Artikel

PTS Latih Penulis Hasil Buku Cerita Pari-Pari (Fairytale) Buat Kanak-kanak

oleh Roziyah pada 20 Sep 2010

PTS dalam usahanya menghasilkan buku-buku berkualiti buat semua golongan peringkat umur bakal mengadakan bengkel penulisan buku cerita farytale khas buat  kanak-kanak.

Bengkel yang diadakan di Sekolah Al Iklas, Taman Permata, Hulu Kelang, Kuala Lumpur pada 26 september ini memberi peluang kepada penulis mendalami ilmu menghasilkan buku cerita kanak-kanak bernilai sastera yang mampu memukau pembacanya,
Menurut Pengerusi PTS, Puan Ainon Mohd, dalam sastera melayu, kita tidak mempunyai genre sastera kanak-kanak tradisional yang mampu mendidik jiwa kanak-kanak.

Beliau berkata, Si Tanggang, Lebai Malang dan banyak lagi kisah dongeng Melayu yang dihidangkan kepada kanak-kanak hakikatnya merupakan cerita untuk orang dewasa.

“Watak-watak dalam cerita dongeng melayu juga adalah watak dewasa. Kanak-kanak tidak menggemari dongeng Melayu yang diceritakan kepada mereka. Mereka tidak akan meminta dongeng Melayu diulang beberapa kali. Berbeza dengan fairytale atau kisah pari-pari, kanak-kanak akan meminta ibu bapa mereka menceritakan kisah nya berulang-ulang kali,” jelas Puan Ainon.

Bagi Puan Ainon, buku cerita pari-pari khas untuk kanak-kanak mempunyai nilai sasteranya yang tersendiri kerana ia mampu memberi terapi yang berguna dalam jiwa kanak-kanak.

“Buku-buku cerita kanak-kanak menyampaikan cerita-cerita yang menyebabkan kanak-kanak suka dan seronok membacanya. Manakala cerita-cerita dalam sastera kanak-kanak bukan hanya menyampaikan cerita-cerita yang memukau akal kanak-kanak dan juga memukau akal orang dewasa, tetapi juga menciptakan makna-makna bagi kanak-kanak yang membacanya,” jelas beliau lagi.

Mengambil contoh buku Putera Haziq keluaran PTS, beliau berkata, buku tersebut mempunyai nilai cerita pari-pari kerana mempunyai ciri-ciri seperti kisah fairytale.

“Buku cerita fairytale mempunyai unsur iaitu mempunyai kuasa contohnya seperti pokok yang boleh berkata-kata, unsur magik dan diakhir cerita setiap watak mendapat balasan hasil perbuatannya,” jelas beliau lagi.

Buku cerita farytale Melayu ini juga diterapkan dengan budaya Melayu. Berbeza dengan kisah farytale barat yang memaparkan budaya barat yang tidak sesuai dengan budaya melayu.

Beliau mahu penulis melayu menghasilkan cerita kanak-kanak yang bernilai sastera dan mampu membina nilai terapi dalam diri kanak-kanak agar lebih berani mencapai cita-cita.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024