi strategi tersebut, perlu dibuat perancangan yang rapi, terutama daripada segi pemilihan bahan untuk menunjukkan konteks yang sesuai bagi unsur-unsur tatabahasa yang hendak diajarkan. Dalam pengajaran di bilik darjah pula, guru perlu melaksanakan pelbagai teknik dan aktiviti yang dapat merangsang murid sehingga pengajaran tatabahasa dapat membantu murid menguasai tata bahasa dengan tidak berasa tertekan atau terpaksa.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024