Artikel

Buat Duit Dengan MLM Kaji Rahsia industri MLM

oleh Roziyah pada 18 Aug 2010

Buku Buat Duit Dengan MLM menghimpunkan 52 rahsia atau tips serta panduan kejayaan dalam menjalankan perniagaan MLM.

“Buku ini mengandungi satu persatu langkah yang perlu dikuti apabila mahu melibatkan diri dalam perniagaan MLM. Semua rahsia ini di tulis dalam bentuk yang ringkas dan bersahaja bagi membolehkan para pengedar atau sesiapa sahaja yang berminat dalam MLM menentukan hala tuju dan menetapkan matlamat yang sepatutnya apabila menceburi bidang ini,” jelas Norziati Mohd Rosman yang menghasilkan buku Buat Duit Dengan MLM ini.

Menurut beliau salah faham terhadap MLM terjadi apabila wujud sesetengah pihak yang menyalahgunakan konsep murni MLM sebagai lubuk untuk menjadi kaya dengan cepat.

“Ya, benar. MLM memberi peluang kepada pengedar untuk menjadi kaya tetapi kita harus ingat sesuatu kejayaan itu tidak akan datang dengan usaha yang sedikit. Dengan kata lain, tidak ada jalan singkat untuk berjaya dan jadi kaya. Harus ada usaha, harus melalui proses-proses tertentu sebelum boleh mencapai pengiktirafan tertinggi dalam sesebuah syarikat MLM,” jelas beliau.

Bagi beliau, ketidakfahaman sebenar para pengedar MLM menyebabkan mereka merasa tidak puas hati dengan apa yang dijanjikan sebelumnya lantas menyebabkan mereka memberontak dan menyebarkan berita tidak enak tentang syarikat yang mereka sertai. Ini secara tidak langsung menyebabkan industri MLM menerima kesan yang sama.

“Walau apa cakap-cakap tentang MLM, ia juga merupakan satu cabang perniagaan. Malah MLM memberi peluang kepada individu tertentu mencapai tahap yang tidak pernah mereka fikirkan sebelum itu – pendapatan berlipat kali ganda, pengiktirafan dari syarikat dan pengedar serta peluang menjadi usahawan dan jutawan.

“Kejayaan ini tidak dengan usaha seorang diri, kerana MLM ialah kerjaya berpasukan. Prinsip mudahnya ialah bagi membuatkan diri sendiri berjaya, harus jayakan orang lain dahulu,” ujar Norziati lanjut.

Norziati berkata, ada juga syarikat yang tidak jujur menjalankan MLM dengan tujuan mengaut untung daripada pengedar bukannya untuk kemajuan pengedar itu sendiri. Oleh kerana itu ada juga kita dengar para pengedar tertipu dengan syarikat, tertipu dengan pelan pemasaran atau dengan produk yang tidak sempurna dan merbahaya.

“Sebagai penulis, saya cuba memastikan isi kandungan buku ini berbeza dengan beberapa buku MLM lain yang ada dipasaran, khususnya daripada penulis yang telah mapan sepeti Razzi Ar-Mansur dan Mohd Rozani Pawan Chek. Oleh itu, cara ia dipersembahkan juga haruslah mempunyai kelainan tersendiri supaya tidak dianggap klise oleh para pembaca.

“Maka, panduan dalam bentuk tips itu adalah kelainan yang saya fikirkan menarik untuk para pembaca jadikan MLM sebagai punca pendapatan menerusi perniagaan,” kata Norziati lagi.

Buku ini melibatkan panduan langkah demi langkah cara untuk melibatkan diri dalam perniagan MLM.

“Sekiranya pembaca tidak mempunyai pengetahuan langsung tentang MLM, saya percaya sebaik sahaja menamatkan buku ini sehingga ke muka surat terakhir, pembaca akan dapat gambaran yang luas tentang cara menjalankan perniagaan MLM,” jelas beliau.

Buku ini bermula dengan kajian terhadap syarikat MLM yang mahu disertai dengan memeriksa latarbelakang syarikat terbabit.

“Inilah yang menjadi kekurangan kepada sesetangah pengedar MLM yang terus sahaja mendaftar tanpa memeriksa kedudukan kewangan, aktiviti, pengalaman, produk, pelan pemasaran, latihan dan oematuhan terhadap undang-undang,“jelas beliau lagi.
Seterusnya, buku ini turut menyenaraikan beberapa sikap yang perlu ada bagi setiap pengedar sebelum mengusahakan MLM sehingga berjaya.

“Kita harus ingat MLM adalah sebuah perniagaan ‘sendiri’, maka seorang pengedar sudahpun menjadi usahawan apabila produk sudah berada ditangan untuk dijual,” ujar beliau.

Kebanyakan pengedar menyesal selepas mendaftar masuk sebagai ahli kerana tidak membuat rujuk silang terhadap syarikat yang mereka sertai.

Saya ingin menekankan perkara ini malah ia menjadi tips pertama kerana sebelum menyertai atau sebelum terpengaruh dengan kata-kata upline kita harus memeriksa latar belakang syarikat terlebih dahulu,” jelas beliau lanjut.

Buku ini merupakan himpunan rahsia yang terbongkar dan dikongsikan dengan para pembaca agar mengetahui teknik yang betul dalam menjadi usahawan MLM yang berjaya. Beliau berharap buku ini mampu memberi kesedaran kepada masyarakat tentang apa sebenarnya disebalik perniagaan MLM.

“Umum mengetahui apabila menyertai MLM akan menjadi kaya, menjadi jutawan, boleh membeli kereta besar dan memiliki rumah agam. Ia bukanlah secara automatik menghasilkan keputusan sebegitu. Ia harus disertai dengan sikap, fikiran dan mental yang tepat dan dibetul disamping syarikat yang memang benar-benar mahu membantu ahlinya menjadi seorang yang berjaya,” tegas beliau.

Menurut beliau persepsi salah terhadap MLM harus dibetulkan kerana tidak semua yang menyertai MLM ini secara automatiknya akan berjaya. Bagi Norziati, MLM merupakan sebuah perniagaan dan apabila berniaga, tidak semua orang mampu berjaya.

Norziati kini dalam proses menyiapkan sebuah novel bersama PTS Fortuna dan dijangka diterbitkan penghujung tahun ini.

“Ia berkisarkan tentang dunia fiksyen sains dan teknologi, menjurus kepada dunia perkomputeran. Kisah ini amat mengujakan dan mendebarkan, nantikan kemunculannya di pasaran,” ujar Norziati yang mengulas mengenai projek terbarunya bersama PTS.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024