Artikel

Pentadbiran Undang-Undang Dalam Pendidikan

oleh Helmi pada 02 Sep 2004

Pengertian Legal Literacy

Para pendidik, pengetua, guru besar dan pegawai perkhidmatan pendidikan yang lain sentiasa terdedah kepada keadaan yang boleh menyebabkan mereka melanggar peraturan dan undang-undang pendidikan. Ini adalah disebabkan mereka tidak faham, atau tidak tahu tentang adanya peraturan dan undang-undang dalam pendidikan. Kadang-kadang mereka terperangkap dengan arahan-arahan yang bertentangan dengan undang-undang pendidikan. Pentadbir pendidikan di sekolah khasnya pengetua dan guru besar tidak peka peraturan-peraturan yang sedia ada dan tidak mengambil tindakan yang sepatutnya ke atas pelajar-pelajar. Kejahilan pentadbir dan pengurus sekolah adalah antara faktor yang dikenal pasti sebagai punca sekolah sering didakwa oleh ibu bapa. Oleh itu, Tie Fatt Hee (2002) menyebut mentaliti yang sedia mengambil tindakan mahkamah ke atas guru adalah suatu unsur yang sudah meresap masuk ke dalam bidang pendidikan di Malaysia.

Namun demikian, para pendidik adalah terdiri daripada mereka yang sentiasa patuh kepada peraturan dan undang-undang. Ini terbukti daripada laporan kes-kes di mahkamah yang amat kecil bilangannya yang membabitkan para pendidik. Malah terdapat juga ibu bapa atau pelajar yang mengheret guru-guru ke mahkamah kerana ‘kecuaian’ yang dilakukan oleh mereka. Profesion perguruan ini sentiasa menerima tekanan daripada orang awam dan masyarakat yang mengharapkan segala yang terbaik daripada golongan ini, dan apa sahaja yang kurang menyenangkan berlaku dalam masyarakat, sekolah, guru sentiasa dipersalahkan. Walaupun begitu, tidak dapat dinafikan para pendidik memberi sumbangan yang tidak sedikit dalam pembangunan negara.

Di samping itu, pegawai perkhidmatan pendidikan seharusnya celik undang-undang pendidikan iaitu legal literacy yang sepatutnya dipelajari ataupun didedahkan di maktab-maktab perguruan ataupun institusi pendidikan tinggi sebelum berkhidmat di sekolah. Dengan cara ini, mereka lebih bertanggungjawab dan bertindak mengikut peraturan semasa mendidik pelajar-pelajar di sekolah.

Penguasaan sistem pendidikan di Malaysia terletak di bawah kerajaan pusat dan pendidikan adalah proses jangka panjang. Oleh itu, pendidikan menduduki tempat teratas dalam perancangan ekonomi dan masyarakat bagi negara moden. Di Amerika Syarikat keputusan yang paling penting mengenai undang-undang pendidikan sudah dibuat oleh Supreme Court dalam kes Brown v. Board of Education.

Today, education is perhaps the most important function of state and local governments. Compulsory school attendance laws and the great expenditures for education both demonstrate our recognition of the importance of education to our democratic society. It is required in the performance of our most basic public responsibilities, even service in the armed forces. It is the very foundation of good citizenship. Today it is a principal instrument in awakening the child to cultural values, in preparing him for later professional training, and in helping him to adjust normally to his environment. In these days, it is doubtful that any child may reasonably be expected to succeed in life if he is denied the opportunity of an education. Such an opportunity, where the state has undertaken to provide it, is a right which must be made available to all on equal terms.1

Di Malaysia Akta Pendidikan 1996 telah dipinda dengan memasukkan satu seksyen baru, iaitu seksyen 29A yang menetapkan kuasa Menteri bagi mewajibkan pendidikan rendah di negara ini. Seksyen 29A (2) juga menjelaskan:

Setiap ibu bapa yang merupakan warga negara Malaysia hendaklah memastikan bahawa jika anaknya telah mencapai umur enam tahun pada hari pertama bulan Januari dalam tahun persekolahan semasa anak itu didaftarkan sebagai murid di sekolah rendah dalam tahun itu dan terus menjadi murid di sekolah rendah sepanjang tempoh pendidikan wajib.2

Ibu bapa yang melanggar subseksyen (2) di atas adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.3

Legal Literacy

Legal Literacy digunakan bagi menerangkan sejauh manakah seseorang itu memahami undang-undang persekolahan. Ia termasuk juga langkah-langkah yang perlu diambil oleh pengetua berkaitan dengan undang-undang persekolahan (Rossow L.F,1990). Kajian yang dijalankan mendapati ramai para pendidik dan pentadbir sekolah tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenai keputusan yang diambil oleh Mahkamah yang bersabit dengan kes-kes dalam pendidikan. Oleh sebab itu katanya lagi,

“....The dispensing of information on school law should begin in teacher preparation programs, should continue in programs preparing school administrators, and should become a regular part of inservice programming for educators at all levels and in all locations…4

Di negara maju seperti United Kingdom, mata pelajaran Undang-Undang dimasukkan ke dalam sukatan mata pelajaran pada peringkat ‘A’ Level dan pelajar-pelajar boleh memilih komponen mata pelajaran sama ada English Legal System ataupun Law Of Contract.5 Tujuan diperkenalkan mata pelajaran ini adalah supaya pelajar-pelajar meneruskan pengajian dalam bidang perundangan pada peringkat universiti atau mengambil kursus dalam bidang sastera yang mereka minati.

Undang-undang pendidikan penting bagi setiap warga negara, tua ataupun muda dan mereka sepatutnya memahami proses bagaimana undang-undang tercipta dan bagaimana ia boleh dipinda oleh sesuatu pihak dan dalam keadaan yang bagaimana. Selain daripada itu, hak seseorang warganegara dan tanggungjawabnya mestilah dijelaskan dan difahami dengan betul.

Kita juga sedar, masyarakat kini semakin kompleks dan tanggung jawab yang dibebankan ke atas bahu para pendidik semakin berat dan mencabar. Seiring dengan itu, taraf pendidikan ibu bapa dan ahli masyarakat semakin tinggi. Justeru, dakwaan di mahkamah ke atas guru dan sekolah menjadi perkara yang tidak asing lagi.

Mengapa Pendidik dan Sekolah Didakwa?

Sekolah terdiri daripada pelajar yang datang daripada latar belakang yang pelbagai ragam. Dan suasana sekolah penuh dengan tingkah laku manusia yang berbeza. Sekiranya sekolah mengambil sesuatu tindakan ke atas pelajar disebabkan oleh pelanggaran peraturan sekolah, maka ia mengundang interpretasi yang bermacam-macam. Tindakan yang diambil oleh sekolah seperti merotan, ‘Ketuk ketampi’ 6 boleh disalahertikan sebagai deraan atau seksaan.

Guru-guru sekolah kadang-kadang mengenakan hukuman yang melampau ke atas pelajar-pelajar dengan tujuan mendisiplinkan mereka. Sebagai contoh, seorang pelajar di salah sebuah sekolah menengah di Langkawi didakwa ditampar dan ditumbuk oleh seorang guru manakala di Kota Bharu, Kelantan seorang guru agama didakwa menyepak, menumbuk dan menghentak seorang pelajar dengan kerusi.7 Di Terengganu pula, dilaporkan beberapa orang pelajar sekolah menengah didakwa dirotan lebih 100 kali manakala di Selangor, seorang ibu mengadu anaknya telah dirantai kakinya dan lehernya dimangga oleh pihak sekolah.8

Sebenarnya Kementerian Pendidikan sudah menyedari perkara-perkara seperti di atas berlaku di sekolah-sekolah tertentu sejak beberapa tahun dahulu, dan sudah pun mengeluarkan pekeliling pada 7 November, 19839 dan yang terkini pada 11 Oktober 1995.10 Akan tetapi, disebabkan oleh kejahilan guru-guru dan pengetua-pengetua berkenaan, maka tindakan dan hukuman yang melampau masih berlaku hingga ke hari ini.

Oleh sebab salah persepsi di kalangan ibu bapa mengenai tindakan dan hukuman yang dikenakan ke atas pelajar-pelajar, maka ia menjadi mudah untuk ibu bapa mendakwa sekolah. Pengetua atau guru besar yang mengambil tindakan yang tidak bertepatan dengan prosedur atau peraturan yang ditetapkan sudah tentu menghadapi banyak masalah.

Bagi membantu pihak sekolah melaksanakan tugas dengan lebih teratur dan sempurna terutama apabila berhadapan dengan kes-kes disiplin di kalangan pelajar-pelajar, Kementerian Pendidikan menyediakan pelbagai buku panduan, surat-surat pekeliling ikhtisas daripada semasa ke semasa dengan tujuan meningkatkan kefahaman pengetua atau guru besar dalam hal pengurusan disiplin ataupun hal ehwal pelajar di sekolah.

Oleh sebab pentingnya dokumen-dokumen yang disebutkan tadi, pihak sekolah dan guru-guru seharusnya merujuk semua dokumen yang dikeluarkan supaya tindakan yang diambil adalah selaras dengan pekeliling dari Kementerian Pendidikan. Adalah menjadi tanggungjawab pengetua dan guru besar sekolah menyebarkan dokumen itu kepada warga sekolahnya.

Sebagai contoh Ordinan Pelajaran, 1957 Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin) Sekolah, 1959. Peraturan ini masih diguna pakai walaupun Akta Pendidikan 1996 mula berkuat kuasa mulai 1 Januari 1998. Ini terbukti dengan arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 5 / 199811

Para 3 dalam surat pekeliling itu berbunyi, “Peraturan-peraturan di bawah Akta Pelajaran 1961 dan ordinan-ordinan sebelumnya yang tidak diliputi oleh peraturan-peraturan baru di bawah Akta Pendidikan 1996 adalah masih terpakai sehingga selesai disemak dan dimansuhkan.”

Peraturan-peraturan baru dalam Akta Pendidikan 1996 yang dikuatkuasakan mulai 1 Januari 1998 adalah:

1. Peraturan-peraturan Pendidikan (Kurikulum Prasekolah) 1997,

2. Peraturan-peraturan Pendidikan (Peperiksaan dan Penganugerahan Sijil atau Diploma Politeknik) 1997,

3. Peraturan-peraturan Pendidikan (Peperiksaan, Penilaian dan Persijilan) (Maktab Pendidikan Guru) 1997,

4. Peraturan-peraturan Pendidikan (Kursus Pengajian dan Program Latihan) (Maktab Pendidikan Guru) 1997,

5. Peraturan-peraturan Pendidikan (Kurikulum Kursus Pengajian dan Program Latihan di Politeknik) 1997,

6. Peraturan-peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997,

7. Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas),

8. Peraturan-peraturan Pendidikan (Penilaian dan Peperiksaan),

9. Peraturan-peraturan Pendidikan (Penilaian dan Peperiksaan) (Pindaan) 1998; dan,

10. Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendaftaran Institusi Pendidikan) 1997.

Di antara peraturan-peraturan yang masih digunakan di sekolah adalah peraturan mengenai disiplin di bawah. Sebagai contoh penyataan mengenai hukuman koperal (corporal punishment) yang sangat sensitif berbunyi berikut;12

“Bagi maksud menjaga disiplin di kalangan murid-murid, guru besar hendaklah mempunyai kuasa menjalankan hukuman-hukuman sekolah yang biasa sebagaimana perlu atau bermanfaat:

Dengan syarat bahawa;
(a) hukuman dera kepada murid-murid perempuan adalah dilarang; dan

(b) hukuman dera kepada murid-murid lelaki oleh seseorang Guru atau lain-lain kakitangan sekolah adalah dihadkan kepada merotan dengan rotan yang ringan ditapak tangan ataupun di punggung yang berlapik dengan pakaian dan hendaklah dijalankan hanya oleh Guru Besar ataupun dengan kuasa nyata yang diberi olehnya dalam hal yang tertentu

(2) Satu rekod mengandungi semua hukuman yang dijalankan di bawah perenggan (1) hendaklah disimpan secara sulit mengikut bentuk yang diluluskan oleh Pendaftar.”                     

Oleh sebab adanya peraturan di atas, hukuman koperal digunakan sejak dulu lagi bagi mengatasi masalah disiplin. Walau bagaimanapun, kesedaran masyarakat terutama di kalangan ibu bapa mengenai hak mereka menyebabkan penggunaan bentuk hukuman ini berkurangan (Tie Fatt Hee, 2002). Ancaman mengambil tindakan mahkamah ke atas guru yang menyalahgunakan autoriti mereka semakin meningkat. Secara umum, ibu bapa harus mengetahui polisi dan prosedur hukuman koperal. Ini kerana kekeliruan ke atas tafsiran polisi dan prosedur hukuman ini boleh menimbulkan banyak masalah di kalangan ibu bapa dan juga guru besar.

Namun demikian, daripada tinjauan yang dibuat di kalangan pegawai perubatan dan jururawat mengenai disiplin pelajar, mereka lebih cenderung menyokong hukuman merotan bagi pelajar-pelajar yang melakukan kesalahan atau juvenile delinquents.13 Tinjauan ini amat mengejutkan dan oleh itu, Presiden Persatuan Kesihatan Malaysia mencadangkan program latihan untuk pegawai perubatan dan jururawat dikaji semula.

Di negara lain, terdapat banyak pendapat mengenai hukuman koperal. Ada negara yang mahu hukuman ini dihentikan sama sekali dan ada negara yang mahu hukuman ini dijalankan bagi pelajar-pelajar yang nakal.14 Neville Harris (1992) menyatakan,

“The Education (No. 2) Act. 1986 banned the use of corporal punishment in the state sector. At last the government recognized what many researches had been saying for years: that corporal punishment did not address the causes of bad behaviour, caused resentment among older pupils in particular.”

Oleh sebab hukuman koperal boleh dikenakan kepada pelajar-pelajar di negara ini, Tie Fatt Hee (2002) menggariskan tiga jenis tindakan yang boleh diambil ke atas guru yang melakukan hukuman koperal kepada pelajar iaitu:
(a) Dakwaan Jenayah;
(b) Tuntutan Ganti Rugi dalam suatu tindakan sivil;
(c) Tindakan Disiplin oleh pihak majikan.

Berdasarkan kepada Peraturan 5 (1) hukuman koperal hanya boleh dilakukan oleh guru besar atau pengetua sekolah dan adalah salah sekiranya dilakukan oleh orang lain. Dan guru besar atau pengetua tidak boleh menjalankan hukuman koperal ke atas pelajar perempuan.

Walau bagaimanapun mengikut Peraturan 6; “Guru Besar sesebuah sekolah boleh dari semasa ke semasa, tertakluk kepada apa-apa syarat dan hal yang difikirkannya patut, mewakilkan kuasa disiplin sekolah dan kuasa menjalankan hukuman kepada guru-guru lain di sekolah itu atau kepada murid-murid yang ditetapkan olehnya bagi maksud itu; tetapi kecuali yang disebut di atas tidak seorang pun guru atau murid boleh menjalankan kuasa itu melainkan dengan arahan tertentu:

Dengan syarat bahawa kuasa menjalankan hukuman dera tidak boleh diwakilkan kepada mana-mana orang selain daripada guru berdaftar.”

Sehubungan dengan perkara di atas, pentadbir sekolah, pengetua, guru besar dan guru-guru hendaklah sedar dan memahami tentang undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkait dengan pendidikan dan implikasinya apabila mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar-pelajar di sekolah.

Sekolah sebagai ‘In Loco Parentis’

Pihak sekolah menjadi tanggungjawab yang penting apabila murid-murid berada dalam kawasan sekolah. Oleh itu, semua guru dengan sendirinya menjadi ganti kepada ibu bapa dan mereka hendaklah memastikan agar murid-murid sentiasa diberi penjagaan yang rapi dan dilindungi daripada sebarang risiko yang boleh mendatangkan bahaya kepada mereka. Tanggungjawab guru-guru di sekolah bergantung juga kepada faktor-faktor berikut:

1. Bilangan pelajar di sekolah.
2. Umur, kemahiran, dan tanggungjawab mereka.
3. Aktiviti yang sering dijalankan.
4. Kelengkapan yang terdapat di sekolah.
5. Keadaan fizikal sekolah itu sendiri seperti bangunan dan bilik darjah.

Tanggungjawab Guru dalam Bilik Darjah

Adalah menjadi tanggungjawab guru berada di dalam kelas pada setiap masa ataupun menyelia pelajar-pelajar sepanjang masa persekolahan mereka. Ini adalah bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. Meninggalkan bilik darjah tanpa kawalan boleh mengakibatkan kemalangan berlaku dan mendedahkan sekolah kepada dakwaan di mahkamah.

Satu kes mahkamah berkenaan penyeliaan murid dalam bilik darjah adalah kes Zazlin Zahira Hj. Kamarulzaman (budak) menuntut melalui bapa dan penjaganya Hj.Kamarulzaman bin Mohd. Ali mln. Louis Marie Neube Rt. Ambrose a/l Ambrose & 2 lagi.15

Sinopsis kes

Pada 19 Mac 1985 seorang guru Muzik (defendan pertama) mengajar Muzik dalam darjah satu. Semasa pengajaran, guru tersebut mengadakan gerakan “gerabak kereta api” di mana murid-murid termasuk Zazlin (plaintif) membuat beberapa pergerakan mengikut rentak muzik. Guru memberi penerangan yang jelas, dan mereka mengelilingi bilik darjah mereka. Semasa pengajaran dilakukan, pelajar tersebut jatuh dan tangannya patah. Guru (defendan) dengan bantuan guru yang lain memberi bantuan kecemasan sebelum dihantar ke hospital atas arahan guru besar. Guru besar memaklumkan kepada ibu bapa berkenaan apa yang berlaku dan tindakan yang sudah diambil oleh sekolah. Plaintif kedua (bapa Zazlin) mengambil tindakan ke atas kejadian itu dan menuntut ganti rugi.

Mahkamah putuskan seperti berikut:

1. Sebagai seorang guru, defendan pertama mempunyai kewajipan berjaga-jaga ke atas plaintif dan berkewajipan bertindak dengan cara yang munasabah bagi menjaga keselamatan murid-murid di bawah penyeliaannya.

2. Dalam kes ini, fakta menunjukkan tidak ada perkakas merbahaya diberikan kepada murid-murid oleh defendan pertama, dan oleh hal yang demikian, tidak ada alasan mengatakan kelas berkenaan adalah kelas yang merbahaya yang memerlukan penjagaan yang luar biasa rapinya.

3. Pada setiap kali kelas hendak dimulakan adalah memadai pengawasan biasa dibuat oleh guru berkenaan. Defendan sudah mengingatkan murid-muridnya supaya jangan tolak-menolak, berlari ataupun keluar dari barisan. Arahan-arahan ini cukup dan memadai untuk tidak berlaku kecuaian dipihak defendan.

4. Tuntutan ditolak.16

Oleh sebab adanya kes yang dibawa ke mahkamah, peralatan dalam bilik darjah juga perlu diberi perhatian yang sewajarnya. Kerusi meja yang rosak dan senang patah boleh mendatangkan bahaya kepada pelajar-pelajar. Begitu juga alat elektrik seperti kipas, lampu serta suis. Cermin tingkap yang pecah hendaklah segera digantikan.

Satu lagi kes mengenai penyeliaan dalam bilik darjah ialah ‘Kes Pensel.’

Dalam kes ini seorang pelajar berumur 11 tahun bersekolah di Sekolah Dato’ Kelana Maarof Seremban, dalam darjah lima tercedera kerana tercucuk pensel yang dipegang oleh kawannya bernama Azmi. Azmi seorang pelajar yang nakal dan sering mengganggu rakan-rakannya di dalam kelas. Kelas itu diajar oleh Puan Kenny.

Dalam keputusan di Mahkamah Tinggi, hakim menyebelahi plaintif, tetapi setelah dirayu di Mahkamah Rayuan dalam kes Government of Malaysia & Ors. v. Jumat bin Mahmud & Anor17 Hakim memihak kepada perayu dengan alasan:

1. Guru tidak mendedahkan plaintif kepada kecederaan yang boleh dijangkakan. Sebatang pensel bukanlah benda yang merbahaya dan semua murid menggunakan pensel di dalam kelas.

2. Andaian yang menyatakan kecuaian guru mengawasi kelas menyebabkan kecederaan pelajar tidak boleh diterima kerana:
a. Pengawasan guru belum pasti dapat mengelakkan kecederaan.
b. Apabila murid nakal menyebabkan kecederaan, ini tidak bererti pengurusan pada pihak guru tidak wujud sama sekali.
c. Hubungan kurangnya pengawasan dan kecederaan yang dilakukan ke atas murid bukanlah bererti kemungkinan, tetapi perkara itu adalah andaian semata-mata.

Yang Arif Hakim Raja Azlan memutuskan:

“ The duty of care owed by (the teacher) required only that he should take such measures as in all the circumstances were reasonable to prevent physical injury to (the pupil). This duty not being one to insure against injury, but to take reasonable care to prevent it, required no more than the taking of reasonable steps to protect the plaintiff against risks of injury which (the teacher) should reasonably have foreseen.”

Kawasan Sekolah

Banyak sekolah kini menumpukan kepada aspek keceriaan agar sentiasa cantik dan bersih. Ada sekolah yang menjadikan tandas sebagai bilik stor ataupun bilik tertentu supaya ia bersih dan tidak berbau busuk. Ini kadang-kadang merugikan kemudahan untuk pelajar-pelajar menggunakan dengan betul. Sekolah-sekolah ditanam dengan tanaman yang berduri dan beracun.

Apabila sekolah menumpukan kepada keceriaan, tentulah ada ‘rock garden’, kolam ikan atau air terjun yang dapat mencantikkan kawasan sekolah dan kadangkala mengundang bahaya kepada pelajar-pelajar. Tempat-tempat yang membahayakan kepada pelajar-pelajar hendaklah sentiasa diberi amaran agar mereka dapat mengelakkannya. Pekeliling mengenai kebersihan dan keceriaan sekolah adalah seperti berikut:

1. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 5/ 198518
Rancangan Mencantik dan Mengindahkan Sekolah dan Kawasannya (Landscaping)

2. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 14/ 1989 19
Kebersihan Sekolah

Keselamatan Pelajar

Oleh sebab sekolah adalah ‘loco parentis’, keselamatan pelajar di sekolah adalah tanggungjawab guru dan pengetua sekolah selagi mana mereka berada di dalam kawasan sekolah. Adalah menjadi tanggungjawab pengetua juga bagi keselamatan pelajar di luar kawasan sekolah apabila pelajar-pelajar mengambil bahagian dalam aktiviti kokurikulum di luar atau terlibat dalam kes-kes jenayah ataupun disiplin di luar kawasan sekolah. Terdapat beberapa pekeliling ikhtisas Kementerian Pendidikan mengenai keselamatan pelajar. Antaranya adalah:

1. Surat Pekeliling Ikhtisas No. 1/ 197420
Keselamatan Dalam Makmal

2. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/ 1988 21
Keselamatan Diri Pelajar Di Sekolah

3. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/199122
Pelaporan Kejadian Tidak Diingini Di Sekolah

4. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/199523
Keselamatan Diri Pelajar Semasa Pengajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan Serta Kegiatan Kokurikulum dan Sukan Di Dalam dan Di Luar Kawasan Sekolah

5. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 21/199824
Persediaan Menghadapi Bencana Alam

6. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/199925
Keselamatan Diri Murid Dalam Perjalanan Pergi dan Balik Sekolah

7. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 9/200026
Panduan Keselamatan Diri Pelajar Semasa Pengajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan serta Kegiatan Kokurikulum dan Sukan Di Dalam dan Di Luar Kawasan Sekolah.

Dengan adanya pekeliling-pekeliling di atas adalah diharapkan pengetua atau guru besar mengambil langkah-langkah yang pro-aktif bagi mengelakkan pelajar-pelajar daripada sebarang kemungkinan yang tidak diingini berlaku di dalam dan luar kawasan sekolah masing-masing. 

Pada tahun lepas, Kementerian Pendidikan melaksanakan Polisi Sekolah Selamat. Polisi ini bermaksud persekitaran sekolah yang selamat di mana warga sekolah berasa selamat tanpa gangguan daripada mana-mana pihak sama ada dari dalam mahupun luar.27 Polisi ini dilancarkan oleh Menteri Pendidikan pada 6 Mei 2002 di Sungai Petani, Kedah dan mula dilaksanakan di dua puluh buah sekolah. Pada tahun ini semua sekolah rendah dan menengah seluruh negara terlibat dalam pelaksanaan polisi berkenaan.

Antara lain objektif pelaksanaan Polisi Sekolah Selamat adalah meningkatkan kefahaman dan penghayatan bahawa keselamatan hendaklah dijadikan agenda utama dalam semua aspek pendidikan di sekolah. Satu kes yang berkait dengan keselamatan dibawa ke Mahkamah pada tahun 1982 yang melibatkan pengetua sekolah adalah kes:
Headmistress, Methodist Girls School & Ors v. Headmaster, Anglo-Chinese Primary School & Anor 28

Dalam kes ini seorang murid berumur sembilan tahun dilanggar oleh bas sekolah semasa berjalan di dalam kawasan sekolah, Anglo-Chinese Primary School untuk pulang ke rumahnya. Oleh sebab dia mengalami kecederaan yang teruk, dia saman pemandu bas dan pemiliknya serta menuntut kerugian. Pemilik bas kemudian membawa responden (guru besar dan kerajaan) sebagai orang ketiga untuk sama-sama bertanggungjawab membayar ganti rugi. Ini adalah kerana membenarkan bas memasuki kawasan sekolah. Hakim memutuskan untuk dibayar ganti rugi kepada murid tersebut berjumlah RM 20,000.00 dan tidak membenarkan sekolah sama-sama membayar.

Pemilik bas merayu keputusan tersebut dan kes ini di bawa ke Mahkamah Federal. Hakim mendapati sekolah tidak terlepas dari tanggungjawab menjaga keselamatan dalam kawasannya. Keputusan yang diambil adalah pihak sekolah membayar 30% sebagai ganti rugi dan pemilik bas membayar 70%.

Undang-undang TORT

Menurut Abd. Ghani (1985) Tort merangkumi soal tuntutan dan dakwaan berkaitan kerugian, kecederaan dan kesakitan. Peranan undang-undang tort adalah menentukan soal-soal liabiliti dan ganti rugi yang dituntut dalam kesalahan sivil.

Tort adalah satu daripada cabang undang-undang sivil yang menetapkan tindakan undang-undang yang boleh diambil ke atas yang melakukan perbuatan ataupun kecuaian bagi mendapatkan ganti rugi; tidak tertentu jumlahnya.

Secara mudah tort bermakna ‘salah’. Bidang ‘tort’ ini sangat luas dan mencakupi pencerobohan, kacau ganggu, fitnah dan pernyataan silap atau misstatement.
Kecuaian atau negligence sebagai tort adalah pelanggaran kewajipan undang-undang untuk berjaga-jaga oleh defendan yang mengakibatkan kerosakan yang tidak diinginkan kepada plaintif (Rogers,W.V.H, 1994). Unsur-unsur kecuaian adalah;
a. kewajipan undang-undang di pihak A ke atas B untuk berhati-hati dalam segala perbuatan,
b. pelanggaran kewajipan tersebut,
c. kerosakan berbangkit kepada B.

Unsur-unsur di atas tidak selalunya boleh dipisahkan dan ia hanya merupakan tiga cara berlainan apabila melihat satu masalah yang serupa.

Kecuaian

Dalam pendidikan terdapat perbezaan di antara ‘kecuaian guru’ dan ‘kecuaian pendidikan’. Kecuaian guru berpunca daripada konsep tanggungjawab berjaga-jaga daripada segi undang-undang yang dipertanggungjawabkan kepada guru. Biasanya kecuaian guru dikaitkan dengan kemalangan dan kecederaan fizikal yang menimpa pelajar. Guru terpaksa membayar denda dalam bentuk ganti rugi jika mahkamah memutuskan wujud liabiliti guru dalam sesuatu keadaan. Biasanya ganti rugi dibayar kepada ibu bapa pelajar berkenaan.

Di London, sekolah menjadi sasaran untuk disaman oleh ibu bapa kerana kecederaan-kecederaan kecil. Pada bulan Mei 2002, Neil Primrose, Pengetua sekolah Norlington di Timor London memohon agar kerajaan memberi per-lindungan kepada sekolah-sekolah dan tempat-tempat awam daripada ancaman yang semakin bertambah.29 Neville Harris (1992) menyatakan,

“ There is a general principle that where a teacher ( or indeed any other employee) is negligent in the course of his/her duties, the employer may be vicariously liable……. In many cases the injured party (known in a legal action as the ‘plaintiff’) may decide to sue the employer because the latter’s financial resources available to satisfy any judgment will be far greater than those of the teacher.”

Tie (2002) menyatakan empat elemen penting yang perlu wujud sebelum seseorang guru itu boleh didakwa oleh pihak pendakwa:

1. Terdapat elemen berjaga-jaga seperti arahan yang diberikan oleh pengetua kepada guru bagi mengajar sesebuah kelas pada sesuatu masa.

2. Tanggungjawab itu tidak dipatuhi dan guru meninggalkan kelas untuk berehat di bilik guru menyebabkan pelajar-pelajar bertumbuk.

3. Akibat daripada pelanggaran tanggungjawab tadi, seorang pelajar cedera di muka dan mengalami kerugian.

4. Terdapat kaitan yang rapat di antara tingkah laku defendan dengan kecederaan yang dialami oleh plaintif.

Kecuaian pendidikan merujuk kepada kegagalan guru mendidik pelajar. Ada beberapa faktor yang menyebabkan kegagalan pelajar memperoleh ataupun menguasai sesuatu kemahiran dalam pendidikan. Namun dalam banyak situasi, usaha membuktikan sesuatu kecederaan intelek berpunca daripada pengajaran guru yang kurang baik adalah amat menyukarkan.

Oleh itu 99% daripada guru-guru tidak perlu bimbang kerana guru-guru yang bimbang adalah mereka yang tidak cekap, yang tidak hiraukan murid-murid di bawah jagaan mereka. Guru-guru yang bekerja sedikit, tidak terlatih dan kekurangan sumber adalah lebih ‘cuai’ dalam pengajaran mereka.30

Sebagai contoh seorang guru dipertanggungjawabkan mengajar empat puluh orang pelajar di tingkatan tiga sebuah sekolah menengah. Selepas peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) hanya sepuluh orang sahaja pelajar mendapat 8 A. Jika dipandang daripada segi kecuaian pendidikan, adakah semua guru mata pelajaran gagal mendidik tiga puluh orang pelajar di kelas itu? Atau, adakah pelajar-pelajar itu sendiri gagal mempelajari apa yang disampaikan oleh guru-guru?

Keadaan di atas perlu dilihat dan dikaji dengan teliti sebelum sesuatu keputusan dibuat. Ini amat merumitkan. Contoh-contoh kecuaian yang lain yang dapat meng-akibatkan pihak sekolah bertanggungjawab secara tort adalah:

1. Gagal menyediakan kawalan pada alatan yang digunakan oleh pelajar.
2. Meninggalkan bahan-bahan kimia yang merbahaya yang dapat dicapai oleh pelajar.
3. Membiarkan pelajar bermain dengan alat-alat yang merbahaya tanpa kawalan.

Tanggungjawab sekolah tidak berakhir apabila loceng terakhir berbunyi dan sekolah berakhir. Tanggungjawab ini perlu diteruskan bagi menjalankan pengawasan dan penyeliaan yang baik dan rapi ke atas murid-murid sehingga ibu bapa atau penjaga datang untuk mengambil mereka pulang.

Dalam kes-kes kecuaian di sekolah di mana kecenderungan menyabitkan pihak sekolah bertanggungjawab bagi sesuatu kecuaian, bergantung banyak kepada keadaan-keadaan tertentu. Neville Harris (1992) menegaskan;

“Having established who may be responsible for a teacher’s negligent act (or omission), the question of when negligence occurs must be considered. It has been said that it is not for every careless act that a man may be held responsible in law, nor even for every careless act that causes damage.”
Satu lagi kes kecuaian dalam pendidikan ialah kes:

Mohamed Raihan Bin Ibrahim & Anor. V. Government Of Malaysia & Ors 31

Seorang pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Port Dickson mengalami kecederaan di kepala kerana terkena cangkul yang digunakan oleh rakannya semasa kelas amali Sains Pertanian. Beliau mendakwa kecederaan berlaku kerana responden, guru mata pelajaran Sains Pertanian gagal membuat penyeliaan ke atas pelajar yang mengikuti kelas perkebunan dan gagal memberi penerangan berkenaan penggunaan cangkul. Tuntutan beliau ditolak oleh Mahkamah Tinggi. Plaintif membuat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Rentetan peristiwa adalah seperti berikut:

• Pelajar-pelajar tingkatan satu yang terdiri daripada 37 atau 38 orang mengikuti kelas amali pertanian di bawah pengawasan guru perempuan Mrs. Hau Kan Yong.

• Selepas berbaris bagi mengambil peralatan pertanian dari stor, mereka terus ke kebun.

• Pelajar-pelajar dibahagikan kepada enam kumpulan dan setiap kumpulan diberikan satu batas. Ukuran batas adalah 15 kaki panjang dan 3 kaki lebar.

• Plaintif meninggikan batasnya dengan menggunakan penyodok dan rakannya, Raja Aminuddin membuat kerja yang sama di batas sebelah dengan menggunakan cangkul yang pemegangnya sepanjang 5 kaki.

• Oleh sebab jarak mereka terlalu dekat, plaintif memberitahu Raja Aminuddin supaya jangan menggunakan cangkul sehingga beliau selesai kerjanya. Akan tetapi, Raja Aminuddin terus mengangkat cangkul tanpa menghiraukan kata-kata plaintif.

• Akhirnya cangkul Raja Aminuddin terkena kepala plaintif dengan luka 2 inci dan retak pada tulang tengkorak kanan.

• Semasa kemalangan, guru sedang duduk di bawah pokok, beberapa ela dari batas pertanian.

Kesimpulan daripada hujah dalam perbicaraan di Mahkamah Persekutuan, terdapat kecuaian dan gagal mengambil tindakan munasabah dan langkah-langkah yang sepatutnya bagi mengelakkan perayu yang di bawah jagaan beliau daripada menanggung kecederaan. Guru tidak memeriksa peralatan kebun dan tidak menyediakan sistem keselamatan semasa kelas pertanian. Guru mempercayai pelajar dan tidak menguruskan peralatan kebun dengan baik. Guru tidak memberi peringatan dan tidak mengambil langkah-langkah keselamatan mengikut keadaan pelajar termasuk jarak antara mereka, bagi mengelak berlakunya kecederaan.

Hakim Salleh Abas F.J menegaskan;

“It is a settled law that a school teacher is under a duty to exercise supervision over his pupils when they are in the school premises, either in the classroom or the playground. The degree of supervision depends on the circumstances of each case, such as the age of the pupils and what they are doing at the material time. If the teacher knows that the pupils are engaged in doing acts which are likely to cause injuries to one another, the teacher is under a duty to take steps to ensure the safety of the acts.”32

Kes kecuaian yang seterusnya dilaporkan ialah, Yogeswari Nadarajah & Anor v. Government of Malaysia.33

Pada 7 November 1975 lebih kurang pukul 7.25 pagi, iaitu sebelum sekolah bermula, plaintif pertama, seorang murid tahun dua SRJK (T) Gemas, Negeri Sembilan sedang berdiri di padang sekolah. Pada masa itu dua orang murid lelaki sedang bermain membaling ranting kayu bunga raya. Ranting bunga raya itu terkena plaintif tadi dan mencederakan mata kirinya sehingga matanya itu terpaksa dikeluarkan.
Plaintif pertama dan ibunya mendakwa defendan pertama iaitu kerajaan Malaysia, Lembaga Pengurus Sekolah dan guru besar sekolah berkenaan. Pihak defendan mengatakan dalam kes ini, tidak terdapat alasan yang kukuh untuk membolehkan plaintif membuat dakwaan.

Bukti daripada plaintif adalah, dia merupakan seorang murid tahun dua sekolah itu. Apabila dia pergi ke sekolah pada 7 November, dua orang murid lelaki membaling ranting kayu dan terkena mata kirinya. Selepas kejadian itu, matanya terpaksa dikeluarkan.

Bukti juga menunjukkan ranting pokok bunga raya dipotong dan dibiarkan berselerak di bawah pokok. Sebelum kejadian itu berlaku, murid-murid bermain dengan ranting kayu pokok itu.

Peguam bela plaintif mengusulkan, defendan sepatutnya membuang semua ranting kayu dari kawasan sekolah. Kegagalan berbuat demikian adalah suatu kecuaian pada pihak defendan kerana mereka mempunyai tanggungjawab memastikan kawasan sekolah sentiasa dalam keadaan selamat.

Daripada bukti yang didapati, perkara yang perlu diberi pertimbangan adalah sama ada defendan sudah melepaskan tanggungjawab menjaga plaintif, iaitu ada ataupun tidak pihak defendan memikirkan risiko yang mungkin ditanggung oleh murid. Sekiranya ada, apakah langkah-langkah yang diambil bagi mengelakkan daripada risiko berkenaan.

Bukti yang jelas adalah dua orang murid sedang membaling ranting kayu di antara satu sama lain di belakang tandas dalam kawasan sekolah. Dan ranting kayu tadi terkena mata kiri plaintif.

Yang Arif Wong Kim Fatt, J.C mengatakan, ranting kayu itu bukanlah benda yang merbahaya sama juga seperti kerusi, meja yang terdapat di sekolah. Adalah tidak munasabah meletak seorang guru menyelia aktiviti-aktiviti permainan murid. Dalam kes itu, tidak terdapat bukti yang menunjukkan defendan mengetahui risiko kecederaan yang ditanggung oleh plaintif.

Sama juga dengan kes Government of Malaysia & Ors v. Jumat bin Mahmud & Anor34, Yang Arif menjelaskan, undang-undang dianggap tidak meletakkan liabiliti yang tegas ke atas guru apabila pelajar-pelajarnya cuai dalam undang-undang tort. Undang-undang hanya memerlukan bukti yang menunjukkan guru gagal mengambil langkah yang munasabah mengawasi muridnya daripada kecederaan yang sepatutnya dapat dielakkan. Keputusannya adalah tuntutan plaintif ditolak tanpa kos.

Ordinan-ordinan yang Masih Diguna Pakai

Ordinan Pelajaran, 1957
Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin) Sekolah 1959

Peraturan ini bolehlah dinamakan Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah), 1959 dan hendaklah bagi semua sekolah selain daripada:-
(a) sekolah yang dikecualikan daripada pendaftaran di bawah seksyen 114(2) Ordinan dan,
(b) sekolah gaya pos.

Dalam peraturan ini peranan Lembaga Pengurus / Pengelola sekolah bagi sekolah-sekolah kerajaan dimansuhkan.

Beberapa peraturan dalam Ordinan Pelajaran 1957 telah dipinda atau dimansuhkan dan digantikan dengan Peraturan 1980 dalam Akta Pelajaran 1961.

Semua pengetua sekolah dan guru besar telah diberi arahan supaya mematuhi Peraturan-peraturan Tatatertib Sekolah seperti dalam surat pekeliling Kementerian Pelajaran Malaysia (ketika itu) Bil. 1/ 1972, bertarikh 4 hb. Februari, 1972. Sebelum itu surat pekeliling dari Kementerian Pelajaran pernah dikeluarkan mengenai tatatertib di sekolah seperti Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 6/68 bertajuk ‘Pembuangan Murid-murid daripada sekolah kerana Kelakuan Curang’ dan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/ 68 bertajuk ‘Tatatertib di Sekolah’.

Satu kes yang boleh diambil contoh berkenaan pembuangan seorang pelajar yang melanggar disiplin di sekolah dan dibawa ke mahkamah adalah seperti di bawah:

Mahadevan v. Anandarajan & Ors.35
( O.C.J. (Abdul Hamid J.) September 5, 1969)

Dalam kes ini, seorang pengetua sekolah dalam keterangannya menyatakan seorang pelajar dibuang sekolah kerana terdapat laporan daripada guru berkenaan tingkah laku pelajar itu pada masa pertunjukan talentime yang diadakan pada 1 April 1968. Laporan berkenaan perangai pelajar itu juga diberikan oleh ketua pengawas dan Pengerusi Kelab Interact. Laporan itu juga menyebut, pelajar itu menduduki tempat duduk berharga RM3.00 walaupun hanya membayar RM2.00 sahaja. Selain daripada itu, dia ketawa dan meninggalkan pertunjukan itu beberapa kali bagi mengganggu pertunjukan. Laporan juga menyebut, dia menyalakan mancis api dan berperangai tidak senonoh dalam kumpulannya.

Pengetua memanggil pelajar itu bersama dua orang rakannya yang lain ke dalam pejabatnya pada 2 April 1968. Beliau memberi amaran kepada mereka. Pengetua memanggil pelajar itu juga secara bersendirian pada hari itu dan memberitahu perangainya yang kurang sopan pada masa yang lepas. Pelajar itu menyangkal beberapa tuduhan tetapi mengaku kesalahan yang lain.

Pada masa yang lain, pelajar itu membawa surat sakit daripada doktor tetapi pada petang itu dia bermain badminton. Apabila disoal, dia menyatakan dia tidak datang bagi aktiviti sekolah tetapi sakitnya itu tidak teruk bagi membolehkan dia bermain badminton.

Selepas menemui pelajar itu, pengetua berpuas hati dan merasakan pelajar itu patut diambil tindakan buang sekolah bagi menjaga disiplin di sekolahnya. Pengetua membincang berkenaan perkara itu dengan rakan sejawatnya dan pada 10 April, 1968 dia bertekad membuang pelajar itu. Oleh sebab ketika itu sekolah akan tutup, pengetua menyampaikan keputusannya pada 6 Mei 1968. Bapanya merayu kepada Lembaga Pengurus Sekolah tetapi rayuannya ditolak.

Pelajar itu bersama bapanya membawa kes itu ke Mahkamah bagi membatalkan tindakan pengetua agar dia disekolahkan semula. Dalam pengakuannya, ia menyatakan tuduhan yang dibuat ke atasnya tanpa memberi peluang yang mencukupi untuk dia menjawab pertuduhan yang dibuat. Dan pertuduhan dibuat dengan cara yang tidak tepat dan tidak mengikut undang-undang keadilan asasi atau natural justice.

Mahkamah Tinggi mendengar keterangan yang diberikan dan berpuas hati bahawa pelajar itu tidak diberi peluang yang mencukupi untuk didengar. Mahkamah menyatakan dengan memberi amaran yang pelajar akan dibuang tidak memadai untuk menerima sebagai keadilan asasi. Mahkamah berpendapat, pengetua tidak memberi notis yang secukupnya kepada pelajar untuk dia menikmati kehendak keadilan asasi. Mahkamah mendapati terdapat pelanggaran aspek tersebut dan keputusan yang diambil oleh pengetua sebagai batal dan tak sah iaitu null and void dan pelajar itu diterima bersekolah semula.

Pengetua merayu kes ini ke Mahkamah Federal. Mahkamah Federal mendapati tindakan yang diambil oleh pengetua adalah mengikut peraturan dan menepati keadilan asasi. Mahkamah menetapkan, bagi menjaga disiplin di sekolah, pengetua tidak perlu mengadakan sesi pertemuan yang panjang lebar sebelum bertindak. Sekolah tidak tertakluk kepada alteram partem atau the right to be heard. Mahkamah Federal berpuas hati dengan tindakan pengetua yang sudah memberi peluang yang mencukupi kepada pelajar itu dan pelajar itu dibuang dari sekolah.

Tidak puas hati dengan keputusan Mahkamah Federal , pelajar itu merayu kesnya ke Majlis Privy atau Privy Council. Majlis Privy menolak rayuan itu. Majlis Privy menyatakan, dalam hal pentadbiran seperti penyingkiran pelajar, adalah tidak sama kesnya dengan kes jenayah. Keadilan asasi itu adalah mengambil tindakan secara yang adil dan saksama. Apa yang adil bergantung kepada keadaan dan mengikut pemikiran biasa Majlis Privy tidak ada sebarang ketidakadilan dalam tindakan yang diambil oleh pengetua sekolah. Rayuan ditolak

School (General Regulations), 195136

Selain daripada peraturan berkenaan disiplin, terdapat peraturan yang disebut sebagai Schools (General) Regulations, 1951. Walaupun peraturan ini adalah lama, tetapi ia masih sesuai dan berguna untuk pentadbir sekolah. Penekanan yang diberikan dalam peraturan ini adalah antara lain:

Keperluan untuk bangunan sekolah

Dalam peraturan ini, semua aspek yang berkaitan dengan bangunan sekolah seperti keluasannya, bilangan bangunan, bilik darjah serta tempat rekreasi sama ada dalam bentuk pelan ataupun gambar hendaklah diberi kepada pendaftar sekolah apabila dikehendaki.

Bangunan itu hanya boleh digunakan apabila ia didaftarkan dan sesuai digunakan. Apabila sekolah itu didaftarkan, nama sekolah yang didaftarkan itu hendaklah ditulis dengan jelas di depan pintu masuk sekolah itu.

Bangunan tambahan untuk sekolah tidak boleh dibuat selagi tidak mendapat kebenaran daripada pendaftar sekolah. Tandas untuk bangunan hanya akan dibenarkan sekiranya ia sesuai pada pandangan pendaftar atau pegawai perubatan.

Keperluan kesihatan

Tiap-tiap bilik darjah hendaklah sesuai pembinaannya agar udara dan cahaya dapat masuk dengan senang melalui tingkap atau lubang, dan ruang terbuka ini hendaklah luasnya satu perlima daripada keluasan lantai.

Peraturan ini juga menentukan kawasan tempat duduk seseorang itu tidak boleh kurang daripada 15 kaki persegi, dan sekiranya ketinggian siling bilik itu kurang daripada 12 kaki, maka sijil pengesahan daripada pegawai perubatan hendaklah diperolehi bagi mengesahkan penggunaan bilik itu agar tidak menjejas kesihatan pelajar.

Penggunaan bilik darjah

Di bahagian depan tiap-tiap bilik darjah hendaklah ditandakan dengan jelas nombor atau huruf pengenalan bilik itu. Bilangan pelajar yang dapat dimasukkan ke dalam tiap-tiap bilik hendaklah dikira pada 180 kaki padu ruang dalaman untuk setiap pelajar. Cahaya untuk bilik darjah hendaklah mencukupi supaya tidak mengganggu penglihatan pelajar.

Peraturan ini juga memerlukan sijil supaya dipaparkan di tiap-tiap kelas yang menunjukkan bilangan pelajar yang dimasukkan ke dalam kelas itu. Mengikut peraturan ini juga tidak lebih daripada 40 orang yang boleh diajar pada satu-satu masa oleh seorang guru kecuali untuk pengajaran Pendidikan Jasmani atau Nyanyian atau kegunaan lain yang di luluskan oleh pendaftar. Orang lain daripada guru tidak boleh menggunakan bilik darjah. Buku kedatangan pelajar yang dibenarkan oleh pendaftar hendaklah disimpan di tiap-tiap bilik darjah.

Bagi memelihara penglihatan pelajar, meja-meja hendaklah disusun supaya cahaya dapat jatuh di bahagian kiri pelajar dan huruf-huruf yang ditulis di papan hitam atau hijau tidak kurang daripada satu inci tinggi.

Kebersihan dan kesihatan

Peraturan ini juga menetapkan guru-guru dan pelajar-pelajar hendaklah sentiasa bersih. Bilik darjah hendaklah dibersihkan tiap-tiap hari lepas persekolahan. Lantai dibasuh seminggu sekali dan bangunan lain, padang serta parit dan longkang dibersihkan setiap hari.

Meludah dalam kawasan sekolah adalah dilarang. Pegawai perubatan atau yang mempunyai autoriti daripadanya boleh pada sesuatu masa memeriksa sekolah bagi melihat kebersihan dan tandas sama ada dalam keadaan bersih ataupun tidak dan satu laporan akan dihantar kepada pendaftar.

Pengetua atau guru besar perlu memastikan sebab seseorang pelajar itu tidak hadir ke sekolah selama lebih dari sehari. Dan dia patut melaporkan kepada pegawai perubatan sekiranya terdapat penyakit berjangkit di kalangan guru, pelajar dan pekerja lain di sekolahnya.

Sekiranya terdapat mana-mana sekolah yang di dalamnya guru-guru, pelajar dan pekerja lain mengidap penyakit berjangkit, pendaftar atas nasihat pegawai perubatan mengarahkan supaya sekolah itu ditutup bagi jangka masa yang sesuai.

Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 6/98 37: Menjaga Kesihatan Pelajar di Sekolah, menekankan berkenaan pentingnya menjaga kesihatan pelajar di sekolah. Antara tindakan yang dicadangkan adalah:

1. Elakkan aktiviti yang mendedahkan pelajar, untuk jangka masa yang lama kepada keadaan cuaca yang dapat menjejaskan kesihatan mereka seperti jerebu dan cuaca panas.

2. Pastikan premis dan persekitaran sekolah, termasuk asrama dan kantin sentiasa dalam keadaan bersih, selesa dan selamat, supaya pelajar tidak dijangkiti penyakit.

3. Melaporkan semua kes penyakit berjangkit kepada pejabat kesihatan berhampiran dan tidak membenarkan pelajar yang disahkan menghidapi penyakit hadir ke sekolah bagi suatu tempoh yang difikirkan wajar.

4. Mengawal selia penyediaan dan penjualan makanan di kantin dan asrama supaya kejadian keracunan makanan di sekolah dapat dielakkan.

5. Mengawasi secara berterusan penjualan makanan di kantin, supaya makanan untuk pelajar mencukupi, harga jualan dipatuhi seperti dalam perjanjian, dan sesuai dengan kemampuan perbelanjaan harian pelajar.

6. Menangani masalah disiplin pelajar dengan mewujudkan persekitaran sosial sekolah yang dapat membantu perkembangan emosi, rohani dan sosial yang sihat.

7. Menggalakkan penyertaan dan kerjasama ibu bapa, komuniti setempat serta agensi-agensi kesihatan dalam mewujudkan sekolah sihat sesuai dengan konsep dan matlamat Program Bersepadu Sekolah Sihat yang dilancarkan oleh Y.B. Menteri Pendidikan Malaysia pada tahun 1997.

8. Melaksanakan saranan dan cadangan yang terkandung dalam surat-surat siaran, pekeliling-pekeliling ikhtisas dan buku panduan yang disediakan dan disiarkan dari semasa ke semasa.

Surat Pekeliling Ikhtisas Berkait dengan Kesihatan

i. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1981 38
Jualan Makanan dan Minuman di Kantin-kantin Sekolah untuk Murid-murid Berbilang Agama.

ii. Surat Pekeliling Ikhtisas No. 4/198139
Kebersihan di Sekolah-sekolah

iii. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/198240
Kempen Anti Denggi di Sekolah-sekolah.

iv. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1983 41
Garis Panduan Kempen Anti Merokok di Sekolah-sekolah.

v. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/198342
Kantin Sekolah.

vi. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 5/198543
Rancangan Mencantik dan Mengindahkan Sekolah dan Kawasannya(Landscaping)

vii. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 5/198844
Penyakit Demam Kepialu (Tifoid), Taun (Kolera), Penyakit Kuning (Hepatitis B), dan Keracunan Makanan.

viii. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/1988 45
Keselamatan Diri Pelajar di Sekolah.

ix. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 15/1988 46
Penyenggaraan dan keceriaan Maktab Perguruan/ Politeknik/ Sekolah.

x. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/1989 47
Rancangan Kesihatan Sekolah.

xi. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 14/1989 48
Kebersihan Sekolah.

xii. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1995 49
Keselamatan Diri Pelajar semasa Pengajaran Jasmani dan Kesihatan serta Kegiatan Kokurikulum dan Sukan di dalam dan di luar Sekolah.

xiii. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 5/1995 50
Keracunan Makanan di Sekolah-sekolah.

xiv. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/1996 51
Penampilan Diri Pelajar, Kekemasan Kerapian Berpakaian.

GARIS PANDUAN

i. Garis Panduan Kantin Sekolah
Cetakan Pertama 1989

ii. Amalan Kebersihan Sekolah – Garis Panduan
Cetakan Pertama 1997

iii. Amalan Kebersihan Sekolah – Panduan Aktiviti
Cetakan Pertama 1997

iv. Program Bersepadu Sekolah Sihat
Cetakan Pertama 1997

v. Rekod Kesihatan Murid

Disiplin: Jadual waktu dan kurikulum:
Latihan kecemasan

Peraturan ini juga menetapkan jadual waktu, sukatan pelajaran hendaklah dihantar kepada pendaftar supaya diluluskan. Perubahan pada jadual waktu dan sukatan pelajaran tidak dibenarkan kecuali dengan persetujuan pendaftar.

Guru besar atau pengetua hendaklah membuat rancangan untuk pelajar-pelajar meninggalkan bangunan sekolah apabila berlaku kebakaran. Rangka atau pelan kawad kecemasan perlu dipaparkan di sekolah dan semua guru perlu membiasakan diri dengan rangka itu.

Semua kelas hendaklah diadakan kawad kecemasan supaya pelajar-pelajar tahu kedudukan mereka dan tugas yang ditetapkan kepada mereka. Latihan perlu diadakan pada waktu yang sesuai.

Sijil berhenti sekolah

Semua pelajar kecuali yang tidak menjelaskan yuran sekolah hendaklah diberi sijil berhenti sekolah menggunakan borang yang diluluskan oleh pendaftar dan mempunyai nama sekolah yang tercatat sama ada sekolah kerajaan atau sekolah swasta.

Pelajar-pelajar yang dibuang sekolah disebabkan oleh kes disiplin juga diberi sijil berhenti sekolah dengan ada catatan daripada guru besar.52

Penggunaan sekolah atau Use of school premises

‘Tiada seorang pun boleh tanpa sebab yang munasabah masuk atau cuba masuk atau tinggal di premis itu atau di mana-mana bahagian premis itu yang digunakan sebagai atau berkaitan dengan sesebuah sekolah yang mana suatu perintah yang dibuat di bawah perenggan (1) adalah berkuat kuasa.’53                                                    

Tidak seorang pun orang luar dibenarkan menggunakan premis sekolah pada bila-bila masa bagi menghimpunkan pelajar-pelajar atau guru bagi tujuan mengajar, bersyarah, memeriksa ataupun mengedarkan risalah atau bahan bacaan ataupun mengambil bahagian dalam aktiviti sekolah atau memeriksa aktiviti pendidikan kecuali ia mendapat kelulusan daripada pendaftar.

Penggunaan premis sekolah sebagai tempat propaganda politik dengan tujuan mempengaruhi pelajar tidak dibenarkan.

Premis sekolah atau sebahagian daripada sekolah tidak boleh digunakan untuk permainan haram seperti judi ataupun loteri.
Rujuk:

1. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 11/1976 54
Mengharamkan Semua Jenis Permainan Judi di Sekolah-sekolah.

2. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/1991 55
Penggunaan Kemudahan Sekolah oleh Pertubuhan dan Persatuan Belia.

Peraturan-peraturan dalam Akta Pendidikan 1996

Akta Pendidikan 1996 memperuntukkan Bahagian XIII bagi menjelaskan peraturan-peraturan yang boleh dibuat oleh menteri. Antara peraturan itu boleh diringkaskan seperti berikut:

1. Pendaftaran pelajar
2. Tempoh penggal persekolahan
3. Penubuhan institusi pendidikan
4. Yuran yang dikenakan untuk pendaftaran
5. Disiplin di institusi pendidikan
6. Kurikulum kebangsaan
7. Persatuan murid-murid dan ibu bapa
8. Peralatan persekolahan
9. Bahan-bahan pengajaran
10. Penyimpanan akaun
11. Piawaian kesihatan dan keselamatan
12. Perkara-perkara lain yang suai manfaat untuk Akta ini.

Peraturan-peraturan Pendidikan (Persatuan Sekolah) 1998

Dengan terbitnya peraturan di atas, peraturan-peraturan di bawah Seksyen 92 Ordinan Pelajaran 1952 dibatalkan, dan peraturan ini mula berkuat kuasa pada 21 Mei 1998.

Penubuhan persatuan sekolah

Guru besar atau pengetua, setelah menerima permohonan secara bertulis, hendaklah menubuhkan persatuan sekolah daripada kategori yang berikut:

(a) Mata pelajaran yang diajar di sekolah sebagaimana yang dinyatakan dalam Peraturan-peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997;

(b) hobi dan rekreasi;

(c) sukan dan permainan;

(d) badan beruniform; atau

(e) apa-apa persatuan lain yang diluluskan oleh Pendaftar.

Laporan persatuan

Jawatankuasa tiap-tiap persatuan sekolah hendaklah mengemukakan secara bertulis kepada guru besar atau pengetua, laporan yang lengkap mengenai perkara-perkara yang berikut:

(a) perlembagaan dan peraturan persatuan;

(b) senarai ahli jawatankuasa persatuan; dan

(c) senarai aktiviti utama persatuan.

Laporan itu hendaklah dikemukakan dalam tempoh empat belas hari mula berkuat kuasanya peraturan-peraturan ini atau dalam hal persatuan yang ditubuhkan selepas Peraturan-peraturan ini berkuat kuasa, dalam tempoh empat belas hari selepas mesyuarat pertama persatuan itu.

Perlembagaan dan peraturan persatuan sekolah hendaklah diluluskan oleh guru besar atau pengetua.

Selain daripada penasihat persatuan yang dilantik oleh guru besar atau pengetua serta rekod persatuan yang perlu disimpan dengan rapi, akaun persatuan hendaklah diawasi dengan baik oleh pengetua atau guru penasihat.

Pembubaran persatuan

Pendaftar, guru besar atau pengetua boleh, secara bertulis mengarahkan mana-mana persatuan sekolah dibubarkan jika dia berpuas hati bahawa persatuan itu mungkin digunakan bagi maksud;

a. yang tidak memberi manfaat kepada guru atau murid;

b. propaganda politik yang memudaratkan kepentingan Malaysia atau awam;

c. yang memudaratkan kepentingan murid; atau

d. yang melanggar mana-mana peruntukan peraturan-peraturan ini.

PEKELILING-PEKELILING IKHTISAS MENGENAI PERSATUAN (KOKURIKULUM)

1. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/1971 56
Permainan Catur di Sekolah-sekolah Menengah

2. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/77 57
Pengelolaan Walkathon di Sekolah-sekolah

3. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1982 58
Permainan Pin-table, Video Game, Game Watch

4. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/1984 59
Garis Panduan berkenaan Aktiviti-Aktiviti Kebudayaan di Sekolah-sekolah

5. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/1986 60
Rekod Kedatangan dan Laporan Gerak Kerja Kokurikulum Pelajar

6. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/1986 61
Penyelarasan Pelaksanaan Kurikulum “Pengenalan Kepada Komputer” dan Kegiatan Kelab Komputer Sekolah

7. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 5/1986 62
Panduan Penubuhan dan Pengurusan Kelab Komputer Sekolah.

8. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1988 63
Panduan Penubuhan dan Pengurusan Kelab Pereka Cipta Sekolah

9. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/1988 64
Penyertaan Pelajar dalam Pertandingan atau Kejohanan Sukan Anjuran Persatuan atau Badan Induk Sukan

10. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1989 65
Penyertaan Pelajar dalam Kegiatan Sukan di Sekolah

11. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1992 66
Panduan Penubuhan dan Pengurusan Persatuan Silat Sekolah

12. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/1994 67
Pelaksanaan Kokurikulum pada Tahun 5 dan Tahun 6 KBSR

13. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1995 68
Pelaksanaan Kadet Remaja Sekolah (KRS)

14. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/1995 69
Penyertaan Pelajar dalam Pertandingan Kejohanan Sukan Anjuran Persatuan atau Badan Induk Sukan

15. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 9/1995 70
Rancangan Kegiatan Sekolah selepas Peperiksaan UPSR bagi Murid-murid Tahun 6

16. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/1997 71
Pengiktirafan Persatuan Seni Bela Diri sebagai Pasukan Pakaian Seragam Sekolah.

17. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 24/1998 72
Penglibatan Guru dan Murid dalam Aktiviti Pasukan Pakaian Seragam Anjuran Agensi Kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan.

18. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/2000 73
Panduan Penubuhan dan Pengurusan Kelab Komputer/Teknologi Maklumat Sekolah

19. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 17/2000 74
Penubuhan Kelab Rukun Negara di Sekolah-sekolah

20. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 18/2000 75
Penggalakan Aktiviti Fotografi di Kalangan Murid

21. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 20/2000 76
Panduan Penubuhan Persatuan Agama Bukan Islam di Sekolah-sekolah.

Satu kes yang dilaporkan berkenaan kecuaian guru dalam menguruskan aktiviti kokurikulum ialah kes Chen Soon Lee melawan Chong Voon Pin dan Lain-lain (O.C.J. Lee Hun Hoe J.) June 13 1966.77

Tindakan diambil disebabkan oleh kecuaian pada pihak defendan. Defendan terdiri daripada seorang pengetua dan dua orang guru di sebuah sekolah di Miri, Sarawak. Mereka mengiringi beberapa orang pelajar sekolah itu untuk aktiviti perkelahan di tepi pantai di Tanjong Lobang. Semasa pelajar-pelajar bermain bola di dalam air, ada di antara mereka yang pergi ke tempat yang dalam dan mereka tenggelam. Guru-guru dan pelajar lelaki cuba menyelamatkan mereka dan didapati seorang daripada mereka hilang. Akhirnya pelajar itu dijumpai dan tidak dapat diselamatkan. Waris mangsa menuntut ganti rugi atas alasan bahawa defendan bertindak cuai.

Defendan pertama ialah Guru Besar Sekolah Chung San, Riam Road, Miri, Sarawak. Defendan kedua dan ketiga adalah kedua-dua orang guru di sekolah yang sama. Peristiwa berlaku pada hari Ahad, 6 Disember 1964.

Yang Arif Lee Hun Hoe berpendapat, perkelahan itu dikelolakan oleh pelajar sendiri pada hari Ahad. Defendan berhak menolak permintaan pelajar mengiringi mereka ke perkelahan itu. Pelajar mungkin meneruskan aktiviti mereka walaupun tanpa penyertaan defendan.

Aktiviti perkelahan itu dijalankan pada hari Ahad. Oleh itu, guru besar dan guru tidak berkewajipan membuat penyeliaan yang cukup kepada mereka. Dalam kes ini, tiada seorang pun yang tahu atau sedar bahawa mereka sedang berkelah di suatu kawasan yang merbahaya.

Yang Arif juga menyatakan defendan mempunyai kewajipan menjaga pelajar-pelajarnya. Defendan didapati sudah mengambil langkah tertentu bagi memastikan pelajar-pelajar itu mematuhi arahan mereka.

Menurut defendan pertama, pelajar-pelajar tahun 6 sudah memohon melalui guru darjah mereka untuk pergi berkelah di Tanjong Lobang dan dia membenarkan. Dia mengeluarkan arahan kepada tiap-tiap pelajar. Daripada jumlah dua belas orang guru di sekolah itu, enam orang bersetuju menyertai perkelahan itu.

Pelajar-pelajar dibahagikan kepada tiga kumpulan yang diselia oleh guru dan guru besar. Semasa bermain di dalam air, guru dan guru besar ada bersama menyelia murid-murid. Tujuannya adalah bagi memastikan murid-murid tidak bergerak ke kawasan perairan yang dalam. Permainan di dalam air diselia dengan rapi. Tidak ada bukti yang menunjukkan guru besar dan guru cuai dalam tanggungjawab mereka yang menyebabkan kematian pelajar itu kerana penyeliaan yang berterusan sudah diberikan sepanjang permainan itu.

Yang Arif menyatakan, pihak pendakwa gagal menunjukkan bukti yang kukuh defendan cuai dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024