Artikel

Ganjaran Puasa Ramadan: Maksud Mulut Berbau Harum

oleh Roziyah pada 03 Aug 2011

Para sarjana Islam menerangkan maksud ‘bau yang harum daripada mulut orang yang berpuasa di sisi Allah’. Apabila seseorang itu berpuasa, bau mulutnya menjadi busuk. Bau busuk itu menjadi kurang menyenangkan dan mengganggu urusannya sesama manusia. Maka bertambah ujian berat kepadanya. Oleh itu, Allah memberi kelebihan kepada orang berpuasa dengan menghiaskan mereka yang berpuasa dengan bau harum daripada mulutnya pada hari kiamat kelak.

Keadaan yang sama disebutkan di dalam hadis yang lain. Hadis yang lain menyebut darah orang yang terbunuh dalam perang membela agama Islam pada hari kiamat kelak menjadi bauan yang harum. Warnanya merah seperti darah tetapi baunya harum seperti kasturi. Ia termasuk dalam janji Allah yang benar dan pada masa yang sama ia menguji kepercayaan kita kepada Allah, hari akhirat dan perkara yang ghaib.

Sarjana Islam juga menegaskan maksud ini iaitu orang yang berpuasa sudah mendapat kelebihan sejak di dunia lagi. Ia juga menegaskan Allah begitu hampir dengan orang yang berpuasa walaupun bau mulut mereka tidak disukai kerana busuk. Walau bagaimanapun, Allah tetap menerima orang yang berpuasa itu dengan rahmat dan kasih sayang kerana ibadatnya kepada Allah. Sarjana Islam juga menghuraikan kelebihan bau kerana puasanya itu melebihi kelebihan yang dicapai oleh pemilik kasturi. Begitu juga orang yang berpuasa disanjung oleh para malaikat walaupun bau mulutnya berbau dengan sebab puasa. Malaikat itu adalah makluk yang terbaik dan mulia di sisi Allah kerana ketaatannya. Ada kalangan sarjana Islam menghuraikan maksud kelebihan bau mulut orang berpuasa di sisi Allah lebih daripada pahala sunat memakai bau-bauan semasa ibadah lain.

 

Artikel dipetik daripada buku Ramadan Tetamu yang Dirindui oleh Tuan Abdul Hadi Awang dan diterbitkan oleh PTS Islamika Sdn Bhd.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024