Artikel

Penderaan Kanak-Kanak: Konsep dan Teori

oleh Helmi pada 08 Sep 2004

Penderaan Fizikal

Penderaan fizikal sebagai suatu fenomena sosial ditakrifkan sebagai keganasan secara fizikal terhadap kanak-kanak oleh ibu bapa, penjaga atau sesiapa saja yang bertanggungjawab melindungi kanak-kanak tersebut. Definisi penderaan fizikal adalah sukar dan kompleks kerana pelbagai faktor yang terlibat dalam perlakuan seseorang kanak-kanak.

Ammerman dan Hersen (1990:26) berpendapat bahawa: Faktor tambahan yang memainkan peranan dalam mendisiplinkan penderaan fizikal termasuk pendekatan disiplin di kalangan ibu bapa, kecederaan yang dialami, kesan pada tingkah laku dan keseriusan kecederaan kanak-kanak. Pemboleh ubah penting yang perlu diuji adalah bentuk niat yang menyebabkan mereka dideraataupun kecederaan fizikal dan digabungkan dengan situasi keluarga yang melakukannya menyebabkan definisi penderaan fizikal menjadi kompleks.

Akta Perlindungan Kanak-kanak 1991 pula mentakrifkan bahawa seseorang kanak-kanak dicederakan daripada segi fizikal jika ada kecederaan dan boleh dilihat pada mana-mana bahagian tubuh kanak-kanak itu yang didalilkan antara lain, laserasi, konstusi, lelasan, parut, patah atau kecederaan tulang yang lain, dislokasi, seliuh, pendarahan, pecah viskus, luka terbakar, melecur, hilang atau berubah kesedaran atau fungsi fisiologi seperti gugur rambut atau patah gigi.

Pakar perubatan juga mendefinisikan penderaan fizikal sebagai tindakan yang boleh menyebabkan kecederaan seperti pendarahan otak (Birrell & Birrell 1968), lebam yang teruk (Silverman 1968 dan Cafey 1972), kecacatan akibat penderaan fizikal (Camerin 1972), retak dan patah tulang (ONeil et al. 1973), bekas gigitan (Sims et al. 1973), lecur dan terbakar dicucuh puntung rokok (Smith & Hanson 1974). Di samping itu, Oates (1993:57) membuktikan penderaan fizikal boleh membawa maut kepada dua kumpulan kanak-kanak iaitu kanak-kanak cacat sejak dilahirkan dan juga kanak-kanak cacat akibat penderaan tersebut.

Namun begitu banyak lagi cara dan alat yang digunakan untuk mendera fizikal kanak-kanak. Menurut Mohd. Sham Kasim (1994) cara dan alat yang digunakan untuk mendera selain memukul menggunakan tangan, dirotan, disebat, digigit, disimbah cecair panas, dicucuh dengan besi atau benda panas, puntung rokok atau ubat nyamuk, dirantai, diikat, dikurung, dikunci di dalam bilik atau rumah, ditumbuk, disepak, diterajang, dicubit, dikepit atau dipulas dan sebagainya.

Takrif Akta Perlindungan Kanak-kanak dan diagnosis pakar perubatan perlu diberi perhatian bagi menentukan kanak-kanak tersebut terlibat dalam kes penderaan fizikal. Pakar perubatan juga mendapati kadang kala penderaan fizikal mempunyai hubung kait dengan lain-lain jenis penderaan seperti penderaan seksual, emosional dan pengabaian kanak-kanak.

Penderaan Seksual

Penderaan seksual merujuk segala bentuk aktiviti seksual yang mempunyai tujuan memenuhi nafsu seks orang dewasa, melalui pornografi, gambar, perakam suara, filem, perakam video atau mengeksploitasi bahagian sulit kanak-kanak. Penderaan seksual melibatkan kanak-kanak adalah dengan cara mencabul kehormatannya, dirogol dan dipaksa melacur.

Akta Perlindungan Kanak-kanak 1991 mentakrifkan bahawa seseorang yang terlibat dalam kes penderaan seksual kanak-kanak adalah apabila dia mengambil bahagian, sama ada sebagai peserta atau pemerhati dalam apa-apa aktiviti yang bersifat seks bagi maksud apa-apa bahan, fotograf, rakaman, filem, pita video atau persembahan yang bersifat pornografi, lucah atau eksploitasi seks oleh mana-mana orang bagi memuaskan nafsu seks orang itu atau orang lain.

Menurut Schechter dan Roberge (1976), dalam sesetengah hal kanak-kanak menjadi mangsa penderaan seksual di dalam keluarga seperti sumbang muhrim contohnya atau bagi upacara ritual tertentu. Menurut Finkelhor pula (1979:23) faktor-faktor lain yang perlu diberi perhatian mengenai penderaan seksual adalah umur pelaku, bentuk perlakuan atau kejadian, sama ada mangsa mengizinkan perlakuan tersebut, umur mangsa, jantina dan hubungan mangsa dengan pelaku dan akibat perlakuan tersebut atau kejadian terhadap kanak-kanak tersebut. Beberapa ahli psikologi berpendapat bentuk penderaan ini akan membawa implikasi buruk kepada perkembangan emosi seseorang kanak-kanak yang mangsa penderaan (Davidson & Nicol, 1993:47). Oleh yang demikian penderaan seksual mempunyai kaitan erat dengan penderaan emosional.

Penderaan Emosional

Penderaan emosi merujuk kepada bentuk gangguan psikologi terutama daripada segi mental dan emosional, sama ada didera dan dianiayai oleh ahli keluarga yang terlibat. Emosi adalah rasa dalaman yang dapat dilihat sebagai sedih, marah, meradang, geram, benci, sakit dan sebagainya (lihat Kieran O Hagan, 1993:22). Penderaan emosional merangkumi tidak memberi kasih sayang yang cukup atau membenci kanak-kanak tersebut, kanak-kanak tidak dihiraukan, tidak dilayan karenahnya, pergaulan mereka disekat misalnya tidak dibenarkan berkawan atau bermain sesama mereka, mereka sering dimarahi, ditengking, ditakut-takuti dan ahli keluarga bermusuhan dengan kanak-kanak.

Akta Perlindungan Kanak-kanak 1991 mentakrifkan bahawa seseorang kanak-kanak dicederakan daripada segi emosi apabila ada gangguan yang ketara atau boleh dilihat pada fungsi mental dan emosi kanak-kanak itu yang didalilkan antara lain, kecelaruan mental atau tingkah laku, termasuk keresahan, kemurungan, penyendirian, atau tumbesaran yang lambat.

Penderaan emosional diklasifikasikan sebagai penderaan atau pengabaian apabila ianya mencapai tahap ekstrem atau melibatkan bentuk penderaan yang lain. Menurut Whiting (1976:3), punca utama kanak-kanak terganggu secara emosi adalah disebabkan oleh ibu bapa; penderaan bentuk ini berlaku apabila kanak-kanak tersebut dihalang atau tidak memberi rawatan yang sewajarnya oleh ibu bapa atau penjaganya. Bentuk penderaan ini sukar dikenal pasti. Ianya dapat dilihat bertahap-tahap melalui tingkah laku mengikut perkembangan umur kanak-kanak. Menurut Skuse (1993:28), penderaan emosi bermula sejak mangsa berumur 6 hingga 8 bulan, umur pra-sekolah, umur persekolahan dan umur remaja. Setiap perkembangan umur kanak-kanak akan menunjukkan perubahan tingkah laku yang aneh. Contohnya, pada umur persekolahan mangsa sering ponteng sekolah, tidak berminat terhadap pelajaran, kelihatan murung, suka mengasingkan diri dan sebagainya. Implikasi yang lain dapat dilihat pada kes penderaan emosi adalah pengabaian ibu bapa atau pendera terhadap kanak-kanak tersebut.

Pengabaian Kanak-kanak

Pengabaian kanak-kanak merujuk pada pengabaian terhadap penjagaan kanak-kanak daripada segi keperluan asas seperti keselamatan, makanan berkhasiat, pendidikan, rawatan emosi dan fizikal (Ammerman & Hersen, 1990:28). Salah satu contoh adalah kanak-kanak yang dipaksa bekerja.

Akta Perlindungan Kanak-kanak 1991 mentakrifkan pengabaian kanak-kanak sebagai membiarkan seseorang kanak-kanak tanpa pengawasan dan pemeliharaan yang berpatutan bagi kanak-kanak itu, termasuk tidak menyediakan makanan dengan secukupnya, memberi pakaian, rawatan kesihatan atau tempat kediaman yang sempurna. Keadaan ini menyebabkan kanak-kanak akan berasa tersisih dan tidak tentu arah. Oleh itu kanak-kanak berkenaan mempunyai perasaan takut apabila berhadapan dengan orang lain dan mereka akan berkelakuan ganjil. Mereka takut menjalani kehidupan ini dan sentiasa mengasingkan diri.

Daripada aspek psikologi, menurut Kieran O Hagan (1993:101) keadaan seumpama itu menyebabkan tekanan jiwa kepada kanak-kanak mangsa penganiayaan. Kanak-kanak yang teraniaya terutama yang berumur 6 hingga 9 tahun ke atas selalunya mengalami gangguan emosi dan personaliti. Kebanyakan pendera adalah ibu bapa kandung atau penjaga rapat kepada kanak-kanak yang menghadapi masalah tekanan jiwa atau pemabuk.

Pengabaian kanak-kanak bukan sahaja mengganggu psikologi kanak-kanak, malah boleh mengganggu perkembangan tumbesaran mereka. Menurut Skuse, (1993:31) kanak-kanak didera dan diabaikan untuk jangka masa yang lama akan membantutkan tumbesaran; dikenali sebagai disorders of biological rhythms contohnya kanak-kanak menjadi pendek dan kurus. Konsep penderaan dan pengabaian yang saling berkait ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Runtunan faktor-faktor itu dapat dikupas dalam kerangka teori dan ianya membantu analisis data kajian penderaan dan pengabaian kanak-kanak.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024